اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 124/2026 : KESELAMATAN KANAK-KANAK DI SEKOLAH TANGGUNGJAWAB BERSAMA

TintaMufti.jpg

KESELAMATAN KANAK-KANAK DI SEKOLAH TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Mukadimah

Isu keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di sekolah merupakan amanah yang menuntut komitmen menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan. Selaras dengan prinsip hak penjagaan dan perlindungan kanak-kanak, Kementerian Pendidikan (KPM) secara berterusan memperkukuh kerangka persekitaran sekolah yang selamat menerusi pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah Bawah Kementerian Pendidikan. Langkah ini menetapkan bahawa setiap keputusan serta tindakan pengurusan hendaklah sentiasa berteraskan kepentingan murid, memelihara maruah, hak bersuara dan privasi mereka daripada sebarang bentuk ancaman. Melalui penetapan pematuhan secara bertulis seperti Surat Aku Janji Kepatuhan, maka obligasi menjaga keselamatan murid kini menjadi tanggungjawab bersama yang wajib dipatuhi oleh seluruh warga sekolah mahupun pihak luar demi menjamin persekitaran pembelajaran yang kondusif dan sejahtera.

Kewajipan Menjaga Keselamatan Kanak-Kanak dalam Islam

Dalam kehidupan sesebuah keluarga, ibu bapa merupakan pemilik amanah terbesar dalam memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terjamin dan terjaga.[1] Keadaan ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW berikut:

أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، فَالإِمَامُ الَّذِى عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهْوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهْوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى أَهْلِ بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ وَهِىَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ

Maksudnya: “Ketahuilah, setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu akan ditanya (bertanggungjawab) terhadap apa yang dipimpinnya. Pimpinan (kerajaan/pemerintah) yang memimpin manusia adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap pimpinannya. Seorang lelaki adalah pemimpin ke atas ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap pimpinannya. Seorang wanita adalah pemimpin ke atas rumah tangga suaminya serta anak-anaknya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka."

(Riwayat Al-Bukhari)

Walau bagaimanapun, proses pembesaran dan keperluan pendidikan menuntut kanak-kanak melangkah keluar dari ruang lingkup penjagaan keluarga, sekali gus melahirkan keperluan untuk penglibatan pihak lain dalam menjaga keselamatan mereka. Apabila anak berada di sekolah, tanggungjawab penjagaan dan keselamatan dalam konteks persekolahan turut melibatkan pihak sekolah, guru dan pihak-pihak lain yang berkaitan mengikut peranan masing-masing dalam pengurusan dan penjagaan murid.

Bagi warga pendidik, amanah melindungi keselamatan murid bukanlah perkara baharu, malah sudah lama terpatri dalam etika perguruan. Secara moral dan profesional, guru secara semula jadi mempunyai tanggungjawab penjagaan dan keselamatan terhadap murid dalam konteks tugas profesional mereka. Walau bagaimanapun, keprihatinan murni ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk meletakkan seluruh beban keselamatan di bahu mereka semata-mata.

Bagi memastikan persekitaran selamat untuk kanak-kanak dapat direalisasikan dengan berkesan, sokongan padu daripada segenap lapisan masyarakat dan agensi kerajaan amat diperlukan. Pembahagian peranan yang seimbang dan adil ini sangat penting supaya warga pendidik tidak dibebani dengan tugas kawalan luar, sekali gus membolehkan mereka kekal fokus kepada tanggungjawab hakiki iaitu menyampaikan ilmu dan membimbing sahsiah anak-anak di dalam bilik darjah.

Tanggungjawab Bersama Menjamin Keselamatan Kanak-Kanak

Terdapa satu kaedah fiqh yang menyatakan:

تَصَرُّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالمَصْلَحَة

Maksudnya: “Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah”.

Kaedah di atas bermaksud segala pelaksanaan tindakan pemerintah terhadap rakyat pada sesuatu perkara sama ada ia disukai ataupun tidak disukai bergantung kepada hasil dan manfaatnya sama ada ia terkait dengan urusan agama atau urusan dunia. Justeru, polisi pentadbiran yang bertujuan menjaga maslahah dan mencegah kemudaratan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab pemerintah dalam mengurus kepentingan awam. Namun, jika ia tidak menjamin sebarang maslahah bahkan mendatangkan kemudaratan, maka tidak menjadi kewajipan kepada rakyat untuk mentaatinya.[2]

