
SYURGA BUKAN MILIK EKSKLUSIF MANA-MANA KUMPULAN
Akhir-akhir ini, kedengaran kenyataan sebahagian pihak yang mendakwa bahawa sesiapa yang menyokong mereka akan dijamin masuk syurga. Dakwaan sebegini wajar diperbetulkan kerana ia bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Waljamaah yang menetapkan bahawa syurga bukanlah hak eksklusif mana-mana kumpulan, malah ia adalah ganjaran Allah SWT semata-mata berdasarkan iman, tauhid dan amal soleh seseorang hamba. Allah SWT berfirman:
وَقَالُوا لَن يَدْخُلَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَن كَانَ هُودًا أَوْ نَصَارَىٰ ۗ تِلْكَ أَمَانِيُّهُمْ ۗ قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ﴿١١١﴾ بَلَىٰ مَنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَلَهُ أَجْرُهُ عِندَ رَبِّهِ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ﴿١١٢﴾
Maksudnya: “Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar" [111] (Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita [112].”
[Surah al-Baqarah, 111-112]
Ayat di atas diturunkan sempena dakwaan angkuh sebahagian Yahudi dan Nasrani yang menyandarkan jaminan syurga kepada identiti agama dan kumpulan mereka semata-mata. Allah SWT menjawab dakwaan tersebut dengan menegaskan bahawa balasan syurga diberikan kepada sesiapa sahaja yang berserah diri (Islam) kepada-Nya dengan penuh keikhlasan tauhid serta baik amalannya (ihsan), bukan berdasarkan pengenalan kaum, kumpulan atau puak tertentu. Prinsip inilah yang menjadi asas akidah Ahli Sunnah Waljamaah bahawa tiada satu pun kumpulan manusia yang diberikan jaminan istimewa oleh syarak untuk memonopoli syurga bagi pengikutnya semata-mata kerana kesetiaan kepada kumpulan tersebut.
Sebahagian pihak mungkin cuba menyandarkan fahaman eksklusif ini kepada hadis mengenai perpecahan umat kepada 73 golongan, yang menyebut hanya satu golongan sahaja yang selamat manakala selebihnya di dalam neraka, berdasarkan riwayat Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
افْتَرَقَتِ الْيَهُودُ عَلَى إِحْدَى أَوْ ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً وَتَفَرَّقَتِ النَّصَارَى عَلَى إِحْدَى أَوْ ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً
Maksudnya: “Golongan Yahudi berpecah kepada 71 atau 72 golongan. Adapun golongan Nasrani pula berpecah kepada 71 atau 72 golongan juga dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan”
[Riwayat Abu Daud]
Para ulama berbeza pandangan dalam memahami hadis ini, antaranya Imam al-San`āni, berpendapat bahawa umat dalam hadis perpecahan ialah umat yang didakwahi oleh Nabi SAW, termasuk mereka yang beriman dan yang mengingkari dakwah Baginda. Namun, tafsiran ini dilihat kurang tepat kerana hadis tersebut menggambarkan perpecahan yang akan berlaku dalam kalangan umat Islam pada masa akan datang. Justeru, umat yang dimaksudkan lebih tepat merujuk kepada umat Islam yang menyahut dakwah Nabi SAW.
Imam al-Syatibi pula menyebut beberapa pandangan ulama tentang maksud al-Jama''ah atau golongan yang terselamat, antaranya:
- Al-Sawad al-A‘zam: majoriti umat Islam yang terdiri daripada ulama, mujtahid dan orang yang mengikuti mereka.
- Para ulama mujtahid: mereka yang berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah.
- Para sahabat Nabi SAW berdasarkan riwayat “مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي”.
- Kesatuan umat di bawah seorang imam, iaitu kesepakatan umat bersama pemimpin yang berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah.
Kesemua pandangan ini pada asasnya menekankan keperluan berpegang kepada al-Quran, al-Sunnah dan jalan yang benar.
Syeikh Yusuf al-Qaradawi pula, ketika ditanya mengenai hadis ini, berpandangan bahawa lafaz "semuanya berada di dalam neraka" merupakan lafaz tambahan daripada sebahagian perawi dalam matan hadis. Oleh itu, status dan kesahihan lafaz tersebut perlu diteliti terlebih dahulu sebelum dijadikan asas dalam memahami hadis perpecahan umat.
Malah, kalam para ulama tasawuf membuka ruang harapan (rajā’) yang amat luas kepada sesiapa sahaja yang mentauhidkan Allah SWT, tanpa mengira fahaman atau kelompoknya. Hal ini disokong oleh hadis yang diriwayatkan daripada Sayyidina Uthman RA:
مَن ماتَ وهو يَعلَمُ أنَّه لا إلَهَ إلَّا اللهُ دَخَلَ الجَنَّةَ
Maksudnya: “Sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan mengetahui bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, maka dia akan masuk ke dalam syurga”
[Riwayat Muslim]
Terdapat pelbagai lagi hadis seperti ini yang menunjukkan pintu harapan syurga terbuka luas kepada seluruh manusia yang mengesakan Allah SWT, tanpa syarat kesetiaan kepada mana-mana kumpulan atau tokoh tertentu.
Kesimpulannya, kenyataan yang mengaitkan jaminan syurga dengan sokongan kepada individu atau kumpulan tertentu adalah dakwaan yang tidak berasas dari sudut syarak dan boleh menyebabkan kecelaruan kefahaman dalam kalangan masyarakat awam, kerana perbincangan soal syurga dan neraka perlulah menggunakan mizan perkara ghaib. Diharapkan agar isu akidah sebegini tidak dieksploitasi untuk kepentingan tertentu, kerana urusan syurga dan neraka adalah hak mutlak Allah SWT berdasarkan keikhlasan tauhid, keimanan dan ketaatan seseorang hamba, bukan berdasarkan sokongan kepada sesiapa pun di dunia ini.
WaLlāhu A’lam
SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN