اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 133/2026 : AL-HIKAM MEMBINA MANUSIA, MEMBINA NEGARA

t.jpeg

 

AL-HIKAM MEMBINA MANUSIA, MEMBINA NEGARA

 

Pendahuluan

Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) 2026 di Masjid Putra, Putrajaya membuka ruang luas kepada masyarakat untuk kembali duduk di hadapan kitab dan ulama. Tahun ini, al-Hikam al-‘Ata’iyyah karya Imam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari menjadi karya utama festival. Kerajaan Malaysia bersama Kerajaan Negeri Selangor membawa penganjuran yang bermula di Selangor ke peringkat nasional. Dengan ruang yang lebih luas ini, masyarakat dapat mendekati kembali tradisi membaca kitab, mendengar syarah dan mengambil adab daripada guru.[1]

Turath pada asasnya ialah warisan yang sampai kepada kita daripada generasi terdahulu.[2] Dalam tradisi ilmu Islam, warisan ini hadir melalui karya tafsir, hadis, fiqh, akidah, tasawuf dan pelbagai disiplin lain. Karya-karya ini lahir daripada kesungguhan ulama memahami nas, menyusun ilmu dan menjawab persoalan pada zaman mereka. Sebab itu turath dihargai sebagai khazanah ilmu, namun kedudukannya tetap berbeza daripada wahyu. Kita membacanya dengan adab, mengambil manfaat daripadanya dan menilainya dengan panduan al-Quran serta al-Sunnah.[3]

Antara warisan itu, termasuklah al-Hikam terasa dekat dengan kehidupan kita. Kitab ini mengajak kita menoleh kepada diri sebelum sibuk menilai orang lain. Niat diperiksa ketika bekerja, ego diuji ketika ditegur dan hati ditanya tentang hubungannya dengan Allah SWT serta sesama manusia. Pengajian turath menjadi lebih bermakna saat ilmu yang dipelajari di masjid dibawa pulang ke rumah, pejabat, sekolah dan ruang masyarakat. Apa yang dilatih dalam hati akan mempengaruhi cara amanah dijalankan. Atas dasar inilah tasawuf terus diberi tempat bersama akidah dan syariah dalam bimbingan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.[4] Di sini pembinaan manusia mula bertemu dengan pembinaan negara.

 

HATI YANG JERNIH MEMBINA MANUSIA

Membina manusia melalui al-Hikam bermaksud mendidik cara seseorang berfikir, menilai niat, mengawal dorongan diri dan memilih tindakan. Akal digunakan untuk membaca dan menimbang. Wahyu memberi petunjuk supaya pertimbangan itu tidak kehilangan arah. Hati menentukan tujuan ilmu dan amal. Al-Quran mengaitkan kejayaan dengan penyucian jiwa, manakala Rasulullah SAW mengingatkan bahawa keadaan hati memberi kesan kepada seluruh diri.[5] Ibn ‘Ata’illah membawa didikan ini kepada amal dan mengingatkan bahawa keikhlasanlah yang memberi roh kepada sesuatu pekerjaan. Beliau menyebut seperti berikut.

الأَعْمَالُ صُوَرٌ قَائِمَةٌ، وَأَرْوَاحُهَا وُجُودُ سِرِّ الإِخْلَاصِ فِيهَا

Maksudnya, “Amalan itu ibarat bentuk yang berdiri, sedangkan rohnya ialah rahsia keikhlasan yang ada di dalamnya.”[6]

 

Hikmah ini mudah dirasakan dalam kehidupan harian. Kita biasanya lebih bersemangat saat usaha dihargai. Cabaran sebenar terasa ketika kerja dilakukan tanpa pujian dan perhatian orang. Ikhlas melatih hati supaya kebaikan tetap diteruskan kerana tugas itu amanah. Penghargaan diterima dengan syukur, namun hati tidak bergantung kepadanya. Dari latihan inilah niat mula membentuk cara seseorang bekerja dan memikul tanggungjawab.

Didikan hati kemudian perlu terlihat pada perbuatan. Niat yang baik kehilangan maknanya jika tutur kata masih melukai, keputusan dibuat mengikut kepentingan diri dan layanan kepada orang lain berubah mengikut kedudukan mereka. Ibn ‘Ata’illah menghubungkan apa yang tersimpan dalam batin dengan apa yang muncul pada zahir. Beliau menyebut seperti berikut.

