اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 67/2026: ISU LEMAS DI MALAYSIA DAN KEPENTINGAN MEMPELAJARI BERENANG MENURUT NERACA SYARAK

TintaMufti.jpg

TINTA MUFTI: ISU LEMAS DI MALAYSIA DAN KEPENTINGAN MEMPELAJARI BERENANG MENURUT NERACA SYARAK

Fenomena kes lemas yang kerap berlaku di Malaysia sama ada di sungai, pantai, lombong, air terjun mahupun kolam renang merupakan isu yang amat membimbangkan. Statistik saban tahun menunjukkan angka korban yang bukan sedikit, melibatkan kanak-kanak, remaja bahkan orang dewasa. Apabila diteliti, sebahagian besar kejadian ini berpunca daripada kelemahan asas kemahiran berenang, sikap memandang ringan aspek keselamatan serta kurangnya kesedaran tentang pengurusan risiko di kawasan air.

Dalam konteks ini, riwayat Saidina Umar bin al-Khattab RA:

عَلِّمُوا أَبْنَاءَكُمُ السِّبَاحَةَ وَالرَّمْيَ

Maksudnya: “Ajarlah anak-anak kamu berenang dan memanah.”

Riwayat al-Baihaqi

Begitu juga, aktiviti berenang tidak dikira sebagai sesuatu yang sia-sia. Hal ini dikuatkan lagi dengan sabda Nabi SAW:

كُلُّ شَيْءٍ لَيْسَ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ فَهُوَ لَهْوٌ وَسَهْوٌ، إِلَّا أَرْبَعَ خِصَالٍ : مَشْيُ الرَّجُلِ بَيْنَ الْغَرَضَيْنِ، وَتَأْدِيبُهُ فَرَسَهُ، وَمُلَاعَبَتُهُ أَهْلَهُ، وَتَعَلُّمُ السِّبَاحَة

Maksudnya: “Setiap perkara yang tidak disebut nama Allah SWT adalah sia-sia dan lalai melainkan empat benda: Perjalanan seorang lelaki di antara dua matlamat, seorang yang mengajar kudanya, bermesra dengan isteri dan juga belajar berenang.”

Riwayat al-Tabarani

Riwayat ini bukan sekadar nasihat biasa, bahkan mencerminkan pandangan jauh Islam terhadap keselamatan, kekuatan jasmani dan kelangsungan hidup manusia. Saidina Umar RA memahami realiti kehidupan terutama yang melibatkan air. Hal ini kerana, air adalah sebahagian daripada alam manusia dan kelemahan menghadapinya boleh membawa kepada kemudaratan bahkan kematian.

Berenang sebagai Tuntutan Maslahah, Bukan Sekadar Sukan

Walaupun hukum asal berenang adalah harus, namun dalam realiti semasa ia boleh berubah menjadi tuntutan keperluan (hajah) atau bahkan kemestian (darurah). Di negara seperti Malaysia yang dikelilingi laut, mempunyai banyak sungai dan kawasan rekreasi air, kemahiran berenang bukan lagi pilihan sampingan, tetapi alat menyelamatkan nyawa.

Banyak kes lemas berlaku kerana mangsa panik apabila terjatuh ke air, tidak tahu mengapungkan badan, atau tidak mampu berenang walaupun jarak ke tebing dekat. Jika kemahiran asas berenang diajar sejak kecil seperti saranan Saidina Umar R.A, insya-Allah banyak nyawa dapat diselamatkan.

Menjaga Nyawa (Hifz al-Nafs) sebagai Maqasid Syariah

Antara maqasid syariah yang utama ialah menjaga nyawa. Segala usaha yang membawa kepada pemeliharaan nyawa adalah selari dengan kehendak syarak. Oleh itu, mengabaikan pendidikan keselamatan air sehingga membawa kepada risiko kematian boleh dikira sebagai kecuaian terhadap amanah Allah SWT.

Ini berdasarkan kaedah fiqh:

الضرر يزال

Maksudnya: “Kemudaratan hendaklah dihilangkan.”[1]

Ketidakupayaan berenang membawa risiko lemas yang tinggi. Dengan menguasai kemahiran berenang, seseorang itu berusaha untuk menghilangkan atau mengurangkan potensi bahaya yang boleh menimpa dirinya atau orang lain, yang selaras dengan prinsip asas fiqh tersebut.

Oleh itu, Ibu bapa, penjaga dan pihak berautoriti juga wajar melihat kemahiran berenang sebagai sebahagian daripada pendidikan asas kehidupan, bukan sekadar aktiviti kokurikulum atau hiburan. Dalam hal ini, kegagalan menyediakan pendidikan dan kemahiran yang boleh menyelamatkan nyawa anak-anak boleh membawa implikasi dosa jika berlaku kecuaian yang jelas.

Berenang Bukan Perbuatan Sia-sia

Riwayat yang menyebut bahawa belajar berenang termasuk dalam perkara yang tidak sia-sia menunjukkan bahawa Islam meraikan aktiviti fizikal yang berfaedah. Maka, alasan bahawa berenang hanya untuk berseronok atau membuang masa adalah tidak tepat.

Sebaliknya, aktiviti berenang memberikan pelbagai manfaat yang besar kepada individu sama ada dari sudut jasmani mahupun rohani. Ia berperanan menguatkan tubuh badan, meningkatkan kecergasan fizikal serta membantu kesihatan secara menyeluruh. Dalam masa yang sama, berenang melatih disiplin diri dan keberanian, khususnya apabila seseorang berhadapan dengan cabaran air yang memerlukan ketenangan dan kawalan emosi. Aktiviti ini juga mampu membina keyakinan diri, terutamanya apabila seseorang berjaya menguasai kemahiran yang sebelum ini dianggap sukar atau menakutkan.

Lebih penting daripada itu, kemahiran berenang dapat mengurangkan risiko kematian akibat lemas, sekali gus menjadi sebab kepada pemeliharaan nyawa. Justeru, segala manfaat ini menjadikan berenang bukan sekadar aktiviti duniawi, bahkan termasuk dalam amal dunia yang bernilai akhirat apabila disertai dengan niat yang betul kerana ia selari dengan tuntutan syarak dalam menjaga keselamatan, kesihatan dan nyawa manusia.

Keperluan Kesedaran Kolektif Masyarakat

Isu lemas di Malaysia tidak boleh ditangani secara individu semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh dan kerjasama semua pihak. Ia bermula dengan pendidikan awal di rumah dan di sekolah, khususnya dalam membentuk kesedaran tentang keselamatan air serta kemahiran asas berenang sejak usia muda. Di samping itu, penganjuran kursus keselamatan air dan latihan menyelamat amat penting bagi melatih masyarakat agar tahu bertindak dengan betul ketika berhadapan situasi kecemasan.

Pematuhan terhadap peraturan di kawasan rekreasi air seperti pantai, sungai dan kolam renang juga perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Dalam masa yang sama, masyarakat hendaklah menjauhi sikap mengambil mudah terhadap amaran, papan tanda dan larangan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, kerana sikap cuai dan sambil lewa sering menjadi punca utama berlakunya tragedi lemas. Pendekatan bersepadu ini selari dengan tuntutan Islam yang menekankan pencegahan kemudaratan dan pemeliharaan nyawa sebagai tanggungjawab bersama.

Dalam neraca Islam, mencegah kemudaratan adalah lebih utama daripada merawatnya. Maka, memasyarakatkan budaya belajar berenang dan keselamatan air adalah satu tanggunggjawab bersama.

Penutup

Riwayat-riwayat yang telah disebutkan bukan sekadar teks pesanan semata-mata, tetapi panduan praktikal yang sangat relevan dengan realiti semasa. Banyak kes lemas yang berlaku hari ini seolah-olah menjadi peringatan bahawa umat Islam perlu kembali memahami hikmah anjuran tersebut.

Maka, mempelajari berenang bukan sahaja harus, bahkan boleh menjadi satu keperluan syarak demi menjaga nyawa, menunaikan amanah dan mengelakkan penyesalan. Semoga masyarakat Islam di Malaysia lebih peka, berilmu dan bersedia dalam menghadapi realiti alam yang penuh dengan risiko ini.

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

29 REJAB 1447H / 19 JANUARI 2026

[1] Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman al-Sayutiy (1983), al-Ashbah wa al-Nazair fi Qawa’id wa Furu’ Fiqh al-Shafi’iyyah, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 7.