اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 146/2026 : Menghayati Sunnah, Menunaikan Amanah demi Kesejahteraan Ummahdan Kelestarian Alam

t.jpeg

 

Menghayati Sunnah, Menunaikan Amanah demi Kesejahteraan Ummah dan Kelestarian Alam

 

Pendahuluan

Sebagai agama yang menyeluruh, Islam menetapkan panduan lengkap yang mencakup hubungan hamba dengan Penciptanya, sekali gus menyusun tata kelola interaksi sesama manusia, flora, fauna serta alam sekitar. Berteraskan nilai amanah, keadilan, rahmah dan keprihatinan sosial, Sunnah Rasulullah SAW tampil sebagai asas pembentukan kehidupan yang seimbang. Prinsip-prinsip ini sangat penting untuk dihayati bagi mendepani pelbagai cabaran moden, seperti krisis kepimpinan, hakisan nilai bermasyarakat, pencemaran alam sekitar, serta peningkatan keperluan kebajikan bagi ekosistem masyarakat yang kian menua.

Oleh yang demikian, usaha mengamalkan dan menghidupkan Sunnah tidak wajar disempitkan kepada lingkungan ibadah ritual semata-mata. Sebaliknya, ia dituntut untuk menterjemahkannya dalam bentuk tindakan nyata yang membawa kemaslahatan umum serta menjamin kelestarian hidup. Setiap lapisan masyarakat sama ada pemimpin, ahli keluarga, jiran mahupun warga awam menggalas peranan penting dalam merealisasikan tanggungjawab bersama ini.

Kepimpinan Beramanah dan Kesedaran Sivik

Tanggungjawab paling utama bagi seorang pemimpin adalah melunaskan segenap amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Hal ini selari dengan firman Allah SWT:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”

(Surah al-Ahzab: 72)

Tanggungjawab amanah yang dimaksudkan dalam ayat tersebut mencakup kewajipan sesama manusia untuk menepati janji. Hak ini menjadi pegangan setiap muslim agar terhindar daripada sebarang bentuk penipuan mahupun pengkhianatan, sama ada dalam perkara kecil ataupun perkara besar.[i]

Oleh itu, kepimpinan dalam Islam tidak hanya bergantung pada jawatan atau kedudukan rasmi, sebaliknya bermula dengan kesedaran bahawa setiap manusia memikul amanah dan bertanggungjawab terhadap perkara yang berada di bawah pengawasannya. Sabda Rasulullah SAW:

أَلَا ‌كُلُّكُمْ ‌رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالإِمَامُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya: “Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, kesemuanya bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Imam adalah pemimpin ke atas orang ramai dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.”

(Riwayat Bukhari)

Hadis di atas menegaskan bahawa amanah kepimpinan meliputi setiap peringkat warga masyarakat. Tanpa perlu menantikan sebarang pelantikan jawatan rasmi, setiap orang dituntut mempamerkan integriti, menyemai keprihatinan terhadap kebajikan sesama, serta memberikan sumbangan nyata demi kesejahteraan umum. Hal ini bermakna, penterjemahan nilai amanah, disiplin, dan keprihatinan hendaklah disuburkan oleh setiap individu dalam amalan harian masing-masing.

Pelaksanaan tanggungjawab ini turut merangkumi usaha memelihara alam sekitar dan menjaga kebersihan. Tindakan tidak bertanggungjawab seperti membuang sampah sembarangan, mencemari alur sungai, mahupun menjalankan pembakaran terbuka bukan sahaja merosakkan ekosistem semulajadi, malahan memudaratkan kesihatan awam, meragut kestabilan ekonomi, dan mengganggu kelancaran sistem pengangkutan. Sebagai contoh fenomena jerebu rentas sempadan menjadi bukti bahawa pengabaian terhadap kelestarian alam sekitar mampu memberi dampak ekonomi yang amat berat hingga melepasi sempadan sesebuah negara. Sehubungan itu, Allah SWT menegaskan menerusi firman-Nya:

وَلَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَاحِهَا وَادْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا ۚ إِنَّ رَحْمَتَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِّنَ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.”

(Surah al-A‘raf: 56)

Ayat ini secara jelas melarang sebarang bentuk keburukan serta kerosakan, di samping menuntut penjagaan keseimbangan ekosistem secara menyeluruh. Atas dasar itu, inisiatif pembersihan sungai, pengurusan sisa pepejal yang sistematik serta pemeliharaan kebersihan di kawasan awam bukan sekadar obligasi sivik semata-mata, malahan ia merupakan manifestasi ajaran Islam. Di samping itu, persekitaran yang bersih dan terpelihara berupaya mendatangkan limpahan ekonomi tempatan menerusi sektor pelancongan, aktiviti rekreasi serta peluang perniagaan buat komuniti setempat.

Selain itu, komitmen terhadap kelestarian alam turut meliputi keprihatinan dan santunan terhadap haiwan. Islam secara tegas melarang sebarang bentuk penganiayaan serta menuntut sikap ihsan sesama makhluk ciptaan Allah SWT. Justeru, pengurusan haiwan hendaklah dilaksanakan berasaskan prinsip kebajikan, keselamatan, serta syariat yang ditetapkan. Sebarang pemanfaatan haiwan bagi tujuan yang diharuskan seperti kawalan keselamatan mahupun pengurusan habitat, wajib disempurnakan secara bertanggungjawab dengan menyemaikan perasaan belas kasihan.

Memperkukuh Institusi Keluarga dalam Mendepani Masyarakat Menua

Perubahan struktur demografi dan peningkatan jangka hayat menjadikan agenda kebajikan warga emas suatu keperluan yang kian mendesak. Fasa persaraan yang panjang menuntut sokongan padu dari sudut kewangan, emosi, kediaman dan penjagaan kesihatan. Tanggungjawab ini tidak berasas untuk diserahkan sepenuhnya kepada pihak kerajaan atau badan kebajikan semata-mata, sebaliknya menuntut penggemblengan usaha berasaskan kebersamaan antara institusi awam, masyarakat dan keluarga.

Menurut perspektif Islam, benteng utama dalam sistem perlindungan sosial bermula daripada institusi keluarga. Asuhan berteraskan asas iman, akhlak, ihsan serta nilai bertanggungjawab berupaya melahirkan generasi yang senantiasa menghormati dan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa. Sebagaimana firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

(Surah al-Isra’: 23)

Anjuran berbakti dan menyantuni ibu bapa merangkumi pelbagai aspek kehidupan, termasuk sokongan kewangan, perhatian yang jujur, komunikasi berterusan, penjagaan kesihatan yang teratur serta kehadiran fizikal dan emosi ketika diperlukan. Golongan warga emas wajar dihormati sebagai sumber kearifan, gedung pengalaman dan penyumbang utama kepada pembentukan asas keluarga serta masyarakat dan bukannya dilihat sebagai beban kewangan.

Namun begitu, perlaksanaan peranan keluarga ini wajar diselaraskan secara pragmatik mengikut kadar kemampuan dan persekitaran setiap individu. Mengingati tidak semua keluarga mempunyai keupayaan kewangan atau infrastruktur penjagaan yang serba lengkap, penggemblengan sokongan daripada agensi kerajaan, pertubuhan kebajikan, badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat amat dituntut. Sokongan padu ini menjadi pelengkap peranan keluarga, terutamanya dalam menjamin kesejahteraan warga emas yang ketiadaan waris atau hidup bersendirian.

Zakat, Wakaf, Sedekah dan Takaful sebagai Mekanisme Perlindungan Sosial

Melalui pelbagai instrumen kewangan sosial Islam, sokongan dapat diberikan kepada golongan bersasar sekali gus menggalakkan pengagihan harta yang saksama. Zakat bertindak sebagai rukun kewajipan bagi yang memenuhi syarat, manakala wakaf dan sedekah berfungsi sebagai wadah infak berterusan demi kemaslahatan masyarakat. Di samping itu, kewujudan takaful sebagai mekanisme perlindungan kewangan berasaskan syarak menerusi pendekatan perkongsian risiko serta semangat bantu-membantu.

Firman Allah SWT:

مَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ ۚ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).”

(Surah al-Hashr: 7)

Ayat ini menegaskan keutamaan pengagihan saksama agar limpahan ekonomi tidak tertumpu kepada sesetengah pihak semata-mata. Menerusi tata kelola zakat yang cekap, pemerkasaan wakaf produktif dan penyemaian amalan sedekah, pelbagai keperluan penting seperti sarana asas, perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan pemeliharaan golongan rentan dapat ditampung secara berkesan.

Anggota masyarakat dipanggil untuk memupuk kepekaan terhadap kesusahan jiran tetangga dan sesama insan tanpa perlu menunggu permohonan secara formal. Pada masa yang sama, pengurusan dan penganjuran bantuan mestilah dilaksanakan secara bersistematik, beramanah dan selari dengan garis panduan syarak. Kerjasama erat antara entiti keluarga, badan agama, agensi kerajaan dan komuniti awam berupaya merapatkan jurang keutamaan, mengelakkan pertindihan fungsi serta memastikan tiada golongan memerlukan yang tertinggal.

