اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 148/2026 : BAHAYA MENJADIKAN AL-QURAN SEBAGAI ALAT PROVOKASI POLITIK

T.png

 

BAHAYA MENJADIKAN AL-QURAN SEBAGAI ALAT PROVOKASI POLITIK

Mukadimah

Al-Quran merupakan kalam Allah SWT yang diturunkan sebagai petunjuk dan panduan hidup manusia dalam menegakkan kebenaran, keadilan serta memelihara kemaslahatan masyarakat. Kemuliaannya menuntut setiap Muslim, khususnya para pemimpin politik, supaya sentiasa menjaga adab ketika membaca, memetik atau mengaitkan ayat-ayat suci al-Quran dalam ucapan, kempen dan perbahasan awam.

Dalam suasana persaingan politik, al-Quran tidak sewajarnya dijadikan instrumen untuk meraih sokongan, memanipulasi persepsi masyarakat atau mempertahankan kepentingan kepartian sehingga menjejaskan kemuliaan wahyu dan matlamat asal penurunannya.

Sekiranya sesuatu ungkapan digunakan untuk mempermainkan atau merendahkan kemuliaan wahyu, perbuatan tersebut hendaklah ditegah. Namun, sebarang penilaian tidak wajar dibuat secara terburu-buru tanpa memahami maksud sebenar penutur dan latar belakang kenyataannya.

Perlu ditegaskan bahawa penggunaan ayat al-Quran dalam wacana politik bukanlah sesuatu yang dilarang secara mutlak. Sebaliknya, al-Quran sewajarnya menjadi panduan kepada kepimpinan dan pemerintahan. Perkara yang mesti dihindari ialah penyalahgunaan nas agama sebagai alat persendaan, manipulasi atau kepentingan politik yang bertentangan dengan prinsip syariat.

Menilai Kesan dan Implikasi Sesuatu Kenyataan

Dalam hal ini, Imam al-Syatibi menjelaskan prinsip i‘tibar al-ma’alat, iaitu mengambil kira kesan dan kesudahan sesuatu tindakan. Beliau menyatakan dalam kitab al-Muwafaqat:

النَّظَرُ فِي مَآلَاتِ الْأَفْعَالِ مُعْتَبَرٌ مَقْصُودٌ شَرْعًا كَانَتِ الْأَفْعَالُ مُوَافِقَةً أَوْ مُخَالِفَةً

Maksudnya: “Penelitian terhadap kesudahan sesuatu perbuatan merupakan perkara yang diambil kira oleh syarak, sama ada perbuatan itu pada asalnya bertepatan atau bertentangan dengan tuntutan syariat.”[1]

Prinsip ini mengingatkan para pemimpin supaya mempertimbangkan kesan setiap ungkapan, khususnya yang melibatkan agama. Walaupun sesuatu kenyataan mungkin bertujuan untuk menyampaikan kritikan, cara penyampaiannya perlu mengambil kira kemungkinan berlakunya salah faham, penghinaan terhadap agama atau ketegangan dalam masyarakat.

Pada masa yang sama, masyarakat hendaklah menilai sesuatu kenyataan secara menyeluruh dan tidak terburu-buru menjatuhkan hukum atau membuat tuduhan berdasarkan petikan yang dipotong dan terpisah daripada konteks asalnya. Sekiranya berlaku kekeliruan, penjelasan secara jujur dan pembetulan terhadap kesilapan merupakan pendekatan yang lebih mencerminkan kematangan serta penghormatan terhadap agama dan perkara ini selari dengan konsep maqasid tadayyun.

Seruan kepada Semua Pemimpin Politik

Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada semua pemimpin politik, tanpa mengira parti dan kedudukan, supaya:

  1. Memelihara kemuliaan al-Quran dengan menghindari ungkapan, sindiran atau permainan kata yang boleh merendahkan martabat wahyu Allah SWT.
  2. Tidak memperalatkan agama demi kepentingan kepartian, sebaliknya menjadikan al-Quran sebagai panduan yang mengatasi kepentingan politik.
  3. Menggunakan dalil agama secara berilmu dan bertanggungjawab serta memahami konteks sebenar sesuatu nas.
  4. Membezakan kritikan politik daripada penghinaan agama dengan memastikan setiap kenyataan dinilai secara adil tanpa tuduhan melulu.
  5. Menterjemahkan ajaran al-Quran melalui amalan kepimpinan yang berteraskan amanah, keadilan, integriti dan kebajikan rakyat.

Penutup

Al-Quran merupakan petunjuk suci daripada Allah SWT yang wajib dipelihara kehormatannya dan diamalkan dalam setiap aspek kehidupan, termasuk urusan politik serta pemerintahan. Wahyu ini bukanlah milik eksklusif mana-mana parti atau tokoh, sebaliknya menjadi neraca untuk menilai kebenaran, keadilan dan amanah.

Kematangan seseorang pemimpin tidak diukur berdasarkan kekerapan menggunakan ungkapan atau simbol agama, tetapi melalui kebijaksanaan mengurus perbezaan, kesungguhan melaksanakan amanah dan kemampuan menegakkan keadilan. Baik pihak pemerintah mahupun pembangkang, kedua-duanya bertanggungjawab memastikan persaingan politik berlangsung secara beradab serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Jadikanlah al-Quran sebagai kompas yang memandu kepimpinan, bukannya bahan percaturan politik.

Mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan taufik dan hidayah kepada seluruh pemimpin negara agar sentiasa memelihara kemuliaan agama, menegakkan keadilan dan melaksanakan amanah demi kesejahteraan rakyat. Wallahu a‘lam.

SAHIBUS SAMAHAH TUAN HAJI AHMAD FAUWAZ BIN ALI @ FADZIL

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

[1] al-Syatibi, al-Muwafaqat (t.tp.: Dar Ibn ‘Affan, 1997), jld. 5: hlm. 177.