اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #843 : HUKUM MEMBAYAR HUTANG YANG TELAH DIHALALKAN

AK843.png

SOALAN

Sekiranya saya berhutang dengan seseorang dan tempoh pembayaran hutang tersebut telah sampai. Semasa mahu melangsaikan hutang tersebut, beliau menghalalkan semua hutang tersebut. Setelah setahun kemudian, beliau menuntut kembali hutang tersebut dan beliau memberitahu bahawa beliau telah lupa tentang penghalalan hutang tersebut. Apakah hukum membayar hutang yang telah dihalalkan tersebut?

JAWAPAN

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Melihat kepada persoalan yang diajukan, agama Islam tidak melarang kita untuk berhutang, bahkan nas yang membicarakan berkaitan hutang piutang amat jelas sekali di dalam al-Quran. Ini memberi satu gambaran yang jelas bahawa Islam bahawa Islam adalah satu agama yang syumul dari semua aspek. Tuntutan untuk merekod hutang piutang adalah sunat di dalam agama Islam. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”

(Surah al-Baqarah: 282)

Ibn Kathir menerangkan, “Ayat ini merupakan panduan daripada Allah SWT kepada hambaNya yang mukmin untuk menulis atau merekod sekiranya bermuamalah dengan cara bertangguh (berhutang). (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 1/411) Imam al-Sa’di menyatakan ayat ini mengandungi hukum yang besar dan bermanfaat dari aktiviti merekod hutang bagi mengelakkan mudharat yang lebih besar. (Rujuk Tafsir al-Sa’di, 1/118). Imam al-Maraghi menyebut, suruhan seperti ini lebih kepada menyuruh hambanya yang mukmin untuk menjaga hutang piutang mereka merangkumi akad pinjaman dan salam.” (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 1/551)

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Ka’ab bin Malik RA:

أَنَّهُ تَقَاضَى ابْنَ أَبِى حَدْرَدٍ دَيْنًا كَانَ لَهُ عَلَيْهِ فِى الْمَسْجِدِ، فَارْتَفَعَتْ أَصْوَاتُهُمَا حَتَّى سَمِعَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِى بَيْتِهِ، فَخَرَجَ إِلَيْهِمَا حَتَّى كَشَفَ سِجْفَ حُجْرَتِهِ فَنَادَى: يَا كَعْبُ. قَالَ لَبَّيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: ضَعْ مِنْ دَيْنِكَ هَذَا. وَأَوْمَأَ إِلَيْهِ أَىِ الشَّطْرَ قَالَ لَقَدْ فَعَلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: قُمْ فَاقْضِهِ

Maksudnya:Suatu ketika dia menuntut Abdullah bin Abu Hadrad supaya membayar hutangnya. Peristiwa ini berlaku di dalam masjid. Suara mereka riuh rendah hingga didengari oleh Rasulullah SAW walaupun Baginda ketika itu berada di dalam rumahnya. Lalu Rasulullah SAW keluar menemui mereka hingga terselak langsir bilik Baginda. Baginda memanggil Ka'ab bin Malik: "Wahai Ka'ab", Ka'ab menjawab: "Ya, aku datang wahai Rasulullah". Sambil mengisyaratkan dengan tangannya Baginda bersabda: "Rebatlah sebahagian". Ka'ab membalas: "Ya, wahai Rasulullah". Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Bangunlah, bayarlah hutang itu kepadanya."

Riwayat al-Bukhari (2563) dan Muslim (1558)

Hukum mengibra’kan atau melepaskan dan menggugurkan hutang adalah termasuk dalam konsep al-sulh sepertimana yang dibincangkan oleh syarak. Dan hukumnya adalah dibenarkan dan dibolehkan. (Rujuk al-Fiqh Manhaji, 6/147) Justeru, sekiranya pemberi hutang telah melepaskan tanggungjawab hutang daripada penerima hutang, maka penerima hutang tersebut dikira bebas dari melangsaikan hutang tersebut dan hutang tersebut telah dikira selesai. (Rujuk Kitab al-Mu’tamad, 3/458)

Namun begitu, sekiranya pemberi hutang menafikan tentang ibra’ atau pembebasan hutang tersebut, maka pemberi hutang tersebut perlu mandatangkan bukti tentang pemberian hutang tersebut. Seterusnya, penerima hutang perlu bersumpah untuk berlepas diri dari dakwaan yang dikatakan kepadanya. Walaupun begitu, sekiranya sumpah yang dibuat adalah berdusta atau berbohong, maka dia akan mendapat balasan daripada Allah SWT di hari akhirat. Firman Allah SAW:

إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللَّـهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلًا أُولَـٰئِكَ لَا خَلَاقَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ اللَّـهُ وَلَا يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

(Surah Ali-Imran : 77)

Demikian hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Mas’ud , Nabi SAW bersabda:

مَنْ حَلَفَ عَلَى يَمِينٍ يَقْتَطِعُ بِهَا مَالَ امْرِئٍ، هُوَ عَلَيْهَا فَاجِرٌ، لَقِيَ اللَّهَ وَهْوَ عَلَيْهِ غَضْبَانُ‏

Maksudnya: “Barangsiapa bersumpah untuk mengambil harta seorang muslim, padahal dia berdusta dalam sumpahnya itu. Sungguh dia akan bertemu dengan Allah dalam keadaan Allah murka kepadanya.”

Riwayat al-Bukhari (2356) Muslim (138)

KESIMPULAN

Dalam isu ini, kami berpandangan bahawa peminjam Tidak Wajib dan Terlepas dari kewajipan membayar balik hutang tersebut. Ini kerana kewajipan tersebut telah digugurkan sendiri oleh pemberi hutang tanpa ada apa-apa paksaan ke atasnya. Hal ini bertetapan dengan konsep al-sulh yang sememangnya terdapat dalam syariat Islam sendiri. Ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh berikut:

السَاقِطُ لاَ يَعُوْدُ

Maksudnya: “Perkara yang digugurkan (dilangsaikan) tidak akan kembali.”

Namun begitu, sekiranya pemberi hutang menafikan hal tersebut serta mendatangkan bukti tentang kewujudan hutang itu, maka penerima hutang perlu membuat sumpah untuk membela dirinya daripada dakwaan tersebut. Dan sekiranya penerima hutang itu berbohong dalam sumpahnya, dia akan menerima azab daripada Allah SWT.

Dalam hal ini, kami cadangkan apabila amalan mengibra’ telah dijalankan, kedua-dua pihak yang bermuamalah perlu untuk mencatatkan apa-apa keputusan mengibra’kan hutang itu bagi mengelakkan apa-apa tuntutan pada hari yang mendatang.

Wallahu a’lam.