مَا اسْتُودِعَ فِي غَيْبِ السَّرَائِرِ ظَهَرَ فِي شَهَادَةِ الظَّوَاهِرِ

Maksudnya, “Apa yang tersimpan dalam batin akan terlihat kesannya pada zahir.”[7]

 

Ibn ‘Ajibah menjelaskan bahawa keadaan zahir mengikuti keadaan batin. Penjelasan ini dekat dengan kehidupan. Orang yang melatih sabar lebih mampu menjaga nada ketika marah. Orang yang membiasakan muhasabah lebih mudah berhenti sebelum menyalahkan orang lain. Sikap yang diulang akhirnya menjadi kebiasaan, lalu kebiasaan itu membentuk suasana di rumah, tempat kerja dan masyarakat. Dengan cara ini, pembinaan manusia bermula pada hati dan kesannya sampai kepada orang di sekelilingnya.

 

ADAB YANG HIDUP MEMBINA NEGARA

Manusia tidak hidup sendirian. Hati yang dididik akan diuji ketika berhadapan dengan perbezaan pandangan, kepentingan dan kedudukan. Dalam masyarakat Malaysia yang hidup dengan pelbagai agama, budaya dan latar, adab membantu kita menjaga ruang hidup bersama. Ilmu dan kemahiran tetap perlu disertai kesediaan mendengar, menjaga maruah orang lain dan mengawal kata-kata ketika tidak bersetuju. Nilai ini dekat dengan prinsip kelima Rukun Negara, Kesopanan dan Kesusilaan, yang menekankan tatasusila serta mengingatkan bahaya keangkuhan dalam hubungan sesama manusia.[8]

Di sinilah tawaduk menjadi penting dalam hidup bersama. Tawaduk membantu seseorang meletakkan ilmu, pengalaman dan kedudukan pada tempat yang betul. Keyakinan pada pendirian masih boleh berjalan bersama kesediaan mendengar. Teguran pula boleh diterima tanpa merasakan maruah diri jatuh. Ibn ‘Abbad al-Rundi menjelaskan bahawa antara tanda tawaduk ialah seseorang tidak mudah marah ketika ditegur atau kekurangannya disebut.[9] Sikap seperti ini membuka ruang untuk belajar, membetulkan kesilapan dan berlaku lebih adil.

Didikan ini semakin penting ketika seseorang memiliki kuasa atau pengaruh. Kuasa memberi kemampuan membuat keputusan yang menyentuh hidup orang lain. Ego yang tidak dijaga mudah menjadikan pandangan sendiri terasa paling benar. Tawaduk memberi ruang untuk mendengar suara yang berbeza, mengakui kesilapan dan menilai semula keputusan. Di sinilah adab terlihat pada cara kuasa digunakan, teguran disampaikan, maruah dipelihara dan keadilan dijaga.

Kesopanan dan Kesusilaan akhirnya menjadi lebih daripada ungkapan yang dihafal. Prinsip itu hidup melalui cara manusia mengurus diri ketika berhadapan dengan orang lain. Al-Hikam membantu seorang Muslim memulakan latihan itu pada hati. Hati yang tidak dikuasai ego lebih mudah menjaga kata-kata, manakala kesedaran terhadap maruah manusia membantu perbezaan diurus dengan tertib. Undang-undang, peraturan dan semak imbang tetap diperlukan. Semua itu memperoleh kekuatan apabila dilaksanakan oleh manusia yang memahami amanah dan ihsan.

 

Hikmah yang Dibawa Pulang

Membaca al-Hikam membawa kita kembali menilik diri. Di situlah turath terasa hidup. Ilmu yang diwarisi menyentuh cara kita bekerja, menerima pujian, menghadapi teguran dan mengurus perbezaan. Sedikit demi sedikit, latihan ini menumbuhkan rasa bahawa setiap amanah berada dalam pengetahuan Allah SWT.

Bagi masyarakat Malaysia, didikan ini dekat dengan kehidupan harian. Kita hidup bersama manusia yang berbeza agama, budaya dan pandangan. Ikhlas membantu kita berbuat baik tanpa mengejar pujian, tawaduk memudahkan kita menerima teguran dan adab menjaga kata-kata serta maruah ketika berbeza. Nilai inilah yang patut dibawa pulang daripada majlis ilmu ke rumah, pejabat, sekolah, kejiranan dan institusi.

Festival akan berakhir, namun perjalanan ilmu perlu diteruskan. Membina manusia melalui al-Hikam bererti membimbing hati supaya lebih jernih, akal lebih tertib dan tindakan lebih beradab. Didikan ini perlu dibawa ke dalam amanah harian agar hubungan lebih dipercayai, masyarakat lebih saling menghormati dan negara memperoleh isi serta jiwa daripada manusia yang membinanya.

S.S. Haji Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil

Mufti Wilayah Persekutuan

[1] Radio Televisyen Malaysia, “Festival Turath Islami Malaysia 2026 diangkat ke peringkat nasional,” 11 September 2026, https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/festival-turath-islami-malaysia-2026-diangkat-ke-peringkat-nasional/; Bernama, “Festival Turath Islami Selangor Diangkat Ke Peringkat Kebangsaan,” 27 Ogos 2026, https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2599604.

[2] Muḥammad ibn Mukarram Ibn Manẓūr, Lisān al-ʿArab, 3rd ed., vol. 2 (Beirut: Dār Ṣādir, 1414H), 201, s.v. “ورث”. Teks asal;

والورث والإرث والتراث والميراث ما ورث

[3] Yūsuf al-Qaraḍāwī, Kayfa Nataʿāmal maʿa al-Turāth wa al-Tamadhhub wa al-Ikhtilāf?, 2nd ed. (Cairo: Maktabat Wahbah, 2004), 5. Teks asal:

إذا كان تراث أسلافنا العظام في مستواه البشري خاضعًا للنقد، وليس في ذاته قداسة ولا عصمة

[4] Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, “Visi, Misi, Slogan & Moto,” diakses 18 September 2026, https://www.muftiwp.gov.my/ms/info-korporat/visi-misi-moto.

[5] Al-Qur’an, Surah al-Shams 9–10, قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا ۝ وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا; Muḥammad ibn Ismāʿīl al-Bukhārī, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, Kitāb al-Īmān, no. 52; Muslim ibn al-Ḥajjāj, Ṣaḥīḥ Muslim, no. 1599. Teks asal:

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ.

[6] Abū ʿAbd Allāh Muḥammad ibn Ibrāhīm Ibn ʿAbbād al-Nafzī al-Rundī, Ghāyth al-Mawāhib al-ʿAliyyah fī Sharḥ al-Ḥikam al-ʿAṭāʾiyyah, ed. ʿAbd al-Jalīl ʿAbd al-Salām, ed. ke-2 (Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 2007), 19.

[7] Aḥmad ibn Muḥammad Ibn ʿAjībah al-Ḥasanī, Īqāẓ al-Himam fī Sharḥ Ḥikam Sayyidī Aḥmad ibn ʿAṭāʾ Allāh al-Sakandarī, ed. Muḥammad ʿAbd al-Qādir Naṣṣār (Kaherah: Dār Jawāmiʿ al-Kalim, t.t.), 106. Teks asal:

وَهَكَذَا أَحْوَالُ الظَّاهِرِ تَابِعَةٌ لِأَحْوَالِ الْبَاطِنِ ... فَالْأَسِرَّةُ تَدُلُّ عَلَى السَّرِيرَةِ، وَالْكَلَامُ صِفَةُ الْمُتَكَلِّمِ، وَمَا فِيكَ ظَهَرَ عَلَى فِيكَ.

[8] Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, “Kelab Rukun Negara,” bahagian “Kesopanan dan Kesusilaan,” diakses 18 September 2026, https://www.jpnin.gov.my/web/kelab-rukun-negara; al-Qur’an, Surah Luqman 18. Teks asal:

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ.

[9] Ibn ʿAbbād al-Rundī, Ghāyth al-Mawāhib al-ʿAliyyah, 303. Teks asal:

وَمِنْ عَلَامَاتِ التَّحَقُّقِ بِهَذَا الْخُلُقِ أَنْ لَا يَغْضَبَ إِذَا عِيبَ أَوْ تُنُقِّصَ، وَلَا يَكْرَهَ أَنْ يُذَمَّ