اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1513 : HUKUM MEMAKAN TUPAI?

al Kafi 1513

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Adakah kita dibenarkan memakan tupai? Harap Dato’ dapat memberikan pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya : “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik”

(Surah al-Baqarah : 168)

Ayat di atas menunjukkan bahawa makanan yang hendak dimakan oleh kita hendaklah memenuhi dua kriteria tersebut iaitu, halal dan baik.

Syeikh al-Sa’di telah mengulas ayat ini dengan mengatakan bahawa ianya ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang-orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka mengambilnya (memakan dan mengambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, atau mencuri atau dengan hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan. Manakala toyyiban pula ialah bukan daripada perkara yang buruk (kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging khinzir dan lain-lain. Ayat ini adalah merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. [Lihat : Tafsir al-Sa’di (1/80)]

Memilih memakan makanan yang halal dan baik juga adalah merupakan antara faktor doa diterima oleh Allah SWT. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW :

الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

Maksudnya : “Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, diamenadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.” [HR Muslim (1015)]

Definisi Tupai

Tupai ialah sejenis rodensia daripada keluarga Sciuridae yang kecil hingga sederhana saiznya. Tupai biasanya merujuk kepada spesies-spesies Sciurus dan Tamiasciurus, iaitu tupai-tupai pokok yang berbulu lebat ekornya dan yang berasal dari Asia, benua Amerika dan Eropah, kecuali Ireland. Keluarga Sciuridae juga merangkumi tupai terbang serta tupai di atas tanah seperti tupai tanah, anjing prairie, dan woodchuck.[1]

Hukum memakan tupai

Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum memakan tupai. Dalam hal ini Imam al-Nawawi telah menyatakan bahawa :

وأما السمور والسنجاب والفنل... والقاقم ... والحواصل ففيها وجهان (الصحيح) المنصوص أنها حلال (والثاني) أنها حرام

Maksudnya : “Adapun musang buah, tupai, fanal[2]…qaqum[3] dan hawasil[4].(Hukum memakan haiwan-haiwan tersebut), ada dua pendapat. Pendapat yang sahih sebagaimana yang telah dinaskan hukumnya adalah halal. Manakala pendapat yang kedua mengatakan hukumnya adalah haram.” [Lihat : Majmu’ Syarh al-Muhazzab (9/12)]

Selain itu, Ibnu Qudamah pula telah menukilkan pendapat daripada al-Qadi bahawa haram memakan tupai kerana ia menggigit dengan taringnya. Maka, ia menyerupai juraz (sejenis tikus besar). Selain itu, ada kemungkinan juga hukum memakannya adalah harus kerana ia menyerupai yarbu’ (tikus gurun). Apabila ada ketidakpastian (ragu-ragu) antara dua hukum yang mengharuskan atau mengharamkan, maka yang didahulukan adalah harus kerana ia adalah hukum yang asal dan keumuman pada nas mengkehendakinya. [Lihat : al-Mughni (9/412)]

Syeikh Zakaria al-Ansari mengatakan bahawa tupai adalah daripada jenis-jenis musang. Dan musang termasuk dalam haiwan yang bertaring tetapi taringnya lemah dan tidak digunakan untuk memangsa. Oleh sebab itu, ia halal dimakan. [Lihat : Asna al-Matalib Syarh Raudh al-Talib (1/564)]

Syeikh Daud al-Fatani juga telah memasukkan tupai (sinjab) sebagai antara binatang darat yang halal dimakan. [Lihat : Matla’ al-Badrain (disusun oleh PMWP), (2/26)]

Manakala Abu Yusuf pula telah mengatakan bahawa :

السِّنْجَابِ وَالْفَنَكِ وَالسَّمُّورِ وَالدَّلَقِ : كُلُّ شَيْءٍ مِنْ هَذَا سَبُعٌ مِثْلُ الثَّعْلَبِ وَابْنِ عِرْسٍ لَا يُؤْكَلُ لَحْمُهُ لِأَنَّهُ مِنْ ذَوَاتِ النَّابِ فَيَدْخُلُ فِي عُمُومِ الْخَبَرِ

