اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1624: APAKAH MAKSUD ‘BINTANG-BINTANG DIJADIKAN ALAT REJAMAN TERHADAP SYAITAN-SYAITAN’ DALAM AYAT 5, SURAH AL-MULK?

AK1624.png

SOALAN

Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti. Saya membaca surah al-Mulk pada setiap malam dan apabila melihat terjemahan bagi ayat kelima surah tersebut terdapat frasa yang saya tidak tahu berkaitannya. Apakah yang dimaksudkan dengan terjemahan ‘Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap syaitan-syaitan’ di dalam ayat tersebut?

Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran, Surah al-Mulk, ayat ke-5:

وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَجَعَلْنَاهَا رُجُومًا لِّلشَّيَاطِينِ ۖ وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابَ السَّعِيرِ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.

(Surah al-Mulk: 5)

Ayat ini juga mempunyai kesinambungannya dengan ayat 16-18 surah al-Hijr, ayat 6-10 surah al-Saffat dan ayat 8-9 surah al-Jinn. Allah SWT berfirman:

وَلَقَدْ جَعَلْنَا فِي السَّمَاءِ بُرُوجًا وَزَيَّنَّاهَا لِلنَّاظِرِينَ ﴿١٦﴾ وَحَفِظْنَاهَا مِن كُلِّ شَيْطَانٍ رَّجِيمٍ ﴿١٧﴾ إِلَّا مَنِ اسْتَرَقَ السَّمْعَ فَأَتْبَعَهُ شِهَابٌ مُّبِينٌ ﴿١٨

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya. Dan Kami pelihara (urusan) langit itu dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang kena rejam. Kecuali Syaitan yang curi mendengar percakapan (malaikat di langit), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menyala, yang nyata kelihatan.

(Surah al-Hijr: 16-18)

Allah SWT juga berfirman:

إِنَّا زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِزِينَةٍ الْكَوَاكِبِ ﴿٦﴾ وَحِفْظًا مِّن كُلِّ شَيْطَانٍ مَّارِدٍ ﴿٧﴾ لَّا يَسَّمَّعُونَ إِلَى الْمَلَإِ الْأَعْلَىٰ وَيُقْذَفُونَ مِن كُلِّ جَانِبٍ ﴿٨﴾ دُحُورًا ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ وَاصِبٌ ﴿٩﴾ إِلَّا مَنْ خَطِفَ الْخَطْفَةَ فَأَتْبَعَهُ شِهَابٌ ثَاقِبٌ ﴿١٠

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan hiasan bintang-bintang. Dan (Kami pelihara urusan langit itu) dengan serapi-rapi kawalan dari (masuk campur) tiap-tiap syaitan yang derhaka; (Dengan itu) mereka tidak dapat memasang telinga mendengar (percakapan malaikat) penduduk langit, dan mereka pula direjam (dengan api) dari segala arah dan penjuru. Untuk mengusir mereka; dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak putus-putus. Kecuali sesiapa di antara syaitan-syaitan itu yang curi mendengar mana-mana percakapan (malaikat), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menjulang lagi menembusi.

(Surah al-Saffat: 6-10)

Allah SWT juga berfirman:

وَأَنَّا لَمَسْنَا السَّمَاءَ فَوَجَدْنَاهَا مُلِئَتْ حَرَسًا شَدِيدًا وَشُهُبًا ﴿٨ وَأَنَّا كُنَّا نَقْعُدُ مِنْهَا مَقَاعِدَ لِلسَّمْعِ ۖ فَمَن يَسْتَمِعِ الْآنَ يَجِدْ لَهُ شِهَابًا رَّصَدًا ﴿٩

Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala. Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya.

(Surah al-Jinn: 8-9)

Maksud bagi ayat-ayat di atas hendaklah dirujuk kepada tafsiran yang telah dinukilkan oleh para mufassirun dalam tafsir-tafsir mereka, jika tidak seseorang itu hanya mengeluarkan pendapatnya sendiri. Hal ini kerana Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya telah menukilkan kata-kata Qatadah RA yang menyebutkan bahawa:

إنما خلقت هذه النجوم لثلاث خصال : خلقها الله زينة للسماء ، ورجوما للشياطين ، وعلامات يهتدى بها ، فمن تأول فيها غير ذلك فقد قال برأيه ، وأخطأ حظه ، وأضاع نصيبه ، وتكلف ما لا علم له به

Maksudnya: Sesungguhnya diciptakan bintang-bintang ini dengan tiga tujuan, iaitu; Allah SWT menciptakannya sebagai perhiasan di langit, alat-alat rejaman terhadap syaitan dan juga petunjuk jalan dengannya. Oleh itu, barangsiapa yang mentakwilkannya kepada perkara selain yang telah disebut, maka dia telah mengeluarkan pandangan sendiri, tersalah dalam pandangannya, sia-sia sumbangannya dan membebani diri dengan sesuatu yang dia tiada ilmu berkaitannya. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 8:198)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA berkaitan perkara ini, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قَضَى اللَّهُ الأَمْرَ فِى السَّمَاءِ ضَرَبَتِ الْمَلاَئِكَةُ بِأَجْنِحَتِهَا خُضْعَانًا لِقَوْلِهِ كَأَنَّهُ سِلْسِلَةٌ عَلَى صَفْوَانٍ فَإِذَا فُزِّعَ عَنْ قُلُوبِهِمْ قَالُوا مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ ، قَالُوا لِلَّذِى قَالَ الْحَقَّ وَهُوَ الْعَلِىُّ الْكَبِيرُ فَيَسْمَعُهَا مُسْتَرِقُ السَّمْعِ ، وَمُسْتَرِقُ السَّمْعِ هَكَذَا بَعْضُهُ فَوْقَ بَعْضٍ – وَوَصَفَ سُفْيَانُ بِكَفِّهِ فَحَرَفَهَا وَبَدَّدَ بَيْنَ أَصَابِعِهِ – فَيَسْمَعُ الْكَلِمَةَ ، فَيُلْقِيهَا إِلَى مَنْ تَحْتَهُ ثُمَّ يُلْقِيهَا الآخَرُ إِلَى مَنْ تَحْتَهُ ، حَتَّى يُلْقِيَهَا عَلَى لِسَانِ السَّاحِرِ أَوِ الْكَاهِنِ ، فَرُبَّمَا أَدْرَكَ الشِّهَابُ قَبْلَ أَنْ يُلْقِيَهَا ، وَرُبَّمَا أَلْقَاهَا قَبْلَ أَنْ يُدْرِكَهُ ، فَيَكْذِبُ مَعَهَا مِائَةَ كَذْبَةٍ ، فَيُقَالُ أَلَيْسَ قَدْ قَالَ لَنَا يَوْمَ كَذَا وَكَذَا كَذَا وَكَذَا فَيُصَدَّقُ بِتِلْكَ الْكَلِمَةِ الَّتِى سَمِعَ مِنَ السَّمَاءِ

Maksudnya: Ketika Allah SWT menetapkan suatu urusan di langit, malaikat lantas meletakkan sayapnya dalam rangka tunduk pada perintah Allah SWT yang seolah-olah seperti suara gemercingan rantai di atas batu. Apabila rasa takut telah dihilangkan dari hati mereka, mereka mengucapkan, “Apa yang telah difirmankan oleh Rabb kalian?” Mereka menjawab, “Perkataan yang benar. Dia Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

Maka syaitan-syaitan pengintip berita itu pun mendengarkan berita itu. Mereka berada dalam posisi yang saling bersesak-sesakan -Sufyan RA menggambarkannya dengan mengiringkan telapak tangannya dan merenggangkan jari-jemarinya. Jika syaitan yang di atas mendengar berita itu, maka segera disampaikan kepada syaitan yang berada di bawahnya. Kemudian yang lain juga menyampaikan kepada syaitan yang berada di bawahnya hingga sampai kepada tukang sihir dan dukun.

Terkadang syaitan pengintip berita itu terkena api sebelum sempat menyampaikan berita itu. Terkadang pula setan itu sempat menyampaikan berita itu sebelum terkena api. Lalu dengan berita yang didengarnya itulah tukang sihir atau dukun membuat seratus kedustaan. Orang-orang yang mendatangi tukang sihir atau dukun pun mengatakan, “Bukankah pada hari ini dan itu, dia telah mengabarkan kepada kita bahawa akan terjadi demikian dan demikian?” Akibatnya, tukang sihir dan dukun itu pun dipercayai karena satu kalimat yang telah didengarnya dari langit.

Hadith riwayat al-Bukhari: 4800

Ibn Kathir dalam tafsirnya berkata, ayat ini menunjukkan bahawa syaitan telah dihalau dan dilemparkan dari tempat yang dahulunya mereka duduk di langit. Ini supaya mereka tidak mencuri dengar perkhabaran yang dibawa oleh para malaikat daripada al-Quran kemudian memberitahunya kepada tukang sihir dan dukun, maka segala perkara akan menjadi tidak jelas dan akan berlakulah kekeliruan sehingga tidak dapat dipastikan siapakah yang benar! Ini merupakan kelembutan dan rahmat Allah SWT terhadap hamba-Nya dan Dia menjaga dengannya kitab al-Quran. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 8:240)

Imam al-Saadiy dalam tafsirnya pula berkata, bintang-bintang tersebut dijadikan alat rejam terhadap syaitan-syaitan yang ingin mencuri dengar perkhabaran daripada langit, maka Allah SWT menjadikan bintang-bintang ini sebagai penjaga di langit daripada syaitan-syaitan yang mencuri perkhabaran langit. Ia merupakan cahaya yang dilontarkan dari bintang-bintang, Allah SWT mengembalikannya ke dunia  ke atas syaitan-syaitan tersebut. (Rujuk Tafsir al-Saadiy, 1:875)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa maksud terjemahan ‘Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap syaitan-syaitan’, ayat 5 surah al-Mulk berserta beberapa ayat-ayat yang berkaitan dengannya di atas, dengan isi-isi penting sepertimana berikut:

  • Satu ketika dahulu, para syaitan dalam kalangan jin mempunyai tempat di langit bagi mencuri dengar perkhabaran-perkhabaran langit yang dibawa oleh para malaikat, untuk disampaikan kepada tukang sihir dan dukun dengan tujuan untuk mengelirukan dan menyesatkan manusia dengannya.
  • Maka Allah SWT menghalau dan melemparkan para syaitan tersebut ke bumi serta menjadikan bintang-bintang sebagai penjaga di langit dengan direjamkan menggunakan cahaya-cahayanya apabila mereka ingin mencuri dengar perkhabaran langit. Ia merupakan salah satu daripada tujuan Allah SWT menciptakan bintang-bintang, selain menjadi perhiasan di langit dan petunjuk jalan kepada orang yang mengembara.
  • Ini merupakan kelembutan dan rahmat daripada Allah SWT kepada hambaNya supaya dapat menjaga perkhabaran al-Quran daripada diselewengkan oleh ahli sihir dan para dukun yang akan menyebabkan segala yang disampaikan oleh Rasulullah SAW tidak jelas dan akan berlakulah kekeliruan sehingga tidak dapat dipastikan siapakah yang benar!

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

WaAllahu a’lam.