اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 88/2026: MENGEBUMIKAN JENAZAH DI TEMPAT SELAIN TANAH PERKUBURAN AWAM

TintaMufti.jpg

MENGEBUMIKAN JENAZAH DI TEMPAT SELAIN TANAH PERKUBURAN AWAM

Para ulama bersepakat bahawa mengebumikan jenazah merupakan fardu kifayah. Hal ini berdasarkan amalan yang telah dilakukan umat Islam sejak zaman Nabi SAW dan para sahabat. Walaupun harus menanam jenazah di tempat selain tanah perkuburan, namun menurut mazhab Syafi’i menanam jenazah di tanah perkuburan adalah lebih afdhal. Imam al-Nawawi menyebut:

بَابُ الدَّفْنِ: أَنَّهُ فَرْضُ كِفَايَةٍ، وَيَجُوزُ فِي غَيْرِ الْمَقْبَرَةِ، لَكِنْ فِيهَا أَفْضَلُ

Maksudnya: “Bab pengebumian: Sesungguhnya ia adalah fardu kifayah. Harus menanam mayat di selain tanah perkuburan, namun menanamnya di tanah perkuburan adalah lebih afdhal.” (Rujuk Raudhah al-Talibin, 2/131)

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa sekiranya berlaku perbezaan pandangan dalam kalangan waris sama ada hendak menanam jenazah di tanah milik sendiri atau di tanah perkuburan awam, maka didahulukan tanah perkuburan awam (Rujuk Raudhah al-Talibin, 2/131).

Menurut Syeikh Zakaria al-Ansari antara hikmah pengebumian di tanah perkuburan lebih afdal adalah kerana mengikuti Nabi SAW dan supaya memperoleh doa daripada orang yang lalu di kawasan tersebut (Rujuk Asna al-Mathalib, 1/324).

Di Malaysia, pengebumian juga tertakluk kepada undang-undang tempatan. Melalui Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), pengebumian di tanah persendirian biasanya memerlukan kelulusan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan:

(3) Tiap-tiap lesen bagi menggunakan sesuatu tempat sebagai tanah perkuburan atau tempat membakar mayat hendaklah dikeluarkan kepada tuanpunya berdaftar bagi tempat yang mengenainya lesen itu dikeluarkan

Kesimpulannya, hukum mengebumikan jenazah adalah fardu kifayah ke atas umat Islam. Pada asasnya, harus mengebumikan jenazah di tempat selain tanah perkuburan, termasuk di tanah milik sendiri. Namun menurut pandangan ulama mazhab al-Syafi‘i, lebih afdhal jenazah dikebumikan di tanah perkuburan bagi membolehkan si mati memperoleh doa daripada orang yang menziarahinya. Selain itu, dalam konteks Malaysia, pengebumian juga tertakluk kepada peruntukan undang-undang pihak berkuasa tempatan yang mengawal selia tanah perkuburan.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

19 RAMADAN 1447H / 9 MAC 2026