اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1462 : BOLEHKAH SUAMI MENGHALANG ISTERI PERGI KE MASJID?

al Kafi 1462

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Saya sangat teringin untuk solat berjemaah di masjid tetapi suami saya tidak izinkan. Katanya lelaki lagi afdal ke masjid. Soalan saya, bolehkah suami menghalang saya ke masjid? Harap Dato’ dapat membantu saya, memberikan sedikit pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW :

صَلاةُ الجَماعَةِ تَفْضُلُ صَلاةَ الفَذِّ بسَبْعٍ وعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya : “Solat berjemaah itu lebih baik (afdhal) daripada solat secara bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda” [HR al-Bukhari (645)]

Hadis di atas adalah merupakan galakan kepada muslim dan muslimat supaya menunaikan solat secara berjemaah kerana ganjaran pahalanya sangat besar. Para fuqaha juga telah bersepakat bahawa bagi laki-laki, solat yang mereka tunaikan secara berjemaah di masjid adalah lebih baik (afhal) berbanding solat mereka secara bersendirian di rumah. Adapun bagi hak perempuan, solat yang didirikan di rumah-rumah mereka adalah lebih baik. [Lihat : al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (8/231-232)]

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa solat secara berjemaah bagi perempuan di rumahnya adalah lebih baik berbanding mereka pergi ke masjid berdasarkan sabda Nabi SAW :

لَا تَمْنَعُوا نِسَاءَكُمْ الْمَسَاجِدَ وَبُيُوتُهُنَّ خَيْرٌ لَهُنَّ

Maksudnya : “Janganlah kamu melarang kaum wanita pergi ke masjid, akan tetapi sebenarnya (solat) di rumah-rumah mereka itu lebih baik bagi mereka” [HR Abu Daud (567)]

Sekiranya mereka mahu juga pergi ke masjid, hukumnya adalah makruh jika perempuan tersebut cantik dan boleh menarik perhatian lelaki. Begitu juga, makruh bagi suaminya atau walinya memberi keizinan kepadanya pergi ke masjid. Akan tetapi jika dia telah tua (lanjut usia) serta tiada lagi tarikan hukumnya tidak lagi menjadi makruh.

[Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (4/197-198)]

Namun di sana, para ulama ada meletakan syarat-syarat atau garis panduan bagi seorang perempuan yang mahu ke masjid. Syarat-syarat tersebut ialah :

  1. Tidak memakai wangi-wangian
  2. Tidak berhias-hias (tabarruj)
  3. Tidak membunyikan gelang kaki sehingga didengari oleh lelaki ajnabi.
  4. Tidak memakai pakaian yang boleh menarik perhatian.
  5. Tiada percampuran lelaki dan perempuan.
  6. Selamat daripada fitnah.
  7. Jalan yang dilalui selamat dan tidak berbahaya.

[Lihat : al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim (2/156)]

Berbalik kepada soalan yang di atas, Nabi SAW ada bersabda :

لا يَحِلُّ لِلْمَرْأَةِ أنْ تَصُومَ وزَوْجُها شاهِدٌ إلّا بإذْنِهِ، ولا تَأْذَنَ في بَيْتِهِ إلّا بإذْنِهِ

Maksudnya : “Tidak boleh seorang isteri berpuasa sedangkan suaminya melihatnya (ada di rumah) melainkan dengan keizinanannya, dan tidak boleh dia membenarkan (sesiapapun) masuk ke rumah melainkan dengan izin suaminya” [HR al-Bukhari (5195) dan Muslim (1026)]

Dapat difahami daripada hadis di atas, bahawa dalam kehidupan suami isteri, ada beberapa perkara keizinan suami diperlukan. Termasuklah di dalam perkara tersebut keizinan daripada suami sebelum keluar daripada rumah.

Malah, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebut di dalam kitabnya bahawa termasuk di dalam nusyuz, seorang isteri yang tidak taat dan tidak patuh kepada suaminya, sebagai contoh keluar rumah tanpa keizinan suaminya tanpa ada keuzuran yang membenarkannya. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/92)]

Keizinan suami untuk pergi ke masjid

Sekiranya seorang isteri meminta izin daripada suaminya untuk menunaikan solat di masjid, sebagai seorang suami yang baik tidak boleh dia melarangnya selagi mana isterinya memenuhi syarat-syarat yang telah diletakan oleh para ulama seperti selamat daripada fitnah, tidak berhias berlebihan dan lain-lain. Sabda Nabi SAW :

إِذَا اسْتَأْذَنَتْ أَحَدَكُمُ امْرَأَتُهُ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلَا يَمْنَعْهَا

Maksudnya : “Apabila isteri salah seorang daripada kamu meminta izin untuk ke masjid, janganlah kamu menghalangnya”

[HR Muslim (442)]  

Di dalam riwayat lain :

إِذا اسْتَأْذَنَكُمْ نِساؤُكُمْ باللَّيْلِ إلى المَسْجِدِ، فَأْذَنُوا لهنَّ

Maksudnya : “JIka isteri-isteri kamu meminta izin ke masjidpada waktu malam, berilah mereka keizinan”

[HR al-Bukhari (865)]

Hal ini kerana menunaikan solat secara berjemaah di masjid mempunyai ganjaran dan fadhilat yang besar buat muslim dan muslimat. Juga ganjaran berjalan (menuju) ke masjid sebagaimana di dalam hadis :

فإنَّ أحَدَكُمْ إذا تَوَضَّأَ فأحْسَنَ، وأَتى المَسْجِدَ، لا يُرِيدُ إلّا الصَّلاةَ، لَمْ يَخْطُ خَطْوَةً إلّا رَفَعَهُ اللَّهُ بها دَرَجَةً، وحَطَّ عنْه خَطِيئَةً، حتّى يَدْخُلَ المَسْجِدَ

Maksudnya : “Jika salah seorang daripada kamu berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi masjid dengan tidak ada tujuan lain melainkan untuk solat, maka tidak ada langkah yang dilakukannya melainkan Allah akan mengangkat kedudukannya (bagi setiap langkah tersebut) dan menghapuskan daripadanya dosa-dosa sehinggalah dia masuk ke dalam masjid.” [HR al-Bukhari (477) dan Muslim (649)]

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sunat bagi suami mengizinkan isterinya untuk hadir berjemaah di masjid. Kalau dia melarangnya, hukumnya tidak haram (tidak berdosa) menurut pandangan mazhab Syafie. Imam al-Baihaqi menyebut bahawa ini adalah merupakan pandangan kebanyakan para ulama. Adapun, larangan atau tegahan di dalam hadis adalah bersifat makruh tanzih kerana tanggungjawab seorang isteri untuk sentiasa berada di dalam rumah adalah wajib, maka tidak boleh dia meninggalkan rumah semata-mata bertujuan mencari (mengejar) kelebihan-kelebihan (fadhilat) yang lain. [Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (4/199)]

Akan tetapi, sekiranya isteri pergi ke masjid bagi menuntut ilmu wajib (fardu ain), dia tidak perlu mendapatkan keizinan suaminya. Ibnu Hajar al-Haithami ada menyatakan beberapa keadaan yang membenarkan isteri keluar daripada rumah tanpa keizinan suami seperti keluar menemui Qadi bagi menuntut kembali haknya, atau keluar bagi menuntut ilmu, atau keluar bagi mendapatkan fatwa (jawapan) sekiranya jawapan suaminya tidak cukup (memuaskan). [Lihat : Tuhfah al-Muhtaj (8/327) dan al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/920]

Hal ini kerana menuntut ilmu serta mengangkat kejahilan daripada diri adalah merupakan antara kewajipan seorang muslim dan muslimah, supaya dapat menunaikan kewajipan dengan penuh keyakinan dan bertepatan sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Nabi SAW bersabda :

طلبُ العلمِ فريضةٌ على كلِّ مسلمٍ

Maksudnya : “Menuntut ilmu wajib ke atas setiap orang-orang Islam”

[HR Ibnu Majah (224)]  

Namun, setelah dia selesai menunaikan keperluannya di luar sebagaimana yang telah dibenarkan hendaklah dia segera pulang semula ke rumah.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada persoalan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Solat yang paling baik bagi lelaki ialah dilakukan secara berjemaah di masjid manakala solat yang paling baik bagi perempuan pula ialah dilakukan secara berjemaah di rumah. Bagi mendapatkan perbalasan lanjut mengenai hal ini, bolehlah membaca artikel kami di dalam al-Kafi li al-Fatawi (936) : Tempat Solat Yang Terbaik Bagi Seorang Wanita.
  • Perempuan diharuskan untuk solat secara berjemaah di masjid dengan syarat tidak memakai wangi-wangian, tidak berhias secara berlebihan, tidak bercampur antara lelaki dan perempuan, jalan yang dilalui selamat serta tidak berbahaya, jauh daripada fitnah dan lain-lain sebagaimana yang telah digariskan oleh para ulama. Bahkan, mereka digalakkan ke masjid agar mendapat kelebihan-kelebihan (fadhilat) tertentu seperti kelebihan solat berjemaah di masjid, kelebihan berjalan ke masjid dan beriktikaf di masjid.
  • Bagi perempuan yang sudah berkahwin, perlu mendapatkan keizinan suami terlebih dahulu sebelum keluar. Dan kami ingin menasihati buat semua para suami, berilah sokongan kepada isteri dalam perkara-perkara yang baik. Mudah-mudahan, perkara tersebut dapat menjadikan rumah tangga yang terbina menjadi lebih baik dan diberkati.
  • Bagi pihak isteri pula, janganlah pernah berputus asa daripada berdoa dan mengajak suami melakukan amal kebaikan bersama. Buat para suami, ingatlah anda, isteri dan anak-anak adalah merupakan satu pasukan. Salinglah sokong menyokong dalam perkara kebaikan.
  • Di sana ada beberapa pengecualian diberikan buat para isteri untuk keluar daripada rumah tanpa izin suami iaitu seperti keluar ke masjid bagi menuntut ilmu atau belajar ilmu wajib (fardu ain), mendapatkan rawatan dan lain-lain. Akan tetapi, kami menasihatkan sekurang-kurangnya biarlah ketika keluar itu atas pengetahuan suami dan begitu juga bagi suami, sekurang-kurangnya beritahulah kepada isteri kemana kita pergi kerana dalam sebuah rumah tangga yang harmoni, komunikasi dua hala itu sangat penting agar pasangan saling faham apa yang masing-masing inginkan.

Kami akhiri dengan satu hadis daripada Aisyah R.Anha :

لَوْ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى مَا أَحْدَثَ النِّسَاءُ لَمَنَعَهُنَّ الْمَسْجِدَ كَمَا مُنِعَتْ نِسَاءُ بَنِي إِسْرَائِيلَ

Maksudnya : “Kalaulah Rasulullah SAW melihat apa telah terjadi kepada kaum wanita sekarang (daripada segi berhias, memakai wangian dan mencantikan pakaian bagi menarik perhatian), sudah tentu Baginda akan melarang mereka daripada pergi ke masjid sebagaimana kaum wanita Bani Israil dilarang.” [HR al-Bukhari (869) dan Muslim (445)]