اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #131: BENARKAH RASULULLAH SAW PERNAH TERSILAP MELAFAZKAN AYAT-AYAT SYAITAN?

Screenshot 2022 11 02 at 2.40.06 PM min

Soalan:

Saya pernah terbaca dalam satu buku tentang Nabi Muhammad SAW yang ditulis oleh penulis Barat, di mana dia mendakwa suatu hari ketika mengimamkan solat di Mekah dan membaca surah al-Najm, Baginda pernah tersalah melafazkan ayat yang berbentuk pujian atau pengiktirafan kepada berhala-berhala yang disembah oleh Musyrikin Mekah ketika itu, lalu golongan musyrikin turut sujud bersama umat Islam yang sedang solat. Kemudiannya Allah telah membetulkan kesilapan Baginda itu dan menghapuskan ayat yang dibaca oleh Baginda. Apakah status kisah ini?

Ringkasan Jawapan

Tiada hadith atau riwayat yang sanadnya bersambung dan sahih yang menceritakan bahawa Nabi SAW pernah tersalah membaca ayat al-Quran yang dibisikkan oleh syaitan ke dalam hati Baginda. Bahkan ia bercanggah dengan asas agama Islam yang yang menetapkan sifat maksum Baginda daripada melakukan kesalahan dalam menyampaikan wahyu serta terpeliharanya Baginda daripada sebarang bisikan atau godaan syaitan.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Dakwaan kisah yang berlaku dalam soalan di atas ada disebut dalam kitab-kitab tafsir pada tafsiran firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ وَلَا نَبِيٍّ إِلَّا إِذَا تَمَنَّىٰ أَلْقَى الشَّيْطَانُ فِي أُمْنِيَّتِهِ فَيَنسَخُ اللَّهُ مَا يُلْقِي الشَّيْطَانُ ثُمَّ يُحْكِمُ اللَّهُ آيَاتِهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau seorang Nabi melainkan apabila dia bercita-cita (supaya kaumnya beriman kepada agama Allah yang dibawanya), maka Syaitan pun melemparkan hasutannya mengenai usaha Rasul atau Nabi itu mencapai cita-citanya; oleh itu, Allah segera menghapuskan apa yang telah diganggu oleh Syaitan, kemudian Allah menetapkan ayat-ayatNya dengan kukuhnya; dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Surah al-Hajj (52)

Para ulama tafsir menyebut bahawa ayat ini diturunkan tentang suatu peristiwa di mana pada ketika Baginda sedang mengimamkan solat di Mekah dan membaca surah al-Najm dan sampai pada ayat:

أَفَرَأَيْتُمُ اللَّاتَ وَالْعُزَّىٰ ‎﴿١٩﴾‏ وَمَنَاةَ الثَّالِثَةَ الْأُخْرَىٰ

Maksudnya: Maka adakah kamu berpandangan bahawa "Al-Laat" dan "Al-‘Uzza" - (19) Serta "Manaat" yang ketiga, yang bertaraf rendah lagi hina itu (layak disembah dan dianggap sebagai anak-anak perempuan Allah)?

Dalam riwayat ini menyebut bahawa syaitan telah mencampakkan ke atas lisan Baginda SAW ayat berikut:

تِلْكَ الغَرَانِيقُ العُلَى، وَإِنَّ شَفَاعَتُهُنَّ لَتُرتَجَى

Maksudnya: Itulah burung-burung al-Gharaniq (merujuk kepada berhala) yang tinggi; sesungguhnya diharapkan syafaat daripada mereka.

Para musyrikin Mekah berkata: “Muhammad tidak pernah memuji berhala kita sebelum ini,” lalu Baginda sujud sajdah dan mereka turut sujud bersama mereka. Kemudiannya Jibril A.S datang kepada Baginda dan berkata: Bacakan kepadaku wahyu yang aku bawa kepadamu. Tatkala Nabi sampai pada ayat “تلك الغرانيق العلى وإن شفاعتهن لترتجي” Jibril berkata: Aku tidak datang dengan ayat ini, ini daripada syaitan. Lalu Allah SWT menurunkan ayat: وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُول وَلا نَبِيٍّ.[1]

Kisah ini masyhur dikenali sebagai kisah al-Gharaniq (الغَرَانِيقُ) yang merujuk kepada burung putih yang panjang lehernya. Menurut Ibn al-Anbari, golongan musyrikin Mekah menyangka bahawa berhala-berhala yang mereka sembah mendekatkan diri mereka kepada Allah ‘Azza wa Jalla dan memberi syafaat kepada mereka di sisi-Nya, maka mereka menyamakan berhala itu dengan burung yang terbang tinggi di langit.[2]

Meskipun riwayat ini disebut dalam banyak kitab tafsir, namun ia dikritik dengan hebat oleh sekian ramai ulama lain. Menurut Imam Ibn Kathir:

قَدْ ذَكَرَ كَثِيرٌ مِنَ الْمُفَسِّرِينَ هَاهُنَا قِصَّةَ الغَرَانيق، وَمَا كَانَ مِنْ رُجُوعِ كَثِيرٍ مِنَ الْمُهَاجِرَةِ إِلَى أَرْضِ الْحَبَشَةِ، ظَنا مِنْهُمْ أَنَّ مُشْرِكِي قُرَيْشٍ قَدْ أَسْلَمُوا. وَلَكِنَّهَا مِنْ طُرُقٍ كُلُّهَا مُرْسَلَةٌ، وَلَمْ أَرَهَا مسندة من وجه صحيح

Maksudnya: Ramai ulama tafsir yang menyebut di sini (tafsir ayat 52 surah al-Hajj) tentang kisah al-Gharaniq, serta kepulangan ramai umat Islam yang berhijrah ke Habsyah kerana menyangka musyrikin Mekah telah memeluk Islam. Namun kesemua jalan periwayatan bagi kisah tersebut adalah melalui riwayat mursal (gugur nama sahabat sebagai perawi), dan aku tidak melihat sanadnya sahih.[3]

Menurut Imam Fakhruddin al-Razi pula, para ulama telah menegaskan bahawa riwayat ini batil dan palsu, selaras dengan hujah al-Quran, al-Sunnah dan akal, antaranya melalui firman Allah SWT:

قُلْ مَا يَكُونُ لِي أَنْ أُبَدِّلَهُ مِن تِلْقَاءِ نَفْسِي ۖ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَىٰ إِلَيَّ ۖ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak berhak menukarkannya dengan kemahuanku sendiri, aku hanya tetap menurut apa yang diwahyukan kepadaku sahaja.

Surah Yunus (15)

Riwayat ini juga tertolak berdasarkan pandangan tokoh-tokoh hadis seperti Ibn Khuzaimah yang menyatakannya sebagai rekaan golongan zindiq, manakala Imam al-Baihaqi pula menegaskan bahawa kisah tersebut tidak thabit dari sudut sanad.[4]

Menurut Imam al-Nasafi, jika dikatakan bahawa Nabi sengaja mengucapkan kata-kata demikian, hal itu adalah tidak mungkin kerana ia satu bentuk kekufuran, sedangkan Baginda diutuskan untuk mencela berhala, bukannya memujinya. Tidak boleh juga dikatakan syaitan mencampakkan kata-kata tersebut secara paksa, kerana syaitan tidak berkuasa berbuat demikian ke atas lisan Nabi. Tidak boleh juga dikatakan kerana Nabi SAW cuai atau alpa, kerana tidak mungkin Nabi alpa dalam menyampaikan wahyu; jika benar, maka akan runtuhlah kebergantungan kita terhadap sabda Baginda, sedangkan Allah SWT menyifatnya wahyu-Nya dengan berfirman:[5]

لَّا يَأْتِيهِ الْبَاطِلُ مِن بَيْنِ يَدَيْهِ وَلَا مِنْ خَلْفِهِ ۖ

Maksudnya: Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya;

Surah Fussilat (42)

Bagi Imam al-Syaukani pula, tiada satu riwayat sahih pun berkenaan kisah ini, dan tidak thabit melalui apa jua jalur sanad. Bahkan dengan statusnya yang tidak sahih sekalipun, bahkan kepalsuannya, para ulama tetap mengkritiknya dengan dalil al-Quran, antaranya melalui firman-Nya:

وَلَوْلَا أَن ثَبَّتْنَاكَ لَقَدْ كِدتَّ تَرْكَنُ إِلَيْهِمْ شَيْئًا قَلِيلًا

Maksudnya: Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sudah mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka.