Mengukuhkan Modal Sosial Menerusi Silaturahim dan Amalan Gotong-Royong

Pencapaian kebendaan semata-mata tidak dapat menjamin keharmonian sosial seandainya keakraban sesama jiran dan sanak saudara semakin menghakis. Sikap individualistik yang melampau berisiko mengasingkan sesetengah ahli masyarakat, sekali gus menyebabkan mereka terjerumus dalam kesunyian serta kehilangan tempat bergantung sewaktu mendepani krisis.

Oleh yang demikian, penganjuran majlis kemasyarakatan, amalan ziarah, kenduri, dan aktiviti kebersamaan memegang peranan yang amat signifikan. Selain mempererat ikatan ukhuwah, inisiatif sebegini memberi peluang untuk mendalami kesusahan jiran, menghulurkan bantuan kepada keluarga yang memerlukan, serta memastikan golongan warga emas sentiasa dihargai dalam kehidupan bermasyarakat.

Daripada Abi Syuraih RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.”

(Riwayat Muslim)

Suruhan berbuat baik kepada jiran melalui hadis ini manifestasi utamanya dapat dilihat menerusi amalan praktikal. Ini merangkumi kepekaan melawat jiran yang uzur, saling berkongsi rezeki serta keperluan asas, menghulurkan bantuan peralatan, menjayakan aktiviti gotong-royong serta tampil memberikan pertolongan sewaktu saat kecemasan. Di samping itu, amalan tradisi seperti bekerjasama mendirikan rumah atau meringankan beban jiran yang diuji musibah merupakan ikhtiar murni yang amat wajar disesuaikan dan dilestarikan mengikut konteks kehidupan hari ini.

Bahkan, ukhuwah kejiranan yang kukuh mampu bertindak sebagai benteng awal bagi mengekang pelbagai permasalahan sosial daripada bertambah parah. Pembentukan komuniti yang prihatin dan saling mempedulikan akan mempermudah usaha mengenalpasti golongan yang dalam kesusahan, menggerakkan bantuan di peringkat tempatan, serta mengelakkan gangguan emosi akibat pengasingan sosial. Oleh yang demikian, agenda memperkasakan modal sosial ini wajar diangkat sebagai teras utama kesejahteraan ummah dan bukannya sekadar aktiviti sampingan.

Penutup

Penghayatan terhadap Sunnah Rasulullah SAW menuntut penggabungan antara kebaikan peribadi dengan komitmen mendalam terhadap kesejahteraan sosial dan kelestarian alam. Pembangunan insan yang makmur dan harmoni amat bergantung kepada kesepaduan pelbagai elemen utama, termasuklah tatakelola kepimpinan yang beramanah, pemeliharaan alam sekitar, pemuliaan terhadap warga tua, pengagihan ekonomi yang saksama, serta pemantapan ukhuwah kejiranan.

Oleh hal yang demikian, setiap lapisan masyarakat bertanggungjawab menggembleng tenaga mengikut kadar keupayaan kendiri. Usaha ini meliputi pemerkasaan institusi keluarga, pemantapan peranan wakaf dan zakat, di samping menyemarakkan semula semangat keprihatinan masyarakat serta amalan gotong-royong. Dalam masa yang sama, pihak berkuasa dan agensi berkaitan perlu merealisasikan mekanisme perlindungan yang utuh demi menjamin kesejahteraan golongan yang memerlukan.

Tegasnya, amalan menghidupkan Sunnah tidak seharusnya terbatas kepada pelaksanaan ritual tradisi semata-mata, sebaliknya menuntut penghayatan nilai dan hikmah mendalam yang mampu diterjemahkan menerusi tindakan nyata bernilai rahmat bagi seluruh alam. Pembentukan masyarakat yang berteraskan prinsip amanah, ihsan dan semangat bantu-membantu bakal mengukuhkan daya tahan dalam menempuh cabaran era moden, sekali gus menjamin kelangsungan kesejahteraan buat generasi mendatang.

[i] Al-Baghawi, Abu Muhammad al-Husain bin Mas‘ud, Ma‘alim al-Tanzil fi al-Tafsir al-Quran. (Dar Tayyibah, Ed 4, 1997) Jld 6 hlm 380.