اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 162/2026:AMANAH KEPEMIMPINAN: MENJUNJUNG KEADILAN, MENYAMPAIKAN KEBENARAN

t.jpg

 

AMANAH KEPEMIMPINAN: MENJUNJUNG KEADILAN, MENYAMPAIKAN KEBENARAN

Pendahuluan

Kepemimpinan merupakan suatu amanah besar yang menuntut kejujuran, keadilan dan tanggungjawab terhadap kesejahteraan masyarakat. Dalam Islam, kedudukan dan kekuasaan bukanlah semata-mata lambang kemuliaan atau keistimewaan, sebaliknya merupakan tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Justeru, seseorang pemimpin hendaklah sentiasa menyedari bahawa setiap keputusan dan tindakan yang diambil mempunyai implikasi terhadap kehidupan rakyat yang berada di bawah tanggungannya.

Sehubungan itu, titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-70, mengandungi peringatan yang amat bermakna tentang hakikat amanah dalam pemerintahan. Baginda menegaskan bahawa para pembesar dan pemegang jawatan wajib menjunjung integriti, menyampaikan nasihat yang benar walaupun pahit serta memastikan suara dan rintihan rakyat sampai kepada pengetahuan Raja Pemerintah.

Peringatan ini selaras dengan prinsip kepemimpinan dalam Islam yang meletakkan amanah, keadilan dan keberanian menegakkan kebenaran sebagai asas penting dalam pentadbiran dan pemerintahan. Bahkan, nilai-nilai tersebut bukan sahaja terpakai kepada pemimpin tertinggi, tetapi juga kepada setiap individu yang diberikan tanggungjawab menguruskan kepentingan orang lain.

Kepimpinan Merupakan Amanah, Bukan Keistimewaan

Allah SWT berfirman:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.

Surah al-Nisa' (58)

Ayat ini memperlihatkan hubungan yang erat antara amanah dan keadilan. Kedua-duanya merupakan tuntutan asas yang mesti dipelihara oleh setiap pemegang kuasa. Amanah turut merangkumi kewajipan memastikan sesuatu tanggungjawab diserahkan kepada mereka yang benar-benar berkelayakan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya: Setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang berada di bawah jagaan kamu.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menegaskan bahawa kepimpinan mesti terikkat dengan tanggungjawab. Semakin besar kekuasaan yang dimiliki, semakin luas pula amanah yang perlu ditunaikan.

Imam Ibn Battal ketika mensyarahkan hadis berkaitan penyerahan urusan kepada mereka yang tidak berkelayakan menjelaskan bahawa para pemimpin telah diamanahkan oleh Allah SWT untuk menjaga urusan hamba-Nya dan diwajibkan memberikan nasihat serta perhatian terhadap kepentingan mereka. Oleh itu, urusan masyarakat hendaklah diserahkan kepada individu yang memiliki agama dan amanah. Beliau turut mengingatkan bahawa pelantikan individu yang tidak berkelayakan serta membantu kezaliman merupakan suatu bentuk pengabaian amanah.[1]

Keberanian Menyampaikan Kebenaran dan Menerima Teguran

Antara perkara penting yang ditekankan dalam titah Sultan Nazrin ialah kewajipan para pembesar menyampaikan nasihat yang benar kepada pemerintah, walaupun nasihat tersebut mungkin pahit untuk didengari. Perkara ini memperlihatkan bahawa kesetiaan yang sebenar tidak seharusnya diterjemahkan melalui persetujuan tanpa pertimbangan, tetapi melalui kejujuran dalam memberikan pandangan demi memelihara kepentingan rakyat dan negara.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda:

الدِّينُ النَّصِيحَةُ

Maksudnya: Agama itu ialah nasihat.

(Riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa budaya nasihat-menasihati merupakan sebahagian daripada tuntutan agama, termasuk dalam hubungan antara pemerintah dengan mereka yang diberikan tanggungjawab membantu urusan pentadbiran.

Imam Ibn Battal turut menjelaskan bahawa nasihat mempunyai kedudukan penting dalam agama dan hendaklah dilaksanakan menurut kemampuan serta dengan mengambil kira keadaan dan kemudaratan yang mungkin berlaku.[2] Hal ini memperlihatkan bahawa keberanian menyampaikan kebenaran perlu disertai kebijaksanaan, adab dan pertimbangan yang sewajarnya.

Oleh yang demikian, seseorang pemimpin sewajarnya bersikap terbuka menerima teguran, manakala mereka yang diberikan tanggungjawab sebagai penasihat hendaklah mengutamakan kebenaran berbanding kepentingan peribadi. Budaya membenarkan setiap keputusan pemimpin tanpa penelitian boleh menghalang kelemahan pentadbiran daripada dikenal pasti dan diperbetulkan.

Dalam masa yang sama, teguran mestilah disampaikan dengan penuh hikmah, berasaskan fakta yang benar serta bertujuan membawa kebaikan, bukannya didorong oleh permusuhan atau keinginan menjatuhkan maruah seseorang.

 

Keadilan Asas Kemuliaan Pemerintahan

Islam menegaskan bahawa keadilan wajib ditegakkan tanpa dipengaruhi oleh kedudukan, hubungan kekeluargaan atau kepentingan tertentu.

Firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah SWT, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.

Surah al-Nisa' (135)

Ayat ini menegaskan bahawa keadilan mesti dilaksanakan secara saksama, termasuk dalam melindungi golongan lemah daripada penindasan. Sehubungan itu, titah Sultan Perak yang mengaitkan Pedang Cura Si Manja Kini dengan amanah dan Keris Taming Sari dengan keberanian menegakkan keadilan mengingatkan bahawa kebesaran dan kekuasaan bukan hanya sebagai lambang kedaulatan, tetapi turut membawa tanggungjawab memelihara keadilan demi kepercayaan dan kesejahteraan rakyat.

Penutup

Kesimpulannya, titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak mengingatkan bahawa kemuliaan kepemimpinan bukan terletak pada pangkat atau kuasa, sebaliknya pada keikhlasan menunaikan amanah, keberanian menegakkan kebenaran dan keadilan serta keutamaan menjaga kebajikan rakyat. Sesungguhnya, warisan kepemimpinan yang paling bernilai ialah amanah yang disempurnakan, keadilan yang ditegakkan dan kesejahteraan yang dinikmati oleh seluruh rakyat. Wallahu a‘lam

S.S. Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil

Mufti Wilayah Persekutuan

19 November 2026 / 9 Jamadilakhir 1448H

[1] Ibn Battal, Syarh Sahih al-Bukhari, ed. Abu Tamim Yasir bin Ibrahim (Riyad: Maktabah al-Rusyd, 2003), jld. 1: hlm. 138.

تمت كلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته -، فينبغى لهم تولية أهل الدين والأمانة للنظر فى أمر الأمة، فإذا قلدوا غير أهل الدين، واستعملوا من يعينهم على الجور والظلم فقد ضيعوا الأمانة التى فرض الله عليهم. وقد جاء عن النبى، (صلى الله عليه وسلم) ، أنه قال: تمت لا تقوم الساعة حتى يؤتمن الخائن ويستخون الأمين، وهذا إنما يكون إذا غلب الجهل، وضعف أهل الحق عن القيام به ونصرته -.

[2] Ibid., jld. 1: hlm. 129.

والنصيحة فرض يجزئ فيه من قام به، ويسقط عن الباقين، والنصيحة لازمة على قدر الطاقة إذا علم الناصح أنه يقبل نصحه ويطاع أمره، وأمن على نفسه المكروه. وأما إن خشى الأذى فهو فى سعة منها.