Surah al-Isra’ (74)

Melalui ayat ini, Allah SWT menafikan Nabi mendekati golongan musyrikin untuk bersetuju dengan kesyirikan mereka, apatah lagi untuk bersetuju.[6]

Menurut Syeikh Muhammad al-Tahir ibn ‘Asyur pula, kisah ini tidak diriwayatkan melainkan dengan sanad yang lemah. Apatah lagi ia merupakan khabar ahad yang bercanggah dengan asas agama, disebabkan percanggahannya dengan rukun kemaksuman Rasulullah SAW yang tidak akan keliru atau terpedaya dalam menerima wahyu, seperti firman-Nya:

وَما يَنْطِقُ عَنِ الْهَوى

Maksudnya: Dan Baginda tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.

Surah al-Najm (3)

Jika ia diriwayatkan oleh perawi thiqah (dipercayai riwayatnya) sekalipun, ia wajib ditolak dan ditakwil, maka bagaimana pula jika ia dhaif dan cacat? 

Tambahan pula, menjadikan kisah al-Gharaniq ini sebagai sebab penurunan ayat 52 surah al-Hajj juga adalah tidak benar, kerana terdapat jarak masa yang jauh antara penurunan surah al-Najm iaitu antara surah terawal yang turun di Mekah, dengan penurunan surah al-Hajj yang mana sebahagiannya diturunkan pada tahun-tahun terawal selepas hijrah dan sebahagian lain turun ketika fasa akhir di Mekah.[7]

Selain itu, hadis-hadis sahih yang menceritakan tentang sujudnya golongan Musyrikin bersama orang Islam juga langsung tidak menyebut berkenaan dakwaan tersilapnya Nabi SAW melafazkan ‘ayat-ayat syaitan’ itu. Contohnya ialah hadis riwayat Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم سَجَدَ بِالنَّجْمِ وَسَجَدَ مَعَهُ الْمُسْلِمُونَ وَالْمُشْرِكُونَ وَالْجِنُّ وَالإِنْسُ‏

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW pernah sujud sajdah ketika membaca surah al-Najm dalam solat, lalu seluruh Muslimin, musyrikin, jin serta manusia yang ada disitu turut sujud bersama Baginda.

Sahih al-Bukhari (1071)

Imam Badruddin al-‘Aini ketika mensyarahkan hadith ini menukilkan pandangan Ibn al-‘Arabi yang mengkritik al-Tabari kerana membawa riwayat yang batil dan tiada asal padanya, serta menukilkan pandangan Qadhi ‘Iyadh yang menyebut bahawa riwayat ini tidak diriwayatkan oleh seorangpun perawi yang thiqah dengan sanad yang baik lagi bersambung. Al-‘Aini turut menukilkan pandangan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani yang mengkritik pandangan kedua-dua ulama ini dengan mendakwa bahawa pandangan mereka tidak berasaskan kaedah, dan banyaknya jalan periwayatan menunjukkan bahawa riwayat ini ada asalnya.

Al-‘Aini seterusnya berkata bahawa pandangan Ibn al-‘Arabi dan Qadhi ‘Iyadh adalah lebih layak dengan kemuliaan Nabi SAW, kerana kemaksuman Baginda SAW daripada kehinaan seperti ini, tidak secara sengaja dan tidak juga kerana alpa. Tidak mungkin juga syaitan mampu memperdaya Baginda, dan tidak mungkin Baginda akan mereka-reka wahyu daripada Allah ‘SWT, sama ada secara sengaja atau tidak.[8]

Begitu juga dengan hadis riwayat Abdullah bin Mas‘ud R.A:

عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَرَأَ وَالنَّجْمِ فَسَجَدَ فِيهَا، وَسَجَدَ مَنْ كَانَ مَعَهُ، غَيْرَ أَنَّ شَيْخًا أَخَذَ كَفًّا مِنْ حَصًى أَوْ تُرَابٍ فَرَفَعَهُ إِلَى جَبْهَتِهِ، وَقَالَ: يَكْفِينِي هَذَا. قَالَ عَبْدُ اللهِ: لَقَدْ رَأَيْتُهُ بَعْدُ قُتِلَ كَافِرًا.

Maksudnya: Daripada Nabi SAW, bahawa Baginda pernah membaca surah al-Najm dan sujud sajdah padanya, lalu semua orang di sekeliling Baginda turut sujud, kecuali seorang lelaki tua yang mengambil segenggam tanah lalu meletakkannya pada dahinya, kemudian berkata: “Cukuplah ini untukku.” Abdullah berkata: Setelah itu aku melihatnya lelaki itu terbunuh dalam keadaan kafir.

Sahih Muslim (576)

Imam al-Nawawi pula ketika mensyarahkan hadis ini menukilkan pandangan Qadhi ‘Iyadh:

وَأَمَّا مَا يَرْوِيهِ الْإِخْبَارِيُّونَ وَالْمُفَسِّرُونَ أَنَّ سَبَبَ ذَلِكَ مَا جَرَى عَلَى لِسَانِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ الثَّنَاءِ عَلَى آلِهَةِ الْمُشْرِكِينَ فِي سُورَةِ النَّجْمِ فَبَاطِلٌ لَا يَصِحُّ فِيهِ شَيْءٌ لَا مِنْ جِهَةِ النَّقْلِ وَلَا مِنْ جِهَةِ الْعَقْلِ

Maksudnya: Adapun riwayat yang dibawa oleh para pembawa khabar dan ulama tafsir, bahawa sebab mengapa golongan musyrik turut sujud adalah kerana ayat yang keluar dari lisan Rasulullah SAW yang berupa pujian kepada berhala musyrikin ketika membaca surah al-Najm, maka ia batil dan langsung tidak sahih, sama ada dari sudut sanad mahupun dari sudut akal.[9]

Qadhi ‘Iyadh turut menegaskan bahawa tidak mungkin juga Nabi SAW akan menyebut hal yang demikian daripada kehendak Baginda sendiri secara sengaja, kerana ia satu kekufuran, dan tidak juga secara tidak sengaja kerana Baginda maksum daripada seluruh bentuk kealpaan dalam menyampaikan wahyu.[10]

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, tiada hadith atau riwayat yang sanadnya bersambung dan sahih yang menceritakan bahawa Nabi SAW pernah tersalah membaca ayat al-Quran yang dibisikkan oleh syaitan ke dalam hati Baginda. Bahkan ia bercanggah dengan asas agama Islam yang sabit melalui sekian banyak ayat al-Quran yang menetapkan sifat maksum Baginda daripada melakukan kesalahan dalam menyampaikan wahyu serta terpeliharanya Baginda daripada sebarang bisikan atau godaan syaitan. 

Wallahu a‘lam.

[1] Rujuk Tafsir al-Quran al-‘Azim oleh Abu Muhammad ‘Abd al-Rahman ibn Abi Hatim al-Razi (1419H) Arab Saudi: Maktabah Nizar Mustafa al-Baz, Cetakan Ketiga, tahqiq: As’ad Muhammad al-Tayyib, 8/2500, riwayat nombor 13991.

[2] Rujuk Lisan al-‘Arab oleh Ibn Manzur al-Ansari (1414H) Beirut: Dar Sadir, Cetakan Ketiga, 10/287

[3] Rujuk Tafsir al-Quran al-‘Azim oleh  Abu al-Fida’ Isma’il bin Umar Ibn Kathir (1999) Dar Tibah, Cetakan Kedua, tahqiq: Sami bin Muhammad Salamah, 5/441

[4] Rujuk Mafatih al-Ghaib oleh Abu Abdillah Fakhruddin Muhammad bin Umar al-Razi (1420H) Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, Cetakan Ketiga, 23/237 

أما أهل التحقيق فقد قالوا: هذه الرواية باطلة موضوعة، واحتجوا عليه بالقرآن والسنة والمعقول.

