اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 150/2026 : AYAM YANG DIRENDAM AIR PANAS SEBELUM DISEMBELIH: KEDUDUKANNYA MENURUT SYARAK

T.png

 

AYAM YANG DIRENDAM AIR PANAS SEBELUM DISEMBELIH: KEDUDUKANNYA MENURUT SYARAK

Pendahuluan

Pada 29 Oktober 2026 baru-baru ini, Op Taring Chiller yang diketuai oleh WCB/PSK Bukit Aman bersama pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling telah merampas sebanyak 6,555 kilogram ayam mentah bernilai RM85,400 dan menahan seramai 12 orang warga asing di sebuah gudang di Puchong[1]. Premis tanpa Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) tersebut disyaki menyembelih dan mengedar ayam yang dipercayai direndam dalam air panas sehingga mati sebelum disembelih[2]. Bekalan tersebut kemudiannya diedarkan ke kedai makan, kedai runcit dan pasar raya di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya.

Aktiviti ini jelas bercanggah dengan kaedah penyembelihan yang dibenarkan dalam Islam. Bahkan, ia juga bercanggah dengan prinsip ihsan dan etika ketika mematikan haiwan. Pada masa yang sama, insiden ini juga wajar dijadikan iktibar oleh semua pihak terutamanya daripada perspektif kawalan rantaian bekalan halal (supply chain) apabila wujud kelemahan pada peringkat tertentu yang mengakibatkan bekalan tersebut akhirnya dicemari dengan unsur-unsur yang haram. Sehubungan dengan itu, penulisan kali ini bertujuan mengulas isu semasa yang sedang berlaku terutamanya menurut perspektif hukum syarak, undang-undang dan prosedur yang diguna pakai ketika ini.

Kedudukan Hukum Syarak

Secara asasnya, syariat Islam amat menitik beratkan aspek kepenggunaan dalam kehidupan seharian umat Islam khususnya berkaitan dengan pengambilan makanan individu. Hal ini kerana makanan dan minuman tersebut kemudiannya akan menjadi sebahagian daripada darah dan daging dalam tubuh manusia yang memberikan kesan terhadap rohani, jasmani dan tingkah laku manusia tersebut. Oleh yang demikian, syariat Islam mengharamkan pengambilan bangkai sebagai salah satu sumber makanan.

Bangkai menurut syarak secara umumnya boleh difahami sebagai mana-mana haiwan darat yang halal namun tidak disembelih dengan nama Allah, atau tidak disembelih dengan kaedah-kaedah yang diharuskan oleh syarak.  

Pengharaman ke atas bangkai ini telah ditegaskan menerusi firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu bangkai, darah, daging babi, binatang yang disembelih atas nama selain Allah, binatang yang mati tercekik, yang mati dipukul, yang mati jatuh dari tempat tinggi, yang mati ditanduk dan yang dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih.”

Surah al-Ma’idah (3)

Ayat ini menyenaraikan beberapa cara kematian yang menjadikan haiwan haram, lalu mengecualikan haiwan yang sempat disembelih ketika masih hidup. Kematian akibat rendaman air panas tidak disebut secara khusus, tetapi ia jelas termasuk dalam hukum bangkai kerana nyawa haiwan itu keluar bukan melalui sembelihan.

Syarat Hayah Mustaqirrah

Fuqaha terdahulu telah membahaskan secara terperinci mengenai syarat dan piawaian dalam memastikan bahawa haiwan yang disembelih tersebut adalah halal dan tidak dikira sebagai bangkai. Antara syarat yang dibincangkan ialah haiwan tersebut mestilah memiliki Hayah Mustaqirrah ketika disembelih. Hal ini bagi membuktikan bahawa ia disembelih dalam keadaan masih bernyawa, bukan sebaliknya telah mati lebih awal.

Imam al-Nawawi ketika menghuraikan syarat ini telah menyatakan bahawa mana-mana sembelihan yang dilakukan dengan cara memutuskan urat mari’ dan halkum ketika haiwan tersebut masih memiliki hayah mustaqirrah, maka hukumnya adalah halal. Manakala bagi sembelihan dalam keadaan haiwan tidak memiliki hayah mustaqirrah pula adalah menjadi bangkai yang diharamkan untuk dimakan[3].

