
JEREBU SUDAH DI UDARA, JANGAN KERUHKAN PULA JERUBU DI HATI DAN FIKIRAN
PENDAHULUAN
Jerebu yang melanda negara menjejaskan kesihatan dan mengubah rutin harian masyarakat. Penutupan dan pembukaan semula sekolah memerlukan ibu bapa mengurus penjagaan anak, guru menyesuaikan pembelajaran dan majikan memahami keperluan pekerja. Kesulitan ini lebih terasa bagi keluarga yang mempunyai anak kecil atau ahli keluarga berpenyakit pernafasan.
Keadaan turut mengundang pertikaian tentang keputusan kerajaan dan pendekatan Malaysia terhadap Indonesia berhubung jerebu rentas sempadan. Sebahagian masyarakat mengharapkan tindakan segera, manakala pihak berkuasa perlu menilai keselamatan berdasarkan keadaan yang cepat berubah. Keresahan orang ramai wajar didengar, tetapi tuduhan yang dibuat tanpa penelitian menambahkan ketegangan.
Islam mengajar umatnya membuat pertimbangan secara adil, bersabar dan bertindak demi kebaikan bersama. Keberkesanan dasar kerajaan turut bergantung pada kefahaman dan kerjasama masyarakat.
KESELAMATAN AWAM DAN AMANAH MEMELIHARA KESEJAHTERAAN BERSAMA
Keputusan kerajaan ketika berlakunya jerebu perlu mengambil kira tanggungjawab mencegah kemudaratan. Rasulullah SAW bersabda
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan dengan kemudaratan.”
(Riwayat Ibn Majah)
Prinsip ini menjelaskan keperluan mengehadkan aktiviti atau menutup sekolah ketika pencemaran udara mengancam kesihatan. Pada 15 Oktober 2026, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan bahawa pengoperasian sekolah kembali berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan setelah mendapat pandangan agensi berkaitan. Aktiviti luar bilik darjah dihentikan apabila IPU melebihi 100, manakala sekolah ditutup apabila bacaan mencapai 200.[1] Penentuan mengikut tahap risiko ini melindungi murid sambil mengurangkan kehilangan waktu pembelajaran apabila udara kembali pulih.
KPM turut memberi ruang kepada ibu bapa yang bimbang tentang kesihatan anak untuk memaklumkan ketidakhadiran mereka kepada sekolah. Pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dijadualkan minggu berikutnya juga ditangguhkan, dengan sekolah dibenarkan menyusun jadual baharu.[2] Penyesuaian ini mengambil kira keselamatan, kebajikan keluarga dan kelangsungan pendidikan.
Pelaksanaan dasar tetap perlu diteliti. Makluman awal, penjelasan sebab keputusan dan penyelarasan bersama majikan membantu keluarga membuat persediaan. Masyarakat berhak memberikan pandangan dan melaporkan kesulitan melalui saluran yang sesuai. Maklum balas yang jelas memudahkan pihak berkuasa memperbaiki pelaksanaan.
Pertimbangan tersebut menepati kerangka maqasid al-‘umran yang menekankan keteraturan dan kesejahteraan masyarakat. Imam al-Mawardi dalam Adab al-Dunya wa al-Din menjelaskan hubungan antara kebaikan masyarakat secara keseluruhan dengan keadaan setiap individu. Beliau turut menghuraikan keamanan awam sebagai asas kehidupan yang tenteram.[3] Justeru, kepentingan umum perlu dipelihara bersama kebajikan mereka yang menerima kesan langsung sesuatu keputusan.
Tanggungjawab yang sama melibatkan hubungan serantau. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Oktober 2026 menjelaskan bahawa kerajaan telah berusaha mengadakan rundingan dengan Indonesia.[4] Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan pula menerangkan kerjasama antara agensi kedua-dua negara bagi menangani kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera. Malaysia juga berhasrat membawa pengukuhan mekanisme jerebu ke peringkat ASEAN.[5] Rundingan perlu disusuli tindakan pencegahan dan pemadaman yang berkesan.
Tindakan menangani jerebu memerlukan diplomasi dan penguatkuasaan berasaskan bukti. Perjanjian ASEAN menyediakan asas kerjasama tersebut.[6] Kesalahan perlu ditangani tegas tanpa menyalahkan seluruh rakyat negara jiran.
MENJERNIHKAN JIWA DAN PEMIKIRAN KETIKA MENGHADAPI MUSIBAH
Jerebu juga menguji kemampuan manusia mengawal keresahan dan menjaga hubungan sesama masyarakat. Allah SWT berfirman
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, serta kekurangan harta benda, jiwa dan hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
Surah al-Baqarah (155)
Ayat ini mengajar umat Islam bersabar sambil berusaha memperbaiki keadaan. Jerebu yang dilihat sebagai ujian kehidupan tidak membebaskan pihak yang cuai daripada tanggungjawab. Kita juga tidak wajar menghukum sesuatu masyarakat sebagai menerima kemurkaan Allah SWT tanpa sandaran yang jelas. Kesabaran sepatutnya menguatkan ikhtiar dan keprihatinan.
Dalam konteks ini, maqasid al-tadayyun berkaitan dengan penghayatan agama yang membentuk peribadi dan adab. Al-Raghib al-Asfahani dalam al-Dhari‘ah ila Makarim al-Shari‘ah menghuraikan hikmah, keadilan, sifat penyantun dan ihsan sebagai nilai akhlak yang mulia. Beliau turut mengingatkan kepentingan mendidik diri sebelum membimbing orang lain.[7] Nilai tersebut membimbing masyarakat mengawal kemarahan dan menyampaikan teguran dengan baik.
Sikap ini turut berkait rapat dengan cara masyarakat menerima maklumat. Allah SWT berfirman
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini disebabkan kejahilan kamu (mengenainya), sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Surah al-Hujurat (6)
Tuntutan tabayyun mengingatkan masyarakat supaya memeriksa sesuatu dakwaan sebelum menyebarkannya. Maklumat penutupan sekolah dan tindakan kerajaan perlu dirujuk kepada pengumuman rasmi. Bacaan IPU boleh disemak melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS). Maklumat pembakaran terbuka pula boleh disampaikan melalui Sistem e-Aduan Jabatan Alam Sekitar dengan butiran lokasi dan kejadian yang jelas.[8] Laporan yang tepat membantu siasatan dan mengelakkan kekeliruan.
Masyarakat turut membantu melalui tindakan harian. Ibu bapa bekerjasama dengan sekolah, majikan mempertimbangkan keperluan pekerja, manakala jiran dan sukarelawan membantu keluarga yang terkesan. Aktiviti luar perlu dikurangkan mengikut nasihat kesihatan, khususnya bagi kanak-kanak, warga emas dan pesakit pernafasan.[9] Maklumat yang sahih, bantuan sesama warga dan kesinambungan urusan harian menjadikan masyarakat rakan kerajaan dalam menjaga kesejahteraan serta meneruskan pembangunan negara.
Solat, doa, zikir, istighfar dan muhasabah membantu seseorang memelihara ketenangan. Kekuatan rohani itu perlu disertai kesantunan berbicara, kesediaan mendengar dan usaha menyelesaikan masalah. Penghayatan agama yang baik membina masyarakat yang berdisiplin dan peka terhadap kepentingan bersama.
PENUTUP
Jerebu memerlukan dasar yang menjaga keselamatan, pelaksanaan yang prihatin terhadap kesulitan masyarakat dan kerjasama serantau. Kerajaan perlu menjelaskan keputusan serta meneliti maklum balas. Sekolah, majikan dan agensi berkaitan pula dapat meringankan beban melalui penyelarasan yang munasabah.
Masyarakat juga mempunyai peranan penting. Semak berita sebelum berkongsi, laporkan pencemaran melalui saluran rasmi, patuhi nasihat kesihatan dan bantu mereka yang terkesan. Teguran yang berasas memperbaiki pengurusan, sementara keprihatinan menguatkan daya tahan negara. Jerebu di udara memerlukan tindakan untuk dipulihkan. Jangan sampai hati dan fikiran yang diperlukan untuk mencari penyelesaian turut menjadi keruh.