أما القرآن فوجوه منها قوله تعالى: قُلْ: ما يَكُونُ لِي أَنْ أُبَدِّلَهُ مِنْ تِلْقاءِ نَفْسِي، إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا ما يُوحى إِلَيَّ [يونس 10/ 15] وقوله: وَما يَنْطِقُ عَنِ الْهَوى، إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحى [النجم 53/ 4- 3] وقوله: وَلَوْ تَقَوَّلَ عَلَيْنا بَعْضَ الْأَقاوِيلِ، لَأَخَذْنا مِنْهُ بِالْيَمِينِ، ثُمَّ لَقَطَعْنا مِنْهُ الْوَتِينَ [الحاقة 69/ 44- 46] فلو أنه قرأ عقيب آية النجم المذكورة: تلك الغرانيق العلا، لكان قد ظهر كذب الله تعالى في الحال، وذلك لا يقوله مسلم.

وأما السنة: فهي ما روي عن محمد بن إسحاق بن خزيمة: أنه سئل عن هذه القصة، فقال: هذا وضع من الزنادقة. وقال البيهقي: هذه القصة غير ثابتة من جهة النقل

[5] Rujuk Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil oleh Abu al-Barakat Abdullah al-Nasafi (1998) Beirut: Dar al-Kalim al-Tayyib, Cetakan Pertama, tahqiq: Yusuf Ali Badiwi, 2/448

وهذا القول غير مرضى لأنه لا يخلو إما أن يتكلم النبي عليه السلام بها عمدا وأه لا يجوز لأنه كفر ولأنه بعث طاعناً للاصنام لا مادحالها أو أجرى الشيطان ذلك على لسان النبي عليه الصلاة والسلام جبراً بحيث لا يقدر على الامتناع منه وهو ممتنع لأن الشيطان لا يقدر على ذلك على لسانه سهوا وغلفة وهو مردود أيضاً لأنه لا يجوز مثل هذه الغفلة عليه في حال تبليغ الوحي ولو جاز ذلك لبطل الاعتماد على قوله ولأنه تعالى قال في صفة المنزل عليه لا يأتيه الباطل من بين يديه ولا من خلفه

[6] Rujuk Fath al-Qadir oleh Muhammad bin Ali al-Syaukani (1414H) Damsyik: Dar Ibn Kathir dan Beirut: Dar al-Kalim al-Tayyib, Cetakan Pertama, 3/546

[7] Rujuk Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir oleh Muhammad al-Tahir ibn ‘Asyur (1984) Tunisia: al-Dar a-Tunisiyyah, 17/304-306

وَهِيَ قِصَّةٌ يَجِدُهَا السَّامِعُ ضِغْثًا عَلَى إِبَّالَةٍ، وَلَا يُلْقِي إِلَيْهَا النِّحْرِيرُ بَالَهُ. وَمَا رُوِيَتْ إِلَّا بِأَسَانِيدَ وَاهِيَةٍ وَمُنْتَهَاهَا إِلَى ذِكْرِ قِصَّةٍ، وَلَيْسَ فِي أَحَدِ أَسَانِيدِهَا سَمَاعُ صَحَابِيٍّ لِشَيْءٍ فِي مَجْلِسِ النَّبِيءِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَسَنَدُهَا إِلَى ابْنِ عَبَّاسٍ سَنَدٌ مَطْعُونٌ. عَلَى أَنَّ ابْنَ عَبَّاسٍ يَوْمَ نَزَلَتْ سُورَةُ النَّجْمِ كَانَ لَا يَحْضُرُ مَجَالِسَ النَّبِيءِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهِيَ أَخْبَارُ آحَادٍ تُعَارِضُ أُصُولَ الدِّينِ لِأَنَّهَا تُخَالِفُ أَصْلَ عصمَة الرَّسُول صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا الْتِبَاسَ عَلَيْهِ فِي تَلَقِّي الْوَحْيِ. وَيَكْفِي تَكْذِيبًا لَهَا قَوْلُهُ تَعَالَى: وَما يَنْطِقُ عَنِ الْهَوى [النَّجْم: 3] وَفِي مَعْرِفَةِ الْملك. فَلَو رووها الثِّقَاتُ لَوَجَبَ رَفْضُهَا وَتَأْوِيلُهَا فَكَيْفَ وَهِيَ ضَعِيفَةٌ وَاهِيَةٌ.

