اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 77/2026: KEWIBAWAAN PAKAIAN SERAGAM PENGUATKUASA AGAMA: SIMBOL AUTORITI DAN PERISAI HAYBAH

TintaMufti.jpg

KEWIBAWAAN PAKAIAN SERAGAM PENGUATKUASA AGAMA: SIMBOL AUTORITI DAN PERISAI HAYBAH

Pendahuluan

Agensi penguatkuasaan agama memikul amanah yang berat dan sensitif. Tugas mereka melibatkan penguatkuasaan undang-undang syariah, operasi lapangan dan tindakan terhadap pelanggaran moral. Dalam banyak keadaan, operasi dijalankan dalam situasi berisiko dan mencabar keselamatan diri. Pada masa yang sama, mereka berdepan tekanan persepsi awam, kritikan terbuka dan tuntutan integriti yang tinggi. Justeru itu, kewibawaan bukan sekadar kelebihan. Ia suatu keperluan institusi.

Dalam konteks inilah, pakaian beruniform memainkan peranan yang signifikan. Apabila seseorang mengenakan uniform, maka lahir suatu haybah. Terzahir kewibawaan. Masyarakat memberi penghormatan. Dalam keadaan tertentu, timbul rasa gerun. Kesan ini bukan semata-mata persepsi sosial. Sebaliknya, ia menandakan kehadiran autoriti yang sah dan disiplin yang tersusun.

Sehubungan itu, uniform tidak boleh dilihat sekadar identiti pekerjaan. Dalam kerangka fiqh dan maqasid, simbol zahir mempunyai fungsi membina ketaatan, menegakkan autoriti dan memelihara kestabilan masyarakat. Uniform membezakan peranan. Uniform menzahirkan amanah. Uniform mengukuhkan struktur penguatkuasaan agama. Oleh yang demikian, usaha memartabatkan pakaian beruniform agensi penguatkuasaan agama adalah sebahagian daripada pengukuhan integriti dan kewibawaan institusi itu sendiri.

Simbol autoriti dan disiplin awam

Pakaian beruniform berfungsi sebagai tanda pengenalan rasmi kepada kuasa yang sah. Ia membezakan peranan antara orang awam dan penjawat amanah negara. Kejelasan ini memudahkan pelaksanaan undang-undang dan mengurangkan kekeliruan dalam situasi operasi atau kecemasan. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul dan para pemegang autoriti dalam kalangan kamu.”

Surah al-Nisa (59)

Ayat ini menegaskan kewujudan struktur autoriti dalam masyarakat Islam. Ketaatan kepada ulil amri menuntut kejelasan pihak yang memegang kuasa tersebut. Autoriti yang tidak dikenali akan melemahkan kepatuhan. Kepatuhan yang lemah menjejaskan kestabilan dan maslahah masyarakat. Ini sebagaimana kaedah fiqh yang menyatakan:

تَصَرُّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالمَصْلَحَة

Maksudnya: Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah.

Selain itu juga, uniform mencerminkan identiti yang berperanan membezakan antara orang awam dengan pihak berautoriti bagi memberi kepercayaan dan keyakinan masyarakat. Hal ini sebagaimana kisah Sultan Ulama Syeikh Izzudin Ibn Abd al-Salam ketika bertawaf, beliau menasihati sekumpulan orang dalam keadaan beliau masih memakai kain ihram. Namun nasihat tersebut tidak diendahkan. Pada kesempatan lain, beliau sekali lagi menegur namun pada kali ini dengan memakai pakaian yang menjadi ciri khas ulama. Ternyata nasihatnya didengar dan diterima dengan baik.[1]

Imam Ibn Hajar juga menjelaskan bahawa, memakai syiar atau pakaian yang menjadi identiti ulama bagi mereka yang benar-benar tergolong dalam kalangan tersebut adalah sunat yang sangat dituntut, khususnya apabila masyarakat hanya dapat mengenali kedudukannya sebagai alim melalui penampilan tersebut.[2]

Uniform dengan itu adalah simbol amanah dan disiplin, bukan sekadar pakaian kerja. Sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Surah al-Nisa (58)

Dalam kerangka maqasid tadayun, kejelasan struktur autoriti membantu masyarakat mematuhi peraturan yang adil sebagai sebahagian daripada komitmen beragama. Manakala dalam konteks maqasid umran, ia menyumbang kepada tertib sosial dan kelangsungan sistem kenegaraan agar kelancaran urus tadbir berjalan lancar.

Haybah pakaian seragam sebagai perisai pencegahan

Intipati utama dalam persediaan kekuatan ialah menimbulkan rasa gerun agar pihak yang cenderung melakukan kerosakan tidak berani bertindak melampau. Pencegahan didahulukan sebelum hukuman dijatuhkan. Prinsip ini ditegaskan oleh Allah SWT:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ

Maksudnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu.”

Surah al-Anfal (60)

Frasa turhibuna bihi membuktikan bahawa penzahiran kekuatan mempunyai fungsi psikologi yang kritikal sebagai mekanisme pencegah sebelum berlaku pencerobohan.[3] Tujuan persediaan bukan semata-mata untuk berperang. Sebaliknya, ia untuk menghalang keberanian melampaui batas. Bahkan, menurut penegasan al-Sha‘rawi, sekadar persiapan yang jelas sudah cukup menimbulkan rasa gerun di hati musuh.[4]

Dalam konteks moden, kekuatan tidak lagi terbatas kepada senjata. Ia merangkumi simbol autoriti yang nyata dan berstruktur. Pakaian seragam termasuk dalam kategori ini. Ia menjadi manifestasi kekuatan berinstitusi. Malah, fungsinya menyerupai “pertunjukan ketenteraan” yang mempamerkan kewibawaan dan kesediaan sesebuah kedaulatan.[5] Apabila kekuatan dizahirkan secara terbuka, maka terhasil apa yang disebut sebagai al-tawazun al-silmi iaitu keseimbangan yang mengekalkan keamanan. Lawan tidak berani mencabar. Keseimbangan tercapai tanpa pertumpahan.[6]

Begitu juga dalam penguatkuasaan agama. Kehadiran pegawai berseragam dalam operasi menzahirkan disiplin, struktur dan kuasa yang sah. Lahirlah haybah, iaitu gerun berteraskan penghormatan terhadap autoriti yang sah, lalu mengekang keberanian mencabar undang-undang. Ia bukan intimidasi. Ia pencegahan institusional. Sebaliknya, jika operasi dijalankan tanpa uniform tanpa keperluan taktikal, maka kesan psikologi tersebut akan hilang. Keberanian melakukan kemungkaran meningkat. Undang-undang dipandang ringan.

Rentetan itu, persediaan kekuatan sebenarnya bertujuan menafikan pertembungan. Ketakutan terhadap tindak balas autoriti yang sah menjadi penghalang utama kepada pencerobohan.[7] Musuh yang dimaksudkan bukan sekadar penentang akidah, tetapi golongan yang merosakkan kehidupan dan menzalimi masyarakat.[8] Disebabkan itu pemakaian uniform di sini berfungsi sebagai izhar al-syawkah iaitu menampakkan keupayaan yang menggentarkan yang sah demi melindungi masyarakat daripada kerosakan yang lebih besar.

Sehubungan itu, usaha memartabatkan pakaian seragam penguatkuasa agama mendukung dua maqasid yang utama. Pertama, maqasid umran iaitu menjaga kestabilan sosial melalui penzahiran kekuatan yang tersusun demi menjamin keamanan awam. Kedua, maqasid tadayun, iaitu mengekang kemungkaran sebelum ia merosakkan iman dan akhlak masyarakat. Dengan demikian, haybah uniform bukan sekadar penampilan luaran, tetapi perisai pencegahan yang menyokong kewibawaan institusi agama secara menyeluruh.

Penutup

 

Tuntasnya, kewibawaan pakaian seragam penguatkuasa agama bukan isu kosmetik atau simbolik semata-mata. Ia berkait langsung dengan struktur autoriti, keberkesanan penguatkuasaan dan kestabilan masyarakat. Uniform menzahirkan amanah. Uniform membina haybah. Uniform menjadi perisai pencegahan sebelum hukuman dijatuhkan. Justeru, meremehkan kepentingannya bererti melemahkan psikologi kepatuhan dan menghakis wibawa institusi. Dalam suasana sosial yang semakin mencabar, kewibawaan tidak boleh dibiarkan samar.

Sehubungan itu, masyarakat wajar melihat kehadiran pegawai berseragam sebagai lambang kuasa yang sah, bukan sasaran sinis atau polemik media sosial. Kritikan perlu berasas. Teguran mesti beradab. Sokongan moral terhadap institusi penguatkuasaan agama adalah sebahagian daripada tanggungjawab kolektif menjaga disiplin awam dan maruah syariah. Tanpa sokongan sosial, autoriti akan dipersoal. Apabila autoriti dipersoal secara sembrono, maka keberanian melanggar hukum akan meningkat.

Pada masa yang sama, kerajaan perlu memperkukuh aspek profesionalisme, latihan taktikal dan etika perkhidmatan agar haybah yang dizahirkan selari dengan integriti sebenar. Uniform mesti disokong oleh disiplin, kompetensi dan keadilan. Penampilan tanpa integriti akan meruntuhkan kepercayaan. Namun integriti tanpa penzahiran autoriti akan melemahkan pencegahan. Oleh itu, pengukuhan pakaian seragam, pemantapan latihan dan pemeliharaan integriti mesti bergerak seiring. Hanya dengan keseimbangan ini, kewibawaan penguatkuasaan agama akan terus teguh dan dihormati.

[1] Muhammad bin Abdullah al-Jurdani, al-Jawahir al-Lu’lu’iyyah fi Syarh al-Arba’in al-Nawawi. (Kaherah: Dar al-Fadhilah, 1331H) Hlm. 45

ونقل عن ابن عبد السلام أنه قال : لا بأس بلباس شعار العلماء الذين يعرفون به ، فإني كنتُ محرما فأنكرت على جماعة محرمين لا يعرفونني ما أخلوا به من آداب الطواف فلم يقبلوا ، فلما لبست ثياب الفقهاء وأنكرتُ عليهم ذلك سمعوا وأطاعوا ، فإذا لبسها فقيه لمثل ذلك كان له أجر ؛ لأنه سبب لامتثال أمر الله والانتهاء عما نهى عنه

[2] Abu Bakr ‘Usman bin Muhammad Syata al-Dimyati, I’anah al-Talibin. (t.tp: Dak al-Fikr li Taba’ah wa al-nasyr wa al-Tauzi’, 1418H) Jld.2 Hlm. 95

اتخاذ شعار العلماء لمن هو منهم وتوقفت معرفة كونه منهم على ذلك سنة مؤكدة، لأنا مأمورون بنشر العلم، وهداية الضالين، وإرشاد المسترشدين الخ.

[3] Muhammad Mutawalli al-Sha‘rawi, Tafsir al-Sha‘rawi: al-Khawatir (Kaherah: Matabi‘ Akhbar al-Yawm, t.t.), 8: 4779.

[4] Al-Sha‘rawi, Tafsir al-Sha‘rawi, 8: 4779. Teks asal:

فَالْقَصْدُ - إِذَنْ - مِنْ إِعْدَادِ هَذِهِ الْقُوَّةِ هُوَ إِرْهَابُ الْعَدُوِّ حَتَّى لَا يَطْمَعَ فِيكُمْ؛ لِأَنَّ مُجَرَّدَ الْإِعْدَادِ لِلْقُوَّةِ، هُوَ أَمْرٌ يُسَبِّبُ رَهْبًا لِلْعَدُوِّ.

[5] Al-Sha‘rawi, Tafsir al-Sha‘rawi, 8: 4779.

[6] Al-Sha‘rawi, Tafsir al-Sha‘rawi, 8: 4779. Teks asal:

وَلِهَذَا تُقَامُ الْعُرُوضُ الْعَسْكَرِيَّةُ ... وَيَتَحَقَّقُ بِهَذَا مَا نُسَمِّيهِ بِالْعَصْرِ «التَّوَازُنَ السِّلْمِيَّ».

[7] Al-Sha‘rawi, Tafsir al-Sha‘rawi, 8: 4779. Teks asal:

وصار الخوف من رد الفعل أحد الأسباب القوية المانعة للحرب ... وهكذا صار الإعداد للحرب ينفي قيام الحرب.

[8] Al-Sha‘rawi, Tafsir al-Sha‘rawi, 8: 4779. Teks asal:

لأنهم يفسدون الحياة على المؤمنين ... ولكن يعاقبهم بسبب الإفساد في الأرض وبغيهم وطغيانهم.