اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1677 : PERLUKAH AZAN DAN IQAMAH SEKIRANYA SOLAT DILAKUKAN DI RUMAH ?

AK1677

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sekarang seperti yang kita maklum, tidak dibenarkan solat berjemaah di masjid. Soalan saya, jika kita solat di rumah adakah perlu untuk kita azan dan iqamah juga ? Mohon penjelasan.

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapakan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Azan merupakan salah satu dari syiar agama Islam yang bertujuan untuk memberitahu bahawa telah masuknya waktu bagi solat-solat fardhu. Demikian juga iqamah dilaungkan dengan tujuan untuk memberitahu bahawa solat akan didirikan. Azan disyariatkan apabila masuk sahaja waktu solat seperti yang disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Malik bin Al-Huwairith R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ

Maksudnya : Maka apabila waktu solat telah masuk, hendaklah salah seorang dari kamu melaungkan azan.

Riwayat al-Bukhari (628)

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa di sisi mazhab Imam al-Syafi’e, hukum melaungkan azan dan iqamah adalah sunat muakkad untuk kesemua lima solat fardhu. Ini seperti yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi :

مَذْهَبُنَا الْمَشْهُورُ أَنَّهُمَا سُنَّةٌ لِكُلِّ الصَّلَوَاتِ فِي الْحَضَرِ وَالسَّفَرِ لِلْجَمَاعَةِ وَالْمُنْفَرِدِ لَا يَجِبَانِ بِحَالٍ فَإِنْ تَرَكَهُمَا صَحَّتْ صَلَاةُ الْمُنْفَرِدِ وَالْجَمَاعَةِ

Maksudnya : ‘’(Di sisi) mazhab kami (pendapat) yang masyhurnya adalah keduanya (azan dan iqamah) itu sunat bagi kesemua solat semasa hadir (tidak bermusafir) dan juga semasa musafir, bagi (solat) berjemaah dan juga solat secara bersendirian. Keduanya itu tidak wajib maka sekiranya seseorang meninggalkan keduanya maka sah solat secara bersendirian dan juga secara berjemaah’’. Rujuk Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (3/82).

Pendapat ini juga turut disokong oleh beberapa tokoh fuqaha dalam kalangan mazhab yang lain seperti Malikiyyah. Ini seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Rushd  berkenaan hukum iqamah : ‘’Sesungguhnya ia (iqamah) di sisi para fuqaha bagi hak mereka yang solat bersendirian dan juga berjemaah adalah sunat muakkad dan di sisi ahli zahir (zahiriah) hukumnya adalah fardhu. Mengikut pendapat pertama, tidak batal solat apabila meninggalkannya (iqamah), manakala menurut pendapat yang kedua (iaitu al-Zahiriyyah), menjadi batal. Rujuk Bidayah al-Mujtahid, Ibn Rushd (Hlm. 109).

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami berpandangan bahawa pendapat yang lebih tepat adalah pandangan jumhur yang meliputi pandangan mazhab Imam Al-Syafi’e bahawa hukum azan dan iqamah bagi solat fardhu adalah sunat muakkad. Justeru, seseorang yang menunaikan solat di rumah sama ada secara berjemaah atau sendirian, disunatkan juga untuk melaungkan azan dan juga iqamah. Manakala solat yang didirikan tanpa azan dan iqamah maka hukumnya adalah makruh kerana meninggalkan perkara yang sunat namun solatnya sah. Manakala untuk solat-solat sunat, tidak disyariatkan azan dan iqamah padanya.

Kami juga berpendapat, adalah lebih afdhal dan dituntut untuk seseorang itu melakukan azan dan iqamah juga setiap kali dia mendirikan solat fardhu sama ada secara berjemaah atau secara bersendirian dalam tempoh ini. Wallahu A’lam.

Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita dalam beragama. Ameen.