اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1557: GANTI RUGI BARANG YANG DIROSAKKAN OLEH KANAK-KANAK BELUM MUMAYYIZ

ak1557.png

 

SOALAN

Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti. Saya ingin bertanya, siapakah yang patut menjamin ganti rugi barang yang dirosakkan oleh kanak-kanak yang belum mumayyiz dengan sengaja?

Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Sesungguhnya Allah SWT telah mengangkat taklif bagi orang yang tidur, kanak-kanak dan juga orang gila berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

رُفِع القلمُ عن ثلاثةٍ: عن النّائمِ حتّى يستيقظَ وعن الغلامِ حتّى يحتلِمَ وعن المجنونِ حتّى يُفيقَ

Maksudnya: Telah diangkat pena dari tiga golongan: dari orang yang tidur sehingga dia terjaga, dari seorang kanak-kanak sehingga dia baligh dan daripada orang yang gila sehingga dia sedar.

Hadith riwayat Abu Daud (4403) dan Ibn Hibban (142)

Makna ‘telah diangkat pena’ di dalam hadith bermaksud, tidak dibebankan dengan taklif dan tidak dikenakan hukuman atau dosa terhadap apa yang dilakukan oleh mereka. (Rujuk Faidh al-Qadir Syarh Jami’ al-Saghir, 4:46)

Oleh itu, setiap perbuatan ketiga-tiga golongan tersebut termasuk kanak-kanak yang belum baligh, sama ada sengaja ataupun tidak, maka mereka tidak dihukum dengan apa-apa hukuman. Hal ini kerana kaedah fiqh menyebutkan bahawa:

عَمْدُ الصَبِيّ خَطَأٌ

Maksudnya: Perbuatan sengaja seorang kanak-kanak dikira sebagai dia tersilap.

Justeru, bayi atau kanak-kanak yang belum baligh, apabila melakukan hal yang menyebabkannya layak untuk menerima hukuman, mereka tidak dihukum dengan hukuman orang dewasa seperti hukuman hudud. Walaubagaimanapun, boleh diberikan hukuman ta’zir yang bersifat mendidik dan memberi pengajaran. Ini kerana mereka masih belum matang pemikirannya, perbuatan sengaja mereka dikira sebagai mereka tersilap melakukannya. (Rujuk Usul Fiqh Li Abd Wahab Khalaf, 137)

Ini juga kerana, Allah SWT mengampunkan bagi umat Nabi Muhammad SAW perbuatan kemaksiatan yang dipaksa mereka melakukannya, perbuatan yang tersalah dan terlupa. Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللهَ تَجاوَزَ لِأُمَّتي عما استُكرِهوا عليهِ، وعنِ الخَطَأِ والنِّسيانِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT mengampunkan bagi umat-ku daripada perbuatan yang dipaksakan untuk mereka melakukannya, perbuatan disebabkan oleh tersilap (tidak sengaja) dan juga terlupa.

Hadith riwayat Ahmad, 1:561

Disamping itu juga, para fuqaha’ menjelaskan bahawa walaupun tiada hukuman, jaminan ganti rugi terhadap barang yang dirosakkan masih tetap ada kerana melibatkan hak orang lain. Hal ini seperti yang disebut di dalam kitab Tuhfat al-Muhtaj Syarh al-Minhaj:

ولا عقوبة على صبى ومجنون ومكره وإن ضمنواً النفس والمال

Maksudnya: Tiada hukuman terhadap kanak-kanak, orang gila dan orang yang dipaksa walaupun mereka perlu membayar ganti rugi bagi nyawa (diyat) dan harta yang dirosakkan. (Rujuk Tuhfat al-Muhtaj, 4:151)

Ini kerana, secara asasnya barang yang menjadi hak atau milik orang lain jika dirosakkan sama ada sengaja ataupun tidak, maka hendaklah diganti rugi oleh orang yang merosakkannya tersebut. Dalam hal ini, al-Hafiz Ibn Abd Barr menyebutkan bahawa:

الأمر المجتمع عليه عندنا في ذلك أن الأموال تُضمن بالعمد والخطأ

Maksudnya: Perkara yang disepakati di sisi kami dalam bab tersebut adalah harta yang dirosakkan hendaklah diganti rugi sama ada sengaja ataupun tidak. (Rujuk al-Istizkar, 7:279)

Maka dalam isu ini, apabila seorang kanak-kanak merosakkan barangan milik orang lain dengan sengaja, maka hendaklah diganti rugi dengan menggunakan harta kanak-kanak terlebih dahulu, jika ada dan mencukupi. Namun jika sekiranya tiada atau tidak mencukupi, ibu bapa atau walinya boleh melunaskan bagi pihak anaknya tanpa wajib melakukan demikian.

إن أتلف صبي مال غيره يلزم الضمان من ماله وإن لم يكن له مال ينتظر إلى حال يسر ولا يضمنه وليه

Maksudnya: Jika sekiranya seorang kanak-kanak merosakkan harta milik orang lain, maka wajib ke atasnya ganti rugi daripada hartanya, jika sekiranya dia tiada harta, maka ditunggu sehingga keadaan yang dilapangkan hartanya, dan tidak wajib dijamin oleh walinya. (Rujuk Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, 4:297)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa kanak-kanak yang belum mumayyiz tidak dihukum atas kesalahannya sama ada sengaja ataupun tidak, kecuali dengan hukuman yang bersifat mendidik dan memberi pengajaran sahaja. Manakala, ganti rugi barang yang dirosakkan oleh kanak-kanak yang belum mumayyiz itu adalah dilunaskan daripada hartanya sendiri, jika dia memiliki harta.

Namun begitu, jika melihat kepada hal kebiasaan bahawa kanak-kanak yang belum mumayyiz tidak mempunyai harta, maka ibu bapa atau penjaganya hendaklah melunaskan ganti rugi tersebut bagi pihak kanak-kanak tersebut kerana mereka bertanggungjawab untuk menjaganya daripada melakukan hal-hal sedemikian.

Ingatlah bahawa Rasulullah memberi peringatan untuk menjaga nyawa, harta dan maruah seorang muslim yang tidak boleh diganggu dan dirosakkan. Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ المُسْلِمِ على المُسْلِمِ حَرامٌ، دَمُهُ، ومالُهُ، وعِرْضُهُ

Maksudnya: Setiap muslim itu adalah haram (tidak boleh diganggu) darah, harta dan maruah kehormatannya.

Hadith riwayat Bukhari (6064) dan Muslim (2564)

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

WaAllahu a’lam.