اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1304: CONTOH PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA

AK1304.PNG

Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya berhasrat untuk mengemukakan soalan mengenai faraid dan pembahagian harta di bawah undang-undang Islam. Di sini saya nyatakan bilangan ahli waris:

Pertama: Arwah mempunyai ahli keluarga seperti berikut:

  1. a) 1 orang isteri
  2. b) 2 orang anak perempuan
  3. c) 1 orang saudara lelaki (adik beradik)
  4. d) 2 orang saudara perempuan  (adik-beradik)
  5. e) 1 orang saudara lelaki di atas mempunyai 1 orang anak angkat
  6. f) 1 orang saudara perempuan di atas mempunyai 2 orang anak lelaki dan 2 otang anak perempuan
  7. g) 1 orang saudara perempuan di atas mempunyai 2 orang anak lelaki dan 4 orang anak perempuan

Kedua: Adakah saudara adik-beradik yang telah meninggal dunia sebelum arwah mempunyai hak ke atas pembahagian harta pusaka arwah?

Saya memohon jasa baik dan bantuan daripada Dato’ Seri untuk memberikan pencerahan kepada saya mengenai siapakah ahli keluarga arwah di atas yang berhak ke atas pembahagian harta faraid tersebut?

JAWAPAN

Waalaikumussalam wrt. wbt.

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Faraid menurut syarak bermaksud bahagian yang ditetapkan oleh syarak kepada pewaris. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/267) Di dalam al-Quran, Allah SWT telah menyatakan dengan jelas tentang pembahagian faraid di dalam surah al-Nisa ayat 11, 12 dan 176.

Menjawab kepada isu, ini kami nyatakan seperti jadual berikut:

Waris

Bahagian

Penjelasan

Isteri

1/8

فَإِن كَانَ لَكُمْ وَلَدٌ فَلَهُنَّ الثُّمُنُ مِمَّا تَرَكْتُم

Maksudnya: “Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan” (Surah al-Nisa’: 12)

Dua orang anak perempuan

2/3

فَإِن كُنَّ نِسَاءً فَوْقَ اثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ

Maksudnya: “Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati.” (Surag al-Nisa’: 11)

Seorang saudara kandung lelaki dan dua orang saudara kandung perempuan

‘Asabah

قُلِ اللَّـهُ يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلَالَةِ

Maksudnya: “Katakanlah: “Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalaalah itu” (Surah al-Nisa’: 176)

Anak angkat kepada adik beradik

Tiada bahagian

Anak angkat tidak disenaraikan dalam pembahagian harta pusaka.

Anak-anak saudara kandung

Tiada bahagian

Anak saudara tidak mendapat bahagian kerana telah dihalang oleh adik-beradik si mati (Ibunya)

Saudara kandung yang telah meninggal dunia sebelum arwah

Tiada bahagian

Waris kepada saudara kandung yang telah meninggal dunia sebelum arwah tidak mendapat bahagian dalam pembahagian harta pusaka.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan seperti jadual berikut:

Bil.

Waris

Bahagian

1.     

Seorang isteri

12/96

2.     

Dua orang anak perempuan

64/96
Seorang mendapat: 32/96

3.     

Dua orang saudara perempuan kandung

10/96

Seorang mendapat: 5/96

4.     

Seorang saudara lelaki kandung

10/96

Bagi saudara kandung si mati yang meninggal duhulu sebelum si mati, maka ahli keluarganya atau warisnya tidak mempunyai hak untuk mendapat bahagian dalam pembahagian harta pusaka tersebut. Dalam isu ini juga, kami syorkan kepada tuan untuk merujuk kembali kepada pihak mahkamah bagi mendapatkan tahqiq serta kepastian dalam isu pembahagian seperti ini. Kami akhiri pencerahan ini dengan doa berikut:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

(Surah al-Kahfi: 10)

Semoga  dengan pencerahan ini dapat membantu saudara dalam menyelesaikan isu pembahagian harta pusaka menurut syariat Islam yang sebenar. Amin.