S.S. Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil
Mufti Wilayah Persekutuan
[1] BERNAMA, “KPM Kembali Guna Ketetapan PTJK Bagi Penutupan Sekolah Akibat Jerebu – Fadhlina,” 15 Oktober 2026, https://web26.bernama.com/bm/news.php?id=2620849; Radio Televisyen Malaysia, “Pengurusan Jerebu Perlu Ikut Tahap Risiko – DS Fadhlina,” 15 Oktober 2026, https://berita.rtm.gov.my/kes/senarai-berita-kes/senarai-artikel/pengurusan-jerebu-perlu-ikut-tahap-risiko-ds-fadhlina/.
[2] BERNAMA, “Jerebu: Pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik Minggu Depan Ditangguhkan – KPM,” 15 Oktober 2026, https://web26.bernama.com/bm/wilayah/news.php?id=2620985; Radio Televisyen Malaysia, “Pengurusan Jerebu Perlu Ikut Tahap Risiko – DS Fadhlina,” 15 Oktober 2026, https://berita.rtm.gov.my/kes/senarai-berita-kes/senarai-artikel/pengurusan-jerebu-perlu-ikut-tahap-risiko-ds-fadhlina/.
[3] Abu al-Hasan ‘Ali ibn Muhammad al-Mawardi, Adab al-Dunya wa al-Din (Beirut: Dar Maktabat al-Hayah, 1986), 132, 142. Teks asal berbahasa Arab, hlm. 132: «وَاعْلَمْ أَنَّ صَلَاحَ الدُّنْيَا مُعْتَبَرٌ مِنْ وَجْهَيْنِ: أَوَّلُهُمَا مَا يَنْتَظِمُ بِهِ أُمُورُ جُمْلَتِهَا. وَالثَّانِي: مَا يَصْلُحُ بِهِ حَالُ كُلِّ وَاحِدٍ مِنْ أَهْلِهَا». Lihat juga perbahasan keamanan awam pada hlm. 142.
[4] BERNAMA, “Jerebu: Kerajaan Lakukan Sebaik Mungkin Berunding Dengan Indonesia – PM,” 15 Oktober 2026, https://web26.bernama.com/bm/wilayah/news.php?id=2620865.
[5] BERNAMA, “Jerebu: Malaysia, Indonesia Bincang Kerjasama Tangani Kebakaran Hutan – Mohamad Hasan,” 14 Oktober 2026, https://web26.bernama.com/bm/news.php?id=2620134; BERNAMA, “Malaysia Akan Bawa Isu, Mekanisme Tangani Jerebu Ke Peringkat Menteri Luar ASEAN,” 12 Oktober 2026, https://asean.bernama.com/news-bm.php?id=2619024.
[6] Jabatan Alam Sekitar Malaysia, “ASEAN Agreement on the Transboundary Haze Pollution (AATHP),” https://www.doe.gov.my/asean-agreement-on-the-transboundary-haze-pollution-aathp/.
[7] Al-Raghib al-Asfahani, al-Dhari‘ah ila Makarim al-Shari‘ah, ed. Abu al-Yazid Abu Zayd al-‘Ajami (Kaherah: Dar al-Salam, 2007), 83–84. Teks asal berbahasa Arab, hlm. 83: «وَمَكَارِمُ الشَّرِيعَةِ هِيَ الْحِكْمَةُ، وَالْقِيَامُ بِالْعَدَالَةِ بَيْنَ النَّاسِ، وَالْحِلْمُ، وَالْإِحْسَانُ، وَالْفَضْلُ». Lihat perbahasan mendidik diri sebelum membimbing orang lain, hlm. 84.
[8] Jabatan Alam Sekitar Malaysia, “Air Pollutant Index Management System (APIMS),” https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main; Jabatan Alam Sekitar Malaysia, “Sistem e-Aduan,” https://eaduan.doe.gov.my/.
[9] Kementerian Kesihatan Malaysia, “Langkah-langkah Pencegahan Semasa Jerebu,” https://www.moh.gov.my/teras/info-kesihatan/jerebu/artikel-dan-panduan-pengguna-berkaitan-jerebu/langkah-langkah-pencegahan-semasa-jerebu.