Al-Khatib al-Syirbini dalam mensyarahkan pandangan al-Nawawi kemudiannya menjelaskan bahawa syarat hayah mustaqirrah pada haiwan tersebut mestilah wujud semasa peringkat awal atau permulaan sembelihan. Beliau menjelaskan sekiranya hayah mustaqirrah haiwan tidak wujud pada awal sembelihan, maka hukumnya adalah haram kerana ia telah menjadi bangkai terlebih dahulu dan sembelihan yang dilakukan selepasnya tidak boleh mengubah hukum haram ke atas haiwan tersebut[4].

Sheikh Zayn al-Din al-Malibari memberikan panduan yang lebih jelas dalam mengetahui syarat hayah mustaqirrah ketika proses penyembelihan haiwan. Menurut beliau, sekiranya timbul perasaan syak dalam diri seseorang terhadap syarat hayah mustaqirrah haiwan yang hendak disembelih disebabkan tiada tanda-tanda yang menunjukkan kehidupan haiwan berkenaan, maka hukum menjadikan haiwan tersebut sebagai makanan adalah haram[5].

Dalam konteks isu yang dibincangkan, hukum ayam yang disembelih dengan kaedah rendaman air panas boleh menjadi haram sekiranya mengakibatkan ketiadaan unsur hayah mustaqirrah pada ayam tersebut sebelum daripada melakukan proses sembelihan. Walau bagaimanapun, sekiranya ayam tersebut telah disembelih terlebih dahulu secara sah, lalu direndam dalam air panas bagi mempercepatkan kematiannya, maka hukum ayam yang disembelih tersebut adalah halal untuk dimakan, namun perbuatannya adalah makruh. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh al-Nawawi dalam permasalahan berkenaan perbuatan terus memotong mana-mana bahagian haiwan sebaik sahaja ia telah disembelih dengan sah. Beliau menyatakan bahawa daging haiwan tersebut adalah halal, namun perbuatan memotongnya adalah makruh[6].

Prinsip Ihsan dalam Sembelihan

Perbincangan mengenai kaedah atau teknik yang digunakan bagi mempercepatkan proses sembelihan juga menyentuh perihal etika atau tatacara pelaksanaannya. Hal ini demikian kerana syariat Islam amat menekankan sifat ihsan dalam kehidupan manusia, termasuklah juga ketika hendak menyembelih haiwan. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan dalam setiap perkara. Apabila kamu membunuh, maka elokkanlah cara membunuh. Apabila kamu menyembelih, maka elokkanlah cara menyembelih. Hendaklah seseorang kamu menajamkan pisaunya dan menenangkan haiwan sembelihannya.”

(Riwayat Muslim)

Perbuatan merendam ayam hidup dalam air panas hingga mengakibatkan kematian ialah perbuatan yang jelas bercanggah dengan tuntutan ihsan berdasarkan hadis di atas. Hal ini kerana perbuatan sedemikian telah menyeksa haiwan, menafikan sembelihan yang sah dan menghasilkan bangkai. Oleh itu, kesalahan yang dilakukan dalam hal ini amatlah berat kerana melibatkan pelanggaran hukum syarak terhadap tiga perkara iaitu pada status daging berkenaan, kenajisan dan kebajikan haiwan.

Kaedah Pemengsanan (Stunning) Dalam Proses Penyembelihan

Kaedah pemengsanan elektrik merupakan antara teknik moden yang digunakan dalam proses penyembelihan haiwan. Pelaksanaan kaedah ini tidak dibincangkan oleh fuqaha terdahulu disebabkan oleh faktor kemajuan teknologi yang berbeza dengan sebelumnya. Walau bagaimanapun, fuqaha telah menggariskan kaedah-kaedah yang khusus bagi memastikan haiwan yang hendak disembelih tidak menjadi bangkai yang diharamkan pengambilannya. Dengan perkataan yang lain, penggunaan pelbagai teknik dan kaedah dalam penyembelihan pada asalnya adalah harus, selagi mana menepati prinsip-prinsip penyembelihan menurut syarak.

Imam a-Nawawi menyatakan bahawa antara kriteria bagi mengetahui sama ada haiwan yang disembelih tersebut adalah halal ataupun tidak seperti berikut[7]:

  1. Haram, sekiranya haiwan tersebut tidak memiliki sebarang pergerakan langsung sebaik sahaja disembelih, kecuali hanyalah pergerakan yang secara tabiatnya terhasil akibat daripada penyembelihan.
  2. Halal, sekiranya haiwan tersebut masih lagi memiliki unsur hayah mustaqirrah, pada masa yang sama diketahui secara pasti bahawa ia akan mati kemudiannya. Sembelihan yang dilakukan ke atas haiwan tersebut adalah halal.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-70 yang bersidang pada 29 September 2005 telah memutuskan perkara-perkara berikut[8]:

  • Kaedah penetrative captive bolt dan non-penetrative captive bolt adalah haram dan tidak dibenarkan, kerana boleh menyebabkan kematian haiwan.
  • Hanya kaedah kejutan elektrik dibenarkan bagi haiwan ternakan, dengan syarat kejutan dikenakan di kepala sahaja (head-only stunner), arus dikawal pada sekitar 0.75 ampere untuk kambing dan 2.0 ampere untuk lembu selama 3 hingga 6 saat, dan proses itu dikawal selia oleh petugas Muslim yang bertauliah.
  • Takungan air berelektrik (waterbath) bagi ayam dan itik diharuskan, dengan syarat kekuatan arus elektrik dikawal supaya tidak mematikan haiwan dan proses itu dikawal selia oleh petugas Muslim yang bertauliah.
  • Penggunaan ubat dan karbon dioksida diharuskan selagi tidak menyeksa atau mematikan haiwan.

Oleh yang demikian, penyembelihan haiwan berasaskan kaedah ini di Malaysia adalah diharuskan, namun tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur yang ketat. Syarat utamanya ialah haiwan berkenaan mestilah dipastikan masih bernyawa semasa proses penyembelihan dijalankan.

Prosedur Halal Rumah Sembelih Ayam

Pensijilan halal rumah sembelihan ayam di Malaysia dikawal selia melalui Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 (MPPHM 2020) dan Standard Malaysia MS 1500:2019[9]. Langkah ini bertujuan memastikan setiap peringkat pemprosesan dapat diaudit secara bersistematik selaras dengan tuntutan syarak.

Secara ringkas, urutan proses yang patuh adalah seperti berikut:

  1. Ayam diterima dalam keadaan hidup dan sihat, dengan sokongan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
  2. Ayam mesti hidup, atau dianggap hidup, ketika disembelih. Jika kaedah pemengsanan digunakan, ia tidak boleh membunuh atau mencederakan ayam secara kekal[10].
  3. Sembelihan dilakukan oleh penyembelih Muslim yang memiliki tauliah daripada Jabatan atau Majlis Agama Islam Negeri, dengan memutuskan halkum dan mari’ serta disertai tasmiyah.
  4. Pemeriksa halal (halal checker) yang bertauliah memantau setiap sembelihan, dan mengasingkan ayam yang didapati mati sebelum disembelih daripada sistem halal[11].
  5. Ayam dibiarkan berdarah sepenuhnya sehingga mati akibat sembelihan.
  6. Hanya selepas kematian dipastikan, ayam dimasukkan ke tangki celur (scalding) untuk memudahkan pencabutan bulu.

Prosedur di atas jelas menunjukkan bahawa fungsi pemeriksa halal dan penyembelih bertauliah merupakan tunjang utama bagi memastikan aspek kawalan kualiti sepanjang pemprosesan sentiasa dipatuhi dan bukannya sekadar prosedur formal yang mencukupi syarat semata-mata. Kewujudan mereka amat penting bagi memelihara kesahihan syarat hayat mustaqirrah sepanjang proses penyembelihan. Sebaliknya, premis yang beroperasi tanpa kelulusan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) terlepas daripada pemantauan audit ini, sekali gus menafikan sebarang jaminan kehalalan serta keselamatan buat para pengguna.

Panduan Hukum Bagi Pengguna Yang Telah Memakannya

Secara asasnya, syariat Islam bersifat memudahkan kepada manusia dengan cara tidak membebankan mereka terhadap perkara-perkara yang berada di luar daripada kemampuan manusia untuk mengawal dan melakukannya. Lebih-lebih lagi dalam perkara hanya diketahui menerusi pemerhatian secara zahir sahaja. Lalu pemerhatian tersebut telah membentuk keyakinan dalam diri untuk bertindak melakukannya. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah SWT berdasarkan firman-Nya:

وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ

Maksudnya: “Dan tidak ada dosa ke atas kamu pada perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang berdosa itu) ialah apa yang disengajakan oleh hati kamu.”

Surah al-Baqarah (286)

Dalil ini menjadi asas bahawa penentuan dosa menurut syarak hanyalah dikira apabila seorang muslim melakukan perkara yang menyalahi tuntutan syarak dengan niat sengaja untuk melakukannya. Manakala bagi perbuatan yang tidak disengajakan pula adalah dimaafkan dan tidak dikira sebagai dosa.

Dalam konteks isu yang dibincangkan ketika ini, perbuatan seorang muslim yang telah memakan ayam tersebut dalam keadaan tidak mengetahui keadaan sebenarnya secara zahir dan meyakini bahawa daging tersebut adalah halal termasuk dalam perbuatan yang dimaafkan kerana ia berlaku di luar daripada kawalan mereka.

Fuqaha dalam mazhab Syafi'i antaranya seperti al-Ramli dalam menghuraikan permasalahan ini turut memberikan panduan dengan melihat kepada kemampuan individu untuk mengeluarkan semula makanan haram yang telah ditelan. Hal ini kerana hukum makanan tersebut adalah najis disebabkan keadaannya yang telah menjadi bangkai. Oleh yang demikian, menjadi tuntutan ke atas muslim untuk menghilangkan atau membersihkan dirinya daripada najis dengan cara mengeluarkan atau memuntahkan. Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan tuntutan ini hanyalah bergantung kepada kemampuan individu tersebut[12]. Sekiranya tidak, maka ia adalah dimaafkan.

Berdasarkan dalil dan pandangan seperti di atas, pihak JMWP juga telah mengeluarkan pandangan hukum menerusi artikel Irsyad Hukum Siri ke-538, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang bertajuk “Hukum Memakan Daging yang Disangkakan Halal Kemudian Berlaku Syubhah”[13]. Kesimpulan daripada artikel tersebut adalah dimaafkan ke atas umat Islam yang memakan daging syubhah kerana hukum daging tersebut sebelumnya iaitu ketika pembelian dan penggunaannya sebagai makanan diyakini sebagai halal. Ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh : "Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah kekal sebagaimana keadaan sebelumnya".

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, tanggungjawab memelihara aspek halal dan tayyiban dalam pemakanan meliputi pihak berkuasa, pengusaha dan pengguna. Berdasarkan perbincangan di atas, beberapa saranan dapat dikemukakan.

  1. Kepada pihak berkuasa. Pelanggaran undang-undang dalam kes ini perlu diambil tindakan sepenuhnya selaras dengan peruntukan yang sedang berkuat kuasa, termasuk menjejaki rantaian pengedaran ke premis yang menerima bekalan. Model operasi bersepadu seperti Op Taring Chiller wajar diteruskan. Pihak berkuasa juga wajar menilai keperluan kawalan yang lebih ketat ke atas aktiviti penyembelihan komersial, memandangkan risikonya terhadap kepentingan awam umat Islam.
  2. Kepada pengusaha restoran dan peruncit. Pihak pengusaha yang mengisytiharkan produk makanan mereka sebagai halal sama ada secara terus terang mahupun tersirat bertanggungjawab sepenuhnya untuk membuktikan status kehalalan bahan mentah yang digunakan. Pastikan pembekal ayam memiliki SPHM yang sah, simpan rekod pembelian, dan jangan bergantung pada harga murah atau jaminan lisan.
  3. Kepada pengguna. Pilih ayam daripada rumah sembelih dan pembekal yang memiliki SPHM, semak status sijil melalui saluran rasmi JAKIM, dan salurkan aduan kepada JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) jika timbul keraguan.
  4. Kepada penyembelih dan pekerja. Sembelihan ialah ibadah yang terikat dengan syarat dan kaedah yang dibenarkan oleh syarak, bukan sekadar kerja pengeluaran. Kepantasan dan keuntungan tidak boleh mengatasi syarat haiwan mestilah masih berada dalam keadaan yang hidup ketika disembelih.
  5. Kepada pemilik premis gudang. Saranan agar pemilik premis turut memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sekiranya berhasrat memperluas operasi pembekalan ayam mentah, khususnya kepada restoran-restoran di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya yang memiliki SPHM. Langkah ini dapat meningkatkan kebolehterimaan premis sebagai pembekal serta memberikan keyakinan kepada pengusaha restoran dan premis makanan halal terhadap status kehalalan ayam mentah yang dibekalkan.  

Sebagai kesimpulan ayam yang mati akibat direndam air panas sebelum disembelih ialah bangkai yang haram dan najis menurut hukum syarak. Tindakan membekalkannya sebagai makanan halal pula merupakan suatu kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011. Insiden ini menegaskan bahawa keteguhan jaminan halal amat bergantung pada keberkesanan setiap peringkat rantaian pengawasan yang menyokongnya.

Wallahu a‘lam.

 

SAHIBUS SAMAHAH TUAN HAJI AHMAD FAUWAZ BIN ALI @ FADZIL

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

2 NOVEMBER 2026 / 22 JAMADILAWAL 1448H

[1]“12 Warga Asing Ditahan, Lebih 6.5 Tan Ayam Tidak Halal Dirampas,” Portal Berita RTM, 30 Oktober 2026, https://berita.rtm.gov.my/kes/senarai-berita-kes/senarai-artikel/12-warga-asing-ditahan-lebih-6-5-tan-ayam-tidak-halal-dirampas/.

[2]“12 Warga Asing Ditahan.” Lihat juga Berita Harian, 30 Oktober 2026, https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/10/1692138/65-tan-ayam-disembelih-lepas-direndam-air-panas-dirampas-dekat.

[3] Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Minhaj al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftin (t.tp : Dar al-Fikr, 2005), 318.

وَلَوْ ذَبَحَهُ مِنْ قَفَاهُ عَصَى، فَإِنْ أَسْرَعَ فَقَطَعَ الْحُلْقُومَ وَالْمَرِيءَ وَبِهِ حَيَاةٌ مُسْتَقِرَّةٌ حَلَّ، وَإِلَّا فَلَا

[4] Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj (t.tp : Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1994), 6:103.

وَيُشْتَرَطُ أَنْ يَكُونَ فِيهِ حَيَاةٌ مُسْتَقِرَّةٌ فِي ابْتِدَاءِ الذَّبْحِ خَاصَّةً ... فَلَا يَحِلُّ؛ لِأَنَّهُ صَارَ مَيْتَةً فَلَا يُفِيدُهُ الذَّبْحُ بَعْدَ ذَلِكَ

[5] Zayn al-Din al-Malibari, Fath al-Mu‘in bi Syarh Qurrat al-‘Ayn bi Muhimmat al-Din (t.tp : Dar Ibn Hazm, t.t.), 307.

فإن شك في استقرارها لفقد العلامات حرم

[6] Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhadhdhab (Kaherah: Idarat al-Tiba‘ah al-Muniriyyah, 1344H -1347H), 9:91.

مَذْهَبُنَا أَنَّ الْفِعْلَ مَكْرُوهٌ وَالْعُضْوُ الْمَقْطُوعُ حَلَالٌ

[7] Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhadhdhab (Kaherah: Idarat al-Tiba‘ah al-Muniriyyah, 1344H -1347H), 9:91-92.

أَحَدُهَا أَنْ يُدْرِكَهَا وَلَمْ يَبْقَ فِيهَا إلَّا حَرَكَةُ مَذْبُوحٍ فَهَذِهِ لَا تَحِلُّ عِنْدَنَا ... الثَّانِيَةُ أَنْ يُدْرِكَهَا وَفِيهَا حَيَاةٌ مُسْتَقِرَّةٌ وَلَكِنْ يَعْلَمُ أَنَّهَا تَمُوتُ قَطْعًا فَتَحِلُّ بِالذَّكَاةِ بِلَا خِلَافٍ عِنْدَنَا

[8] Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-70, 29 September 2005, dalam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Putrajaya: JAKIM, 2016), 55. Lihat juga Muhamad Firdaus Shapian, Mohd Faizal P. Rameli dan Mohd Hapiz Mahaiyadin, “Kaedah Penetapan Hukum Sembelihan Haiwan secara Stunning: Analisis terhadap Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Malaysia,” Online Journal of Research in Islamic Studies 6, edisi khas (2019): 67–72.

[9]Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 (Putrajaya: JAKIM, 2020); Jabatan Standard Malaysia, MS 1500:2019 Halal Food—General Requirements (Third Revision) (Cyberjaya: Jabatan Standard Malaysia, 2019).

[10]Jabatan Standard Malaysia, MS 1500:2019, [klausa].

[11]Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia, [halaman]; Malaysia, Dewan Rakyat, Jawapan Lisan Soalan No. 34, 9 April 2014.

[12] Syams al-Din Muhammad bin Ahmad al-Ramli, Nihayat al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (Beirut: Dar al-Fikr, 1984), 8:12.

وَيَلْزَمُهُ كَكُلِّ آكِلٍ أَوْ شَارِبِ حَرَامٍ تَقَيُّؤُهُ إنْ أَطَاقَهُ كَمَا فِي الْمَجْمُوعِ وَغَيْرِهِ وَلَا نَظَرَ إلَى عُذْرِهِ

[13] Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, “Irsyad Hukum Siri ke-538: Hukum Memakan Daging yang Disangkakan Halal Kemudian Berlaku Syubhah,” 30 Disember 2020, https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/umum/4641-irsyad-al-fatwa-siri-ke-538-hukum-memakan-daging-yang-disangkakan-halal-kemudian-berlaku-syubhah.