وَكَذَلِكَ تَرْكِيبُ تِلْكَ الْقِصَّةِ عَلَى آيَةِ سُورَةِ الْحَجِّ. وَكَمْ بَيْنَ نُزُولِ سُورَةِ النَّجْمِ الَّتِي هِيَ مِنْ أَوَائِلِ السُّوَرِ النَّازِلَةِ بِمَكَّةَ وَبَيْنَ نُزُولِ سُورَةِ الْحَجِّ الَّتِي بَعْضُهَا مِنْ أَوَّلِ مَا نَزَلْ بِالْمَدِينَةِ وَبَعْضُهَا مِنْ آخِرِ مَا نَزَلَ بِمَكَّةَ.

[8] Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari oleh Abu Muhammad Mahmud Badruddin al-‘Aini (t.t) Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 19/66

قلت: الَّذِي ذكرَاهُ هُوَ اللَّائِق بجلالة قدر النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم فَإِنَّهُ قد قَامَت الْحجَّة وَاجْتمعت الْأمة على عصمته صلى الله عَلَيْهِ وَسلم ونزاهته عَن مثل هَذِه الرذيلة، وحاشاه عَن أَن يجْرِي على قلبه أَو لِسَانه شَيْء من ذَلِك لَا عمدا وَلَا سَهوا. أَو يكون للشَّيْطَان عَلَيْهِ سَبِيل أَو أَن يتقول على الله عز وَجل لَا عمدا وَلَا سَهوا. وَالنَّظَر وَالْعرْف أَيْضا يحيلان ذَلِك وَلَو وَقع لارتد كثير مِمَّن أسلم، وَلم ينْقل ذَلِك

[9] Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj oleh Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi (1392H) Beirut: Dar Ihya’ a;-Turath al-‘Arabi, Cetakan Kedua, 5/75

[10] Rujuk al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa oleh Qadhi ‘Iyadh Abu al-Fadhl bin Musa (1407H) ‘Amman: Dar al-Faiha’, Cetakan Kedua, 2/293

فَقَدْ قَامَتِ الْحُجَّةُ وَأَجْمَعَتِ الْأُمَّةُ عَلَى عِصْمَتِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَنَزَاهَتِهِ عَنْ مِثْلِ هَذِهِ الرَّذِيلَةِ إِمَّا مِنْ تَمَنِّيهِ أَنْ يَنْزِلَ عَلَيْهِ مِثْلُ هَذَا مِنْ مَدْحِ آلِهَةٍ غَيْرِ اللَّهِ وَهُوَ كُفْرٌ أَوْ يَتَسَوَّرَ عَلَيْهِ الشَّيْطَانُ وَيُشَبِّهَ عَلَيْهِ الْقُرْآنَ حَتَّى يَجْعَلَ فِيهِ مَا لَيْسَ مِنْهُ وَيَعْتَقِدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ مِنَ الْقُرْآنِ مَا لَيْسَ مِنْهُ حَتَّى يُنَبِّهَهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَامُ. وَذَلِكَ كُلُّهُ مُمْتَنِعٌ فِي حَقِّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ..أَوْ يَقُولُ ذَلِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ قِبَلِ نَفْسِهِ عَمْدًا وَذَلِكَ كُفْرٌ..أَوْ سَهْوًا وَهُوَ مَعْصُومٌ مِنْ هَذَا كُلِّهِ