اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI # 713 : HUKUM BANGUN DARI SOLAT FARDHU TANPA BERZIKIR DAN DOA

Soalan :

Assalamualaikum wbt.Mohon penjelasan Tuan Mufti sekiranya selepas menunaikan solat fardhu adakah boleh terus menunaikan solat ba'diah tanpa membaca zikir ,doa-doa seperti kebiasaan selepas solat fardhu.Adakah di perbolehkan melakukannya selepas solat sunat ba'diah?

 

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Berdoa adalah satu ibadah yang digalakkan bagi mendekatkan diri seorang hamba kepada Allah.Allah swt berfirman :

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.

(Surah Ghafir : 60)

Kata Ibnu Rajab al-Hanbali (w.795 H) :

“Sesungguhnya doa itu dituntut (untuk dilakukan) dan dijanjikan untuk ditunaikan (doa tersebut) seperti firman Allah swt : :” Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Rujuk Jami’ al-Ulum wa al-Hikam (hlmn 392)

Menjawab persoalan di atas,berzikir dan berdoa selepas solat fardu adalah amalan yang digalakkan. Ini adalah berdasarkan beberapa riwayat hadis dan athar berkaitan galakan dan kelebihan amalan zikir dan berdoa selepas solat fardhu. Antaranya :

  • Daripada Abu Umamah : Beliau berkata bahawa Rasulullah pernah ditanya tentang apakah doa yang paling didengari. Rasulullah saw menjawab :

جَوْفَ اللَّيْلِ الْآخِرِ وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوبَاتِ

Maksudnya :”(Doa yang paling didengari ialah) ketika satu pertiga malam yang terakhir dan ketika selesai solat fardu.”

Riwayat al-Tirmizi ( 3499).Beliau (Imam al-Tirmizi) berkata :Hadis ini adalah hadis Hasan.

  • Daripada Ibnu Abbas r.a. Beliau berkata :

 

أَنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنَ الْمَكْتُوبَةِ كَانَ عَلَى عَهْدِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم-كُنْتُ أَعْلَمُ إِذَا انْصَرَفُوا بِذَلِكَ إِذَا سَمِعْتُهُ

Maksudnya :” Terangkatnya suara (kuat) ketika berzikir adalah apabila orang ramai selesai menunaikan solat fardu. Ianya berlaku pada zaman Rasulullah saw. Maka aku tahu jika mereka selesai menunaikan solat adalah ketika aku mendengar suara mereka berzikir.”

Riwayat al-Bukhari (841) & Muslim (1346)

 

  • Daripada Thauban r.a. Beliau berkata :

 

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- إِذَا انْصَرَفَ مِنْ صَلاَتِهِ اسْتَغْفَرَ ثَلاَثًا وَقَالَ  اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ

Maksudnya :” Rasulullah saw apabila selesai menunaikan solat Baginda beristighfar sebanyak 3 kali seraya menyebut  : اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَام.”

Riwayat Muslim (1362)

 

  • Daripada al-Mughirah Bin Syu’bah r.a. Beliau menulis surat kepada Mu’awiyah:

 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- كَانَ إِذَا فَرَغَ مِنَ الصَّلاَةِ وَسَلَّمَ قَالَ : لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ اللَّهُمَّ لاَ مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلاَ مُعْطِىَ لِمَا مَنَعْتَ وَلاَ يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ

Maksudnya :” Sesungguhnya Rasulullah saw apabila Baginda selesai menunaikan solat Baginda mengucapkan : لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ اللَّهُمَّ لاَ مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ وَلاَ مُعْطِىَ لِمَا مَنَعْتَ وَلاَ يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدّ

Riwayat al-Bukhari (844) & Muslim (1366)

Kata Ibn Zubair : “Rasulullah saw mengucakannya setiap kali selepas menunaikan solat.”

 

  • Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata bahawa Rasulullah saw bersabda :

 

مَنْ سَبَّحَ اللَّهَ فِى دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ وَحَمِدَ اللَّهَ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ وَكَبَّرَ اللَّهَ ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ فَتِلْكَ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ وَقَالَ تَمَامَ الْمِائَةِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ غُفِرَتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

Maksudnya :” Sesiapa yang bertasbih pada setiap kali selepas solat sebanyak 33 kali, bertahmid sebanyak 33 kali dan bertakbir sebanyak 33 kali. Kesemuanya adalah sebanyak 99 kali. Ketika mana sampai ke kali yang ke-100 dia mengucapkan : الْمِائَةِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ maka diampunkan kesalahannya walaupun dosa tersebut sebanyak buih di lautan.”

 Riwayat Muslim (1380)

 

Kesemuanya riwayat ini menunjukkan bahawa amalan berzikir setiap kali selepas solat fardu adalah amalan yang sentiasa dilazimi oleh Rasulullah saw. Bahkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Fudhalah Bin Ubaid ,Rasulullah saw pernah menegur seorang lelaki yang tergesa-gesa berdoa selepas solat tanpa ada pujian kepada Allah dan selawat. Baginda bersabda :

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ ، فَلْيَبْدَأْ بِتَمْجِيدِ رَبِّهِ جَلَّ وَعَزَّ ، وَالثَّنَاءِ عَلَيْهِ ، ثُمَّ يُصَلِّي عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ، ثُمَّ يَدْعُو بَعْدُ بِمَا شَاءَ

Maksudnya :” Jika salah seorang dari kalian selesai menunaikan solat maka mulakanlah (doa selepas solat ) dengan mengagungkan dan memuji Allah. Kemudian berselawat ke atas Nabi dan barulah berdoa selepas itu apa yang dia ingini.”

Riwayat Abu Daud (1481)

Imam al-Nawawi menyatakan :

“Para ulama bersepakat terhadap keharusan zikir selepas menunaikan solat.”

Rujuk al-Azkar (hlmn 57)

 

Kesimpulannya, dapat kita fahami melalui riwayat-riwayat hadis di atas bahawa amalan zikir dan berdoa selepas solat fardu adalah satu amalan yang amat digalakkan. Moga zikir-zikir yang kita ucapkan selepas menunaikan solat fardu menjadi penghapus dosa. Maka tidak perlu tergesa-gesa bangun selepas menunaikan solat fardu. Alangkah baiknya jika kita dapat duduk sejenak berzikir dan berdoa sebelum menunaikan solat sunat Ba’diah sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah saw.

Wallahu’alam.