Maksudnya : “Tupai, musang fennec, musang buah, dan dalaq (sejenis musang) : Kesemua haiwan-haiwan ini adalah tergolong dalam kumpulan haiwan buas (pemangsa) seperti musang dan ibn ‘irs (weasels). Tidak boleh dimakan dagingnya kerana haiwan-haiwan tersebut memiliki taring. Maka, ia termasuk dalam keumuman hadis (yang mengharamkan semua haiwan yang bertaring).” [Lihat : Tabyin al-Haqaiq (5/294)]

Begitu juga, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari telah menyenaraikan haiwan tupai ini termasuk dalam kategori haiwan yang haram dimakan [Lihat : Sabil al-Muhtadin, hal. 258]

Tupai termasuk dalam kategori hidupan liar yang dilindungi

Keluarga Sciuridae adalah termasuk dalam kategori hidupan liar yang dilindungi sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Akta 716 iaitu Akta Pemuliharaan Hidupan Liar. Jadual Pertama (seksyen 3), Bahagian 2 telah menyatakan bahawa haiwan daripada keluarga Sciuridae seperti Epixerus ebii (Western Palm Squirrel), Ratufa (Giant Squirrels) dan lain-lain adalah termasuk dalam spesies hidupan liar lain yang dilindungi. [Lihat : Akta 716, hal. 111] Begitu juga, di dalam Jadual Kedua (seksyen 3) iaitu Hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya, telah memasukkan sejumlah besar haiwan daripada keluarga Sciuridae seperti Aeromys tephromelas (Tupai Terbang Hitam), Callosciurus prevostii (Tupai Gading), Hylopetes Lepidus (Tupai Terbang Pipi Kelabu), Hylopetes spadiceus (Tupai Terbang Pipi Merah), Petaurillus kinlochii (Tupai Terbang Terkecil) dan lain-lain. [Lihat : [Lihat : Akta 716, hal. 152-153]

Oleh sebab itu, tidak boleh sewenang-wenangnya memburu, menangkap atau menahan jerat terhadap haiwan-haiwan berkenaan. Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakkan dan hukuman sebagaimana yang telah termaktub di dalam akta berkenaan.

Kesimpulannya

Setelah kami meneliti dalil-dalil dan pandangan para ulama serta melihat kepada realiti dan waqi’ Malaysia, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Kami cenderung kepada pendapat yang mengharamkan memakan daging tupai yang merupakan salah satu pendapat di dalam mazhab Syafie dan ini merupakan pendapat yang lebih selamat (Ahwat).
  • Sebagaimana yang telah kita ketahui, spesies tupai merupakan hidupan yang semakin pupus. Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama dalam memastikan kelangsungannya buat generasi akan datang (supaya dapat melihat dan mengenalinya). Oleh itu, ini bertepatan dengan kaedah Saddu al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar.
  • Tambahan lagi, tupai adalah merupakan hidupan liar yang dipelihara sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Akta 716. Malah, sesiapa yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakkan undang-undang serta hukuman.
  • Pemerintah berhak untuk memutuskan sesuatu keputusan bagi menjaga maslahah yang lebih penting. Ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang masyhur :

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

Maksudnya : “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”

  • Justeru, menjadi tanggungjawab rakyat untuk taat dan menyokong ulil amri (pemerintah) dalam hal-hal yang makruf (baik).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

[1] Lihat : https://ms.wikipedia.org/wiki/Tupai. Telah diakses pada 7 Januari 2020.

[2] Kemungkinanan yang dimaksudkan disini adalah fanak iaitu musang fennec. Musang yang bersaiz kecil dan bertelinga besar. Ia sejenis mamalia omnivor yang banyak terdapat di gurun Sahara dan hidup dengan memakan serangga serta roden. [Lihat : Matla’ al-Badrain (disusun oleh PMWP), bhg. nota kaki no.18, (2/26)]

[3] Ia adalah seumpama cerpelai (weasel) tetapi berekor lebih panjang daripada cerpelai. Dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai stoat. [Ibid, bhg. nota kaki no.19]

[4] Merupakan kata jamak bagi hausalah atau disebut juga hausal iaitu sejenis burung yang berwarna putih lebih besar daripada burung kurki (jenjang) [Lihat : Asna al-Matalib Syarh Raudh al-Talib (1/564)]