Berdasarkan kaedah ini juga, Islam telah meletakkan garis panduan berkaitan kuasa pemerintah pada perkara-perkara berkaitan pentadbiran awam dan siyasah syar’iyyah di mana sesuatu perintah mestilah terbina di atas kepentingan dan kebaikan kepada masyarakat. Secara dasarnya kita fahami bahawa pihak pemerintah bukanlah berkhidmat untuk kepentingan diri sendiri bahkan mereka diibaratkan sebagai wakil yang berkuasa mentadbir negara dengan cara yang terbaik demi menegakkan keadilan, menolak kezaliman, memelihara hak, mengawal keselamatan, menyebarkan ilmu, membersihkan masyarakat daripada kerosakan atau merealisasikan apa-apa sahaja perkara yang mendatangkan maslahah kepada masyarakat[3].

Oleh itu, polisi ini bertindak sebagai inisiatif pentadbiran awam yang berteraskan kebaikan untuk menjamin keselamatan dan melindungi hak murid daripada ancaman serta menolak kemudaratan dalam institusi pendidikan. Penetapan polisi ini merupakan satu bentuk tanggungjawab kerajaan untuk membawa maslahah demi kesejahteraan dan keadilan kanak-kanak.

Pelaksanaan Polisi Perlindungan Kanak-Kanak serta dokumen Aku Janji oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggambarkan komitmen berterusan kerajaan terhadap kebajikan murid. Bagi memastikan matlamat murni ini tercapai dengan berkesan, polisi tersebut perlu digandingkan dengan kemudahan yang selari serta proses pentadbiran yang melancarkan tugas harian guru. Keselamatan murid akan lebih terjamin melalui penglibatan aktif pelbagai pihak termasuk ibu bapa memantau anak-anak di luar waktu sekolah, manakala agensi seperti PDRM dan PBT menjaga keselamatan persekitaran.

Penutup

Hakikatnya, tiada satu pihak pun yang boleh memikul beban keselamatan dan pembesaran kanak-kanak ini secara bersendirian. Sekolah, rumah dan persekitaran awam adalah satu ekosistem yang saling berhubungan. Kerjasama rentas komuniti ini yang akan memberi jaminan yang tinggi kepada tahap keselamatan sebenar anak-anak di mana-mana sahaja termasuklah di sekolah. Pelaksanaan Aku Janji Polisi Perlindungan Kanak-Kanak di sekolah-sekolah Malaysia menandakan langkah proaktif dan tegas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memastikan persekitaran pembelajaran kekal selamat, inklusif, dan bebas daripada sebarang bentuk ancaman.

Wallahu a'lam

 

 

Rujukan: 

[1] Al-Qastalani, Ahmad bin Muhammad. (1996). Irsyad Al-Sari li Syarh Al-Sahih Al-Bukhari. (Beirut: Dar Al-Kutub Al-Ilmiyyah). 15:86.

(وهو مسؤول عن رعيته، والرجل راعٍ على أهل بيته) يقوم عليهم بالحق في النفقة وحسن العشرة (وهو مسؤول عن رعيته، والمرأة راعية على أهل بيت زوجها) بحسن التدبير في أمر بيته والتعهد لخدمته وأضيافه (وولده) بحسن تربيته وتعهده (وهي مسؤولة عنهم) أي عن بيت زوجها وولده

[2] Muhammad Mustafa al-Zuhaili. al-Qawaid al-Fiqhiyyah wa Tatbiquha fi al-Mazahib al-Arbaah. (Damsyiq; Dar al-Fikr, 2006). Jld 1. Hlm 493.

إن نفاذ تصرف الراعي على الرعية، ولزومه عليهم شاؤوا أو أبوا معلق ومتوقف على وجود الثمرة والمنفعة في ضمن تصرفه، دينية كانت أو دنيوية، فإن تضمن منفعة ما وجب عليهم تنفيذه، وإلا ردّ.

[3] Ibid.

وهذه القاعدة ترسم حدود الإدارات العامة والسياسة الشرعية في سلطان الولاة وتصرفاتهم على الرعية، فتفيد أن أعمال الولاة النافذة على الرعية يجب أن تبنى على المصلحة للجماعة وخيرها، لأن الولاة من الخليفة فمن دونه ليسوا عمالاً لأنفسهم،وإنما هم وكلاء عن الأمة في القيام بأصلح التدابير لإقامة العدل، ودفع الظلم، وصيانة الحقوق والأخلاق، وضبط الأمن، ونشر العلم، وتطهير المجتمع من الفساد، وتحقيق كل خير للأمة بأفضل الوسائل، مما يعبر عنه بالمصلحة العامة