اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #972: MAKSUD (الحزن) DAN CARA BACAANNYA DALAM DOA

HAZN.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Saya dengar pelbagai bacaan berkenaan dengan perkataan huzna (حزن) dalam doa. Adakah ia huzna (حُزْنَ) atau hazana (حَزَنَ)? Dan apakah maksudnya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Ini adalah doa Rasulullah SAW yang ma’thur. Daripada Anas R.A, Rasulullah SAW bersabda:

اللَّهُمَّ لا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya: Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Kamu kehendaki dengan kemudahan.

Riwayat Ibn Hibban (974), Ibnu al-Sunni dalam
'Amal al-Yaum wa al-Lailah (351) dan al-Baihaqi
dalam al-Da'awat al-Kabir (265).

Syeikh Mulla Ali al-Qari Rahimahullah berkata: Di dalam al-Qamus, al-Hazn (الْحَزْنُ) bermaksud tanah tinggi yang keras dan kasar. Manakala al-Sahl (السَّهْلُ) ialah lawan kepada al-Hazn (الْحَزْنُ). (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 7/3010)

Ibn Manzur Rahimahullah berkata:

والحَزْنُ: المكانُ الْغَلِيظُ، وَهُوَ الخَشِنُ

Maksudnya: Al-Hazn (الحَزْنُ) ialah tempat / tanah yang kasar dan keras.

Imam Abu Hanifah Rahimahullah berkata:

الحَزْنُ حَزْنُ بَنِي يربوعٍ، وَهُوَ قُفٌّ غَلِيظٌ مَسِيرُ ثلاثِ ليالٍ فِي مِثْلِها، وَهِيَ بعيدةٌ مِنَ الْمِيَاهِ

Maksudnya: Al-Hazn (الحَزْنُ), dikatakan Haznu Bani Yarbu’ (حَزْنُ بني يربوع) iaitu tempat / tanah tinggi dan keras batu-batanya, mengambil masa tiga hari perjalanan untuk melepasinya. Tempat yang jauh daripada air. (Lihat Lisan al-Arab, 2/430)

Kami nyatakan juga di sini dari Qamus yang menyebut:

  • (الْحَزْنُ مِنَ الْأَرْضِ) memberi makna tanah yang keras dan kasar.
  • (الْحَزْنُ مِنَ الدواب) memberi makna haiwan yang sukar dikendalikan.
  • (الْحَزْنُ مِنَ الناس) memberi makna orang yang bertindak kasar atau berkelakuan kasar. (Lihat Qamus Besar Dewan Arab – Melayu, hlm. 435)

Berdasarkan kenyataan di atas, asal perkataan al-hazn (الحَزْنُ) adalah tempat tinggi, sukar dan payah. Justeru, maksud al-hazn (الحَزْنُ) di sini dengan melihat siyaqi hadis, ia dipindahkan dari makna zahir kepada makna kinayah iaitu kesukaran dalam sesuatu perkara. Ini berdasarkan kepada muqaddimah hadis dan juga kesudahannya.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita serta mempermudahkan setiap urusan kita. Amin.