اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 159/2026 : ISLAM TERUS MEKAR, FAKTA JANGAN DIKABURKAN

T.png

ISLAM TERUS MEKAR, FAKTA JANGAN DIKABURKAN

PENDAHULUAN

Mendakwa umat Islam tidak dibenarkan mengamalkan agama di negara sendiri merupakan suatu kenyataan yang serius. Lebih-lebih lagi apabila dakwaan tersebut disampaikan di hadapan penganut agama lain, sebagaimana petikan video yang tular baru-baru ini. Tanpa penjelasan yang tepat, masyarakat boleh mendapat gambaran seolah-olah Islam sedang dipinggirkan, sedangkan syiarnya terus berkembang dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Kenyataan tersebut mengundang persoalan yang perlu dijernihkan. Adakah benar umat Islam dihalang daripada mengamalkan agama, atau terdapat kekeliruan antara tuntutan syariat dengan peraturan yang mengurus pelaksanaannya? Perbezaan ini penting kerana sesuatu yang belum dilaksanakan sepenuhnya tidak semestinya dilarang, manakala sesuatu yang dikawal selia tidak bererti sedang dihalang.

MEMBEZAKAN HAK BERAGAMA DENGAN BATAS PELAKSANAAN

Perlembagaan Persekutuan memberikan kedudukan yang jelas kepada Islam sebagai agama Persekutuan, di samping menjamin hak setiap orang untuk menganuti dan mengamalkan agamanya. Malah, Perlembagaan turut memperuntukkan ruang kepada kerajaan untuk membantu pendidikan dan pengajaran Islam. Jaminan ini memperlihatkan bahawa Islam mempunyai tempat yang nyata dalam kerangka kehidupan bernegara.[1]

Namun, kebebasan mengamalkan agama tidak bermaksud semua urusan berkaitan agama terlepas daripada peraturan. Sebagai contoh, seseorang bebas mempelajari Islam dan menunaikan ibadah, sedangkan tugas mengajar agama kepada masyarakat memerlukan kelayakan serta pematuhan terhadap ketetapan pihak berkuasa. Tujuannya adalah untuk menjaga kesahihan ilmu dan melindungi masyarakat daripada ajaran yang menyeleweng.

Begitu juga dengan kenyataan bahawa undang-undang dan peraturan Islam bersumberkan al-Quran. Perkara ini benar dari sudut asas syariat, namun memahami hukum dan menentukan pelaksanaannya memerlukan disiplin ilmu, panduan al-Sunnah serta penelitian terhadap bidang kuasa dan kemaslahatan. Mengabaikan perbezaan ini boleh menyebabkan sesuatu persoalan pentadbiran disalahertikan sebagai penafian terhadap agama.

Islam sendiri mengajar umatnya supaya berlaku cermat dalam membuat kesimpulan. Allah SWT berfirman:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ

Maksudnya: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.”

Surah al-Isra’ (36)

Petunjuk ini mengingatkan bahawa sesuatu dakwaan perlu disertai pengetahuan dan bukti yang jelas. Apabila larangan yang dimaksudkan tidak diperincikan, maka dakwaan bahawa umat Islam secara keseluruhannya disekat daripada mengamalkan agama tidak wajar diterima begitu sahaja.

SYIAR ISLAM MEKAR, INSTITUSI MEMIKUL AMANAH

Hakikatnya, perkembangan Islam dapat disaksikan melalui pengimarahan masjid, pengajian al-Quran, pendidikan pondok dan tahfiz, pengurusan zakat serta pelbagai usaha dakwah yang berlangsung dalam masyarakat. Sistem pentauliahan pengajar agama di Wilayah Persekutuan juga menunjukkan kesinambungan penyampaian ilmu Islam, termasuk penglibatan ilmuwan tempatan dan luar negara.[2]

Usaha ini turut diperkukuh melalui peningkatan peruntukan hal ehwal Islam. Kerajaan telah mengumumkan peruntukan RM3.1 bilion bagi tahun 2027 berbanding RM2.6 bilion pada tahun 2026, meliputi pelbagai inisiatif pendidikan, dakwah dan kebajikan petugas agama. Perkembangan tersebut memberikan bukti bahawa pembangunan Islam terus mendapat perhatian dalam dasar negara.[3]

Walau bagaimanapun, kemajuan Islam tidak seharusnya diukur melalui besarnya peruntukan atau banyaknya institusi semata-mata. Keberkesanan pendidikan, ketepatan bimbingan dan keadilan dalam pentadbiran turut menentukan manfaatnya kepada umat.

Imam al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah menegaskan bahawa antara tanggungjawab kepimpinan termasuklah memelihara agama dan mengurus kehidupan masyarakat.[4] Prinsip ini turut diperkukuh melalui kaedah fiqh yang dihuraikan oleh Imam al-Zarkashi bahawa tindakan pemerintah terhadap rakyat hendaklah berasaskan kemaslahatan.[5]

Dengan demikian, institusi agama memikul amanah yang besar untuk memastikan syiar Islam terus berkembang melalui ilmu yang sahih, pentadbiran yang berintegriti dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan masyarakat.

Menyedari perkembangan ini tidak bermakna segala kelemahan perlu dinafikan. Kritikan yang berasas tetap diperlukan untuk memperbaiki pelaksanaan dasar dan pentadbiran agama. Namun, menegur kelemahan tertentu tidak sepatutnya membawa kepada tuduhan menyeluruh bahawa Islam sedang dihalang daripada diamalkan.

KESIMPULAN

Islam terus mekar di Malaysia dengan dukungan Perlembagaan, institusi dan masyarakat yang menghayatinya. Tanggungjawab kita adalah memperkukuh perkembangan tersebut dengan ilmu, amanah dan kebijaksanaan. Agama yang dimuliakan dengan kebenaran tidak wajar dipertahankan melalui gambaran yang mengelirukan.

S.S. Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil

Mufti Wilayah Persekutuan

16 November 2026 / 6 Jamadilakhir 1448H

 

[1] Malaysia, Perlembagaan Persekutuan, cetakan semula sebagaimana pada 30 November 2025, Perkara 3(1), 11(1) dan 12(2).

[2] Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Data Pemohon Tauliah Mengajar Agama Islam Wilayah Persekutuan, infografik pentadbiran sehingga 3 November 2026.

[3] Kementerian Kewangan Malaysia, Ucapan Belanjawan MADANI Kelima Tahun 2027, 9 Oktober 2026, perenggan 180–183.

[4] Abu al-Hasan al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyyah wa al-Wilayat al-Diniyyah, bab “Fi ‘Aqd al-Imamah”. Teks asal: «الْإِمَامَةُ مَوْضُوعَةٌ لِخِلَافَةِ النُّبُوَّةِ فِي حِرَاسَةِ الدِّينِ وَسِيَاسَةِ الدُّنْيَا».

[5] Badr al-Din al-Zarkashi, al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, jil. 1, 309. Teks asal: «تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ».