اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1597 : MAKSUD ZUKHRINA DALAM SELAWAT SOLAT TERAWIH

 af1597 compressed

 

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Kita biasa mendengar sewaktu Solat Terawih bilal membacakan selawat seperti berikut pada selang dua rakaat:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا وَحَبِيْبِنَا وَشَفِيْعِنَا وَزُخْرِنَا وَمَوْلَانَا مُحَمَّدٍ

Persoalan saya, apakah yang dimaksudkan dengan zukhrina dalam selawat berkenaan?

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah. Segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam kitab Lisan al-Arab (4/320), zakhara al-bahr bermaksud laut itu melimpah dan meluap airnya, seperti mana dalam hadis Jabir bin Abdillah RA:

فَأَتَيْنَا سِيفَ الْبَحْرِ فَزَخَرَ الْبَحْرُ زَخْرَةً فَأَلْقَى دَابَّةً فَأَوْرَيْنَا عَلَى شِقِّهَا النَّارَ فَاطَّبَخْنَا وَاشْتَوَيْنَا وَأَكَلْنَا حَتَّى شَبِعْنَا

Maksudnya: “Apabila kami sampai ke tepi pantai lalu laut pun melimpah dengan satu limpahan yang mengeluarkan seekor haiwan besar, lalu kami panggang haiwan itu di atas api, kami masak, kami ambilnya dan kami makan sehingga kenyang.”

Riwayat Muslim (3012)

Dalam Mu`jam al-Wasit (1/391) disebut bahawa al-zakhir itu ialah seseorang yang memiliki kemuliaan yang tinggi, dan apabila dikatakan fulan `irquhu zakhir, bermaksud seseorang yang membesar dalam kemuliaan dan kepemurahan.

Dalam Qomus al-Muhit (1/399), zakhir itu juga ialah sesuatu yang menggembirakan, dan menjadi kebanggaan. 

Justeru, boleh dikatakan terjemahan selawat di atas seperti berikut:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا وَحَبِيْبِنَا وَشَفِيْعِنَا وَزُخْرِنَا وَمَوْلَانَا مُحَمَّدٍ

“Ya Allah! Kurniakanlah selawat (segala penghormatan dan kebaikan) atas Penghulu, Kekasih, Pemberi Syafaat, Kebanggaan, dan Junjungan kami, Muhammad.”

Ini kerana Rasulullah ﷺ sememangnya ialah kebanggaan kita umat Islam, yang mengeluarkan kita daripada kehinaan kepada sebaik-baik umat, mencukupkan kita dengan kegembiraan sebagai hamba Allah daripada kerendahan dunia, sesuai dengan nasab keturunan baginda yang mulia dan bangsawan. Wallahua`lam.

Semoga kita dikurniakan kecintaan yang tinggi kepada Rasulullah ﷺ dan komitmen untuk mengikut jejak langkah Baginda sehingga bertemu dengannya di Hari Akhirat. Amin.