اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 152/2026 : ISTERI BERBELANJA ATAS TALIAN: KEPERLUAN ATAU KEHENDAK?

T.png

  ISTERI BERBELANJA ATAS TALIAN: KEPERLUAN ATAU KEHENDAK?

Mukaddimah

Isu suami memarahi isteri yang berbelanja atas talian sering kali dilabel sebagai satu pembaziran atau kehendak semata-mata. Walaupun pada hakikatnya, sesetengah perbelanjaan itu merupakan hak nafkah isteri yang wajib disediakan oleh suami atau perbelanjaan asas rumah tangga. Namun, ia tidak menafikan bahawa terdapat kes di mana isteri berbelanja atas talian secara berlebihan sehingga memberi bebanan kewangan kepada pasangan. Senario ini dikatakan boleh menjurus kepada keganasan ekonomi dalam rumah tangga apabila kawalan kewangan itu dilakukan secara melampau oleh suami sehingga meranapkan keupayaan isteri untuk mengurus keperluan diri dan keluarga, malah menjejaskan keharmonian institusi perkahwinan. Oleh yang demikian, isu ini perlu dinilai secara adil agar ia ini dapat diselesaikan dengan kaedah yang selari dengan tuntutan Syarak tanpa menafikan hak setiap pasangan dan mengelak daripada meletakkan bebanan berlebihan kepada mana-mana pihak.

Hak Nafkah Isteri

Islam menetapkan bahawa suami wajib memikul kewajipan memberi nafkah mengikut kadar kemampuannya sama ada kaya dan berkemampuan, sederhana atau fakir dengan mengikut kadar ketentuan uruf masyarakat setempat,[1] sebagaimana firman Allah SWT:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا ‎

Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”

Surah al-Talaq (7)

Bentuk- bentuk nafkah yang wajib diberikan merangkumi keperluan asas isteri iaitu makanan asasi, pakaian, tempat tinggal, perkakas dapur dan rumah, alat kebersihan diri dan juga pembantu rumah (sekiranya isteri sudah biasa mempunyai khidmat pembantu dan suami yang berkemampuan).[2]

Oleh yang demikian, isteri yang diamanahkan sebagai pengurus kewangan keluarga harus membelanjakan duit yang diberikan oleh suami sekadar keperluan diri dan anaknya hanya jika suaminya tidak memberikan nafkah yang mencukupi dan sepatutnya. Pernah terjadi pada zaman Rasulullah seperti yang diriwayatkan oleh Aisyah. Satu hari Hindun Binti ‘Utbah iaitu isteri kepada Abu Sufyan datang menemui Rasulullah untuk mengadu perihal suaminya. Kata beliau :

إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ ، لاَ يُعْطِينِي مِنَ النَّفَقَةِ مَا يَكْفِينِي وَيَكْفِي بَنِيَّ إِلاَّ مَا أَخَذْتُ مِنْ مَالِهِ بِغَيْرِ عِلْمِهِ ، فَهَلْ عَلَيَّ فِي ذَلِكَ مِنْ جُنَاحٍ ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : خُذِي مِنْ مَالِهِ بِالْمَعْرُوفِ مَا يَكْفِيكِ وَيَكْفِي بَنِيكِ

Maksudnya :” Sesungguhnya Abu Sufyan ini seorang lelaki yang kedekut. Dia tidak memberi nafkah yang mencukupi untuk aku dan anakku. Kalau pun cukup disebabkan aku ambil daripada hartanya tanpa pengetahuannya. Adakah perbuatanku itu salah?. Sabda Rasulullah saw : ambil lah daripada hartanya dengan cara yang baik yang cukup untuk engkau dan anak engkau.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Walau bagaimanapun, keharusan ini bukanlah lesen bagi isteri untuk berbelanja secara boros atau membeli barangan melebihi keperluan menggunakan harta suami serta tanpa keizinannya. Sebaliknya, ia bertindak sebagai instrumen perlindungan hak asasi agar kebajikan isteri dan anak-anak terpelihara tanpa menzalimi kedudukan kewangan suami mahupun mencetuskan perselisihan yang boleh meruntuhkan keharmonian rumah tangga.

Realiti Perbelanjaan Kini

Platform pembelian digital sebenarnya instrumen yang sangat bermanfaat sekiranya dimanfaatkan secara bijak dan berstrategi. Melalui aplikasi belian, isteri mahupun suami dapat membuat perbandingan harga bagi mendapatkan tawaran terbaik, memanfaatkan baucar diskaun serta menjimatkan masa, tenaga dan kos perjalanan apabila barang keperluan terus dihantar ke pintu rumah. Kemudahan teknologi ini wujud untuk mempermudahkan urusan logistik keluarga, bukan untuk mencetuskan ketegangan sekiranya diguna pakai dengan kawalan diri yang rasional.

Teguran suami mengenai kewangan bukanlah satu bentuk keganasan jika ia disampaikan secara berhikmah demi menasihati, menjalankan tanggungjawab dan memastikan belanjawan keluarga kekal stabil. Suami selaku pemimpin wajar menilai sama ada barangan yang dibeli merupakan keperluan atau sekadar kehendak yang berlebihan. Namun, teguran tersebut boleh bertukar menjadi keganasan psikologi atau kewangan sekiranya disusuli dengan tengkingan melampau, penghinaan ancaman atau penyekatan yang zalim terhadap keperluan asas isteri.

Keperluan Pengurusan Perbelanjaan

Pengurusan perbelanjaan menjadi solusi utama dalam mengelakkan perselisihan kewangan antara suami isteri. Seiring dengan usaha suami mencari rezeki, isteri juga memainkan peranan penting dalam membantu menguruskan kewangan dan urusan rumah tangga secara bijak, berhemah serta mengelakkan pembaziran bertepatan dengan hadis berikut:

‌كُلُّكُمْ ‌رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، الإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِي أَهْلِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَن رَعِيَّتِهِ، وَالمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا

Maksudnya: “Kamu semua adalah pemimpin dan masing-masing daripada kamu akan ditanya (diminta pertanggung jawaban) atas apa yang dipimpinnya. Seorang ketua adalah pemimpin dan bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya. Seorang isteri adalah pemimpin (pengurus) bagi rumah suaminya serta anaknya. Oleh kerana masing-masing daripada kamu adalah pemimpin dan masing-masing daripada kamu diminta bertanggungjawab tentang apa yang dipimpinnya”.

Riwayat al-Bukhari

Kerjasama antara suami sebagai penyedia utama dan isteri sebagai pengurus yang cekap ini merupakan asas utama dalam mengekalkan kestabilan ekonomi serta keharmonian rumah tangga yang menuntut ketelusan kewangan dan komunikasi dua hala yang matang antara suami dan isteri. Langkah praktikal bagi mengelakkan salah faham kewangan merangkumi penyusunan perbelanjaan keluarga melalui pembahagian peruntukan nafkah keperluan, wang saku peribadi dan tabung kecemasan, di samping berbincang terlebih dahulu sebelum membuat komitmen pembelian bernilai besar. Saling memahami tanggungjawab serta keupayaan kewangan masing-masing dapat mewujudkan suasana yang saling melengkapi bagi menjamin kesejahteraan rumah tangga, bukannya menjadi punca perselisihan.

Kesimpulan

Amalan berbelanja atas talian dalam kalangan isteri bukanlah isu pembaziran semata-mata sebaliknya merupakan kemudahan moden yang harus diimbangi antara pemenuhan hak nafkah dan kawalan kehendak peribadi berlandaskan syarak. Kestabilan ekonomi menuntut komitmen suami untuk menyediakan nafkah mengikut kemampuannya tanpa bertindak zalim atau menyekat keperluan isteri. Manakala isteri pula boleh menggalas amanah mengurus kewangan secara berhemah bagi mengelakkan beban hutang serta pemborosan. Melalui ketelusan pengurusan belanjawan dan kefahaman terhadap tanggungjawab masing-masing, platform digital ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai instrumen yang memudahkan urusan keluarga tanpa menggugat kesejahteraan rumah tangga.

 

[1] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-syarbaji. Al-Fiqh al-Manhaji ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i. (Damsyik: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’, 1413h) jld. 4 hlm. 182

فاعلم أن حالة الزوج تصنّف شرعاً ضمن ثلاث درجات1: ـ درجة اليُسْر: (الغنى). 2ـ درجة التوسط. 3ـ درجة الفقر. والعُرف العام هو المحكم في تحديد ما يكون الإنسان به موسراً، أو متوسط الحال، أو فقيراً.

[2] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj, (Dar al-kutub al-‘Ilmiyyah, 1415H) Jld. 5 Hlm. 151

وَالْحُقُوقُ الْوَاجِبَةُ بِالزَّوْجِيَّةِ سَبْعَةٌ: الطَّعَامُ، وَالْإِدَامُ، وَالْكِسْوَةُ، وَآلَةُ التَّنْظِيفِ، وَمَتَاعُ الْبَيْتِ، وَالسُّكْنَى، وَخَادِمٌ إنْ كَانَتْ مِمَّنْ تُخْدَمُ