اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1097: MENDOAKAN KEPADA NON MUSLIM YANG MELAKUKAN KEBAIKAN PADA KITA

DOA KPD NON MUSLIM.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Jika ada seseorang non Muslim melakukan kebaikan kepada kita, bolehkah kita mendoakan kebaikan kepadanya? Mohon penjelasan. Terima kasih.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Mendoakan kebaikan untuk non Muslim seperti mendapat kesejahteraan kesihatan, anak, harta adalah dibolehkan selagimana non Muslim tersebut bukan dari kalangan mereka yang bermusuh dengan Islam. Allah SWT berfirman:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ﴿٨﴾ إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَىٰ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

MaksudnyaAllah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Surah al-Mumtahanah (8-9)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, Allah SWT tidak melarang kamu berbuat baik kepada orang-orang kafir yang tidak memerangi kamu kerana agama, seperti kaum wanita dan orang-orang yang lemah di antara mereka. Allah hanya melarang kamu bersahabat dengan orang-orang yang telah melancarkan permusuhan terhadap kamu, kemudian mereka memerangi dan mengusir kamu dan membantu mengusir kamu. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-Azim, 8/135)

Pada asasnya, Nabi SAW menyuruh agar kita membalas kepada pelaku kebaikan dengan ucapan yang baik. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَقَالَ لِفَاعِلِهِ (جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا) فَقَدْ أَبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ

Maksudnya“Sesiapa yang dilakukan padanya kebaikan, lalu dia berkata kepada orang tersebut: “Jazakallah khairan (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sesungguhnya dia telah benar-benar meninggikan pujian.”

Riwayat al-Nasa’ie (9937) dan al-Tirmizi (2035)

Imam al-Munawi berkata: Doa yang disebutkan di dalam hadis di atas hanya untuk seorang Muslim. Adapun sekiranya jika seorang kafir berbuat kebaikan kepada seorang Muslim, maka doakanlah agar dia mendapat harta, anak, kesihatan dan ‘afiyah. (Lihat Faidh al-Qadir oleh al-Munawi, 1/526)

Kami juga berpendapat, alangkah baiknya kita berdoa agar ditaufikkannya oleh Allah serta ditunjukkan jalan yang terbaik dalam kehidupan kerana ini termasuk dalam uslub dakwah yang penuh dengan hikmah dan kasih sayang. Rasulullah SAW dalam suratnya kepada sebahagian pembesar negara menyebut dengan doa yang diqaidkan dengan mereka yang mendapat hidayah:

السَّلَامُ عَلَى مَنْ اتَّبَعَ الْهُدَى

Maksudnya: “Sejahteralah ke atas yang mengikut petunjuk.”

Riwayat al-Bukhari (6260)

Begitu juga dengan hadis ketika Rasulullah SAW pulang dari Taif seraya berdoa:

اللهُمَّ اهْدِ قَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berilah hidayah kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1375)

Walaupun begitu, doa seperti rahmat dan barakat daripada Allah SWT adalah tidak dibenarkan. Ini kerana ia terkhusus bagi orang yang beriman. Ini berdasarkan kisah seorang sahabat Nabi bernama Uqbah bin Amir al-Juhaniy R.A menceritakan:

أَنَّهُ مَرَّ بِرَجُلٍ هَيْئَتُهُ هَيْئَةُ مُسْلِمٍ ، فَسَلَّمَ ، فَرَدَّ عَلَيْهِ : وَعَلَيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ ، فَقَالَ لَهُ الْغُلاَمُ : إِنَّهُ نَصْرَانِيٌّ ، فَقَامَ عُقْبَةُ فَتَبِعَهُ حَتَّى أَدْرَكَهُ فَقَالَ : إِنَّ رَحْمَةَ اللَّهِ وَبَرَكَاتَهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ ، لَكِنْ أَطَالَ اللَّهُ حَيَاتَكَ ، وَأَكْثَرَ مَالَكَ وَوَلَدَكَ.

Maksudnya: Dia pernah melalui seseorang yang kelihatan seperti Muslim, lalu orang tersebut memberi salam kepadanya, maka dia pun menjawabnya dengan ucapan: “وَعَلَيْكَ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ”. Lantas pelayannya berkata kepadanya: “Dia itu seorang Nasrani.” Lalu Uqbah pun bangun dan mengikutinya sehingga mendapatkannya, lantas dia berkata: “Sesungguhnya rahmat dan berkat Allah itu untuk orang-orang beriman. Akan tetapi semoga Allah memanjangkan umurmu, dan memperbanyakkan harta dan anakmu.”

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (1112)

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dalam agama dan sentiasa menunjukkan kita ke arah jalan yang diredhai-Nya serta kebenaran yang dapat kita ikutinya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya“Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

 

 

Baca juga artikel berkaitan: