اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1032 : QAILULAH DAN WAKTUNYA

af1032 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Harap ustaz sihat sentiasa.Apa itu qailulah dan bilakah waktunya. Sebab saya lihat ada pekerja saya sebelum waktu rehat mesti tidur. Jam 12 lebih tidur dah.Kadang-kadang terlajak sampai jam 3 petang baru bangun. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :

Assalamualaikum.Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Qailulah merupakan perkata bahasa arab yang kata dasarnya ialah قَالَ-يَقِيلُ-قَيلا-قَيلُولَة. Kata Ibnu manzur qailulah membawa maksud tidur pada pertengahan siang. (Rujuk Lisan al-Arab, 11/572).

Imam Al-San’ani menyatakan bahawa maksud qailulah ialah berehat pada pertengahan siang walaupun tidak tidur. (Rujuk Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 2/396)

Maksud qailulah boleh difahami melalui hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud R.A bahawa Nabi SAW bersabda :

مالي ولِلدُّنيا إنَّما مَثَلي ومَثَلُ الدُّنيا كمثل راكبٍ قالَ في ظلِّ شجرةٍ ثم راحَ وتركها

Maksudnya :” Apa dah jadi padaku dan pada dunia. Perumpamaan aku dan dunia seperti seorang penunggang yang mana dia berehat sebentar di bawah pokok, kemudian pergi meninggalkan pokok tersebut.”

Riwayat al-Tirmizi (2377), Ibnu Majah (4109)

Qailulah merupakan salah satu perbuatan sunat yang disepakati jumhur ulama.Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas daripada Nabi SAW. Baginda bersabda :

قِيلُوا فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَا تَقِيلُ

Maksudnya :” Lakukanlah qailulah. Sesungguhnya syaitan tidak berehat.”

Riwayat Al-Tabarani (28) di dalam Al-Mu’jam Al-Awsat

Secara ringkasnya, qailulah bermakna berehat sebentar walaupun tidak tidur.

Para fuqaha berbeza pandangan mengenai bilakah waktu untuk qailulah. Kami nukilkan di sini pandangan-pandangan tersebut. Antaranya :

  1. Al-Khatib Al-Syarbini menyebut bahawa waktu qailulah adalah sebelum gelincirnya matahari iaitu sebelum masuk waktu zohor. Sunat bagi orang yang melazimi tahajjud untuk tidur sebentar sebelum zohor.Ianya adalah persediaan untuk qiamullail. Qailulah sebelum masuk waktu zohor adalah seperti waktu sahur bagi orang yang berpuasa.(Rujuk Al-Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’,1/106). Pandangan ini dikemukakan oleh beliau di dalam kitab Al-Mughni Al-Muhtaj ( Rujuk Al-Mughni Al-Muhtaj, 3/167)

اسْتَعِينُوا بِطَعَامِ السَّحَرِ عَلَى صِيَامِ النَّهَارِ ، وَبِالْقَيْلُولَةِ عَلَى قِيَامِ اللَّيْلِ

Maksudnya :” Kuatkan puasa di siang hari dengan makan sahur dan qailulah untuk bangun malam.”

Riwayat Ibnu Majah (1693)

  1. Al-Munawi menyebut qailulah ialah tidur pada waktu tengahari ketika gelincir matahari atau waktu yang hampir dengannya sama ada sebelum gelincir atau selepasnya (Rujuk Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir,7/256)
  1. Al-Bujairimi menyebut bahawa qailulah ialah berehat pada waktu sebelum gelincir matahari walaupun tidak tidur. Dan pandangan yang masyhur qailulah ialah tidur sebelum atau selepas gelincir matahari (iaitu selepas waktu zohor). (Rujuk Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Al-Khatib, 6/453)
  1. Imam Al-Nawawi menyatakan bahawa qailulah ialah tidur pada waktu tengahari.

Rujuk Tahrir Alfaz al-Tanbih (1/290)

  1. Sheikh Syamsul Haq Al-‘Azim Al-Abadi menukilkan perkataan Ibnu Qutaibah. Kata Ibnu Qutaibah : Tidak dinamakan Ghada’ (makan tengahari) dan qailulah selepas daripada gelincir matahari.

Rujuk ‘Aun Al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud (25/23)

  1. Sheikh Dr Wahbah Al-Zuhaili menyebut bahawa qailulah ialah berehat pada waktu tengahari walaupun tidak tidur. Sama ada pada musim sejuk atau panas.

Rujuk Al-fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu (1/414)

  1. Ada pandangan yang menyebut bahawa waktu qailulah adalah selepas gelincir matahari. Ini berdasarkan kenyataan Sahl. Kata beliau :

مَا كُنَّا نَقِيلُ وَلَا نَتَغَدَّى إِلَّا بَعْدَ الْجُمُعَةِ

            Maksudnya :” Tidak kami berehat dan makan kecuali selepas solat Jumaat.”

Riwayat Al-Bukhari (839) dan Muslim (2028)

Ini memberi maksud bahawa waktu qailulah adalah selepas daripada solat jumaat yang mana solat jumaat didirikan pada waktu zohor.

Kesimpulannya, kami lebih cenderung kepada pandangan bahawa qailulah adalah berehat atau tidur sebentar sebelum gelincir matahari iaitu sebelum masuknya waktu zohor. Kami menasihatkan agar mereka yang bekerja, gunakanlah masa rehat yang diperuntukkan untuk melakukan qailulah agar lebih bersemangat untuk menyambung tugas. Akan tetapi jangan berlebihan,. Rehatlah sekadarnya dengan masa yang telah diperuntukkan. Ini kerana kita terikat dengan amanah kerja.Jangan dikhianati amanah tersebut.

Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk terus melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaiknya. Wallahu’alam.