اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 65/2026: KENAIKAN GAJI PENJAWAT AWAM, SUATU NIKMAT YANG PERLU DISYUKURI

TintaMufti.jpg

TINTA MUFTI : KENAIKAN GAJI PENJAWAT AWAM, SUATU NIKMAT YANG PERLU DISYUKURI

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta para sahabat Baginda.

Pada 15 Januari 2026 yang lalu telah berlangsungnya Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara yang disampaikan oleh Ybhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar kepada seluruh penjawat awam di Malaysia. Antara pengumuman yang disampaikan termasuklah penambahan imbuhan sebanyak RM8 bilion bagi kenaikan gaji penjawat awam di bawah skim Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2, menjadikan jumlah peruntukan keseluruhannya mencecah RM18 bilion.

Kenaikan gaji ini merupakan salah satu agenda pembaharuan dalam perkhidmatan awam selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan aspek kesejahteraan hidup sebagai salah satu faktor yang mendorong ke arah kemajuan negara.

Sehubungan dengan itu, penulisan Tinta Mufti kali ini bertujuan memberikan panduan umum kepada penjawat awam daripada perspektif Islam dalam menguruskan harta pada jalan yang betul dan diberkati.

Mengutamakan Kebajikan Diri Dan Keluarga

Prinsip utama dalam menguruskan kenaikan pendapatan ini adalah dengan mengutamakan kebajikan diri dan keluarga serta memelihara keperluan asasi dengan sebaiknya. Syariat Islam meletakkan kewajipan ke atas suami selaku ketua keluarga untuk memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak, selari dengan kedudukan lelaki yang bertanggungjawab melindungi dan menyara ahli keluarga. Allah SWT berfirman:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”

Surah al-Nisa’ (34)

Pada masa yang sama, para isteri yang berkerjaya dan berpendapatan juga digalakkan untuk membantu meringankan bebanan suami sekiranya perlu, demi mencapai kualiti hidup yang lebih baik sebagaimana sifat isteri solehah yang sentiasa menyokong kesejahteraan rumahtangga. Bagi ibu bapa, tanggungjawab membesarkan anak-anak dalam keadaan yang sihat dan sejahtera mestilah menjadi keutamaan. Manakala bagi individu yang masih bujang pula, kenaikan gaji ini merupakan peluang keemasan untuk berbakti kepada ibu bapa dengan memelihara kebajikan mereka secara lebih sempurna. Berdasarkan firman Allah SWT:

وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ

Maksudnya: “Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat.”

Surah al-Nisa’ (36)

Mewujudkan Simpanan Dan Pelaburan Masa Hadapan

Penjawat awam juga disarankan untuk mewujudkan tabung simpanan yang konsisten demi kebaikan pada masa hadapan terutamanya bagi tujuan menunaikan ibadah haji. Statistik semasa menunjukkan masih ramai umat Islam di negara ini yang belum memiliki jumlah simpanan mencukupi bagi memenuhi tuntutan rukun Islam kelima tersebut, sedangkan kemampuan dari aspek kewangan (istita’ah) merupakan salah satu syarat wajib haji. Oleh yang demikian, menyimpan dan melabur ke arah memenuhi tuntutan ibadah ini juga adalah wajib terutamanya bagi mereka yang mempunyai lebihan harta hasil daripada kenaikan gaji ini.

Selain itu, harta tersebut juga wajar dikembangkan melalui pelaburan pada saham-saham yang disenaraikan sebagai patuh syariah oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi memastikan keberkatan punca rezeki. Kegagalan menguruskan harta secara bijak pada waktu ini bakal mengundang risiko kerugian besar di masa hadapan seperti ketiadaan dana yang mencukupi untuk menampung kehidupan selepas mencecah usia persaraan, ketiadaan dana kecemasan serta kemerosotan kualiti hidup yang boleh menjejaskan keharmonian keluarga secara keseluruhannya.

Pelaksanaan Maqasid ‘Umran Demi Mencapai Maqasid Tadayyun Dalam Pelaksanaan Ibadah Haji

Islam menempatkan manusia sebagai khalifah yang bertanggungjawab membangunkan kehidupan duniawi sebagai wasilah kepada kesempurnaan pengabdian kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

ثُمَّ جَعَلْنَاكُمْ خَلَائِفَ فِي الْأَرْضِ مِن بَعْدِهِمْ لِنَنظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan.

(Surah Yunus, 14)

Dalam kerangka Maqasid Syariah, pembangunan dan kesejahteraan hidup iaitu Maqasid ‘Umran berfungsi sebagai asas yang menyokong pelaksanaan tuntutan agama iaitu Maqasid Tadayyun. Hal ini bertepatan dengan konsep yang diajar oleh al-Quran agar meminta kebaikan di dunia dan juga akhirat sebagaimana firman Allah SWT:

وَمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka".

(Surah al-Baqarah, 20)

Oleh yang demikian, kestabilan ekonomi, kelangsungan hidup dan pengurusan kewangan yang berhemah merupakan prasyarat penting bagi membolehkan umat Islam melaksanakan ibadah fardu, termasuk ibadah haji yang memerlukan kemampuan fizikal dan kewangan. Hubungan antara Maqasid ‘Umran dan Maqasid Tadayyun ini memperlihatkan keseimbangan syariat melalui mizan keutamaan atau mizan Aulawiyyat di mana pemerkasaan kehidupan dunia dilihat sebagai landasan bagi mencapai ketaatan dan ibadah secara berperingkat, terancang dan selari dengan tuntutan syarak.

Sehubungan itu, langkah kerajaan menaikkan gaji penjawat awam boleh dilihat sebagai satu usaha memenuhi Maqasid ‘Umran bagi menjamin kesejahteraan hidup, kestabilan sosial dan kelangsungan ekonomi rakyat. Hal ini bertepatan dengan mizan pengimarahan bumi dan alam keseluruhannya sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Ali al-Qarahdaghi, bahawa mizan sunnatullah yang berorientasikan pelaksanaan yang membawa kepada pembangunan dan kemajuan.

Dalam masa yang sama, peningkatan pendapatan tersebut membuka ruang kepada umat Islam untuk merancang kewangan secara lebih berhemah termasuk menyimpan bagi tujuan menunaikan ibadah haji yang merupakan tuntutan Maqasid Tadayyun. Hal ini menepati mizan syariat yang menekankan keutamaan melaksanakan ibadah fardu mengikut kemampuan dan perancangan yang munasabah.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, golongan penjawat awam sewajarnya menzahirkan rasa kesyukuran di atas inisiatif oleh pihak kerajaan dalam meningkatkan pendapatan demi kesejahteraan hidup, di samping menyokong usaha murni tersebut bagi memastikan kesinambungan manfaat pada masa hadapan. Meskipun pemberian ini merupakan tanggungjawab hakiki pemerintah, rakyat juga perlu bersikap bijak dalam memanfaatkan kenaikan gaji tersebut dengan mengutamakan kebajikan diri dan keluarga, membina tabung simpanan serta pelaburan untuk keterjaminan masa hadapan, termasuklah juga menyediakan dana khusus bagi menunaikan ibadah haji. Secara tidak langsung, inisiatif kenaikan gaji ini dilihat menepati prinsip maqasid umran yang menyokong pembangunan insan, sekali gus membantu merealisasikan maqasid tadayyun menerusi peningkatan kemampuan ekonomi umat Islam untuk memenuhi tuntutan agama pada hari muka.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

27 REJAB 1447H / 17 JANUARI 2026