اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1731 : PENYUCIAN PLASENTA KHINZIR DALAM PRODUK KOSMETIK DENGAN KAEDAH HIDROLISIS?

af1731 compressed

 

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Mohan pencerahan status produk kosmetik yang mengandungi hydrolysis placenta protein bersumberkan khinzir. Adakah suci digunakan atau tetap tidak suci, walapun placenta tersebut diproses melalui hydrolysis?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad ﷺ, ke atas Ahli Bait, serta Para Sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

Menurut Kamus Dewas Bahasa Edisi Keempat, “hidrolisis” bermaksud “tindak balas kimia apabila sebatian bertindak balas dengan air untuk menghasilkan sebatian lain.” Dalam konteks semasa, proses hidrolisis ke atas sumber khinzir bertujuan untuk mengektrak bahan protein yang akan digunakan dalam produk kosmetik. Proses ini merupakan teknik yang biasa digunakan untuk mengektrak gelatin daripada daging, tulang dan kulit haiwan, seperti khinzir, lembu dan ikan, untuk tujuan penghasilan produk makanan, ubat-ubatan, kosmetik dan lain-lain, dan bukan bertujuan untuk menyucikannya dalam Hukum Syarak. Rujuk jurnal artikel Meeting the requirements of halal gelatin: A mini review oleh MedCrave.

Proses hidrolisis tidak termasuk dalam kaedah penyucian bahan najis menurut mazhab Syafie. Penyucian najis hanya berlaku pada tiga keadaan, seperti yang disebut dalam al-Muqaddimah al-Hadhramiah:

“Khamar yang berubah menjadi cuka secara sendiri dalam bekasnya, kulit yang mutanajjis akibat maut kemudian disucikan dengan menyamak lapisan  luar dan dalamnya, dan apa yang bertukar menjadi haiwan.”

Contoh bertukar menjadi haiwan ialah ulat yang lahir daripada tinja dihukum suci. Rujuk al-Minhaj al-Qowim (hlm.54) oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami.

Khinzir merupakan haiwan yang diharamkan memakannya dan bangkainya dikategorikan sebagai najis. Allah ﷻ berfirman:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ

MaksudnyaSesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi.

(Surah al-Baqarah: 173)

Ibn al-‘Arabi berkata:

“Umat telah bersepakat haramnya daging babi dan seluruh bahagian tubuhnya. Dalam ayat disebutkan dengan perkataan ‘daging’ kerana babi adalah haiwan yang disembelih dengan maksud mengambil dagingnya. … Dan lemak babi termasuk dalam larangan daging babi.”

Lihat Ahkam al-Qur’an (1/94)

Hukum menggunakan bahan yang bersumberkan khinzir juga ialah diharamkan sekalipun tidak dimakan, seperti digunakan pada badan atau baju, kerana statusnya sebagai najis mughallazah (berat). Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (4/46) oleh Imam al-Nawawi

Pengecualian diberikan dalam kes rawatan dan perubatan apabila tiada alternatif selain khinzir, maka diharuskan kerana darurat. Rujuk Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-376 : Penggunaan Implan Daripada Sumber Khinzir Untuk Rawatan Glaukoma

 

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, kami cenderung untuk menyatakan bahawa produk kosmetik yang mengandungi protein khinzir terhidrolisis adalah haram digunakan kerana ia adalah najis mughallazah dan bukan digunakan atas alasan darurat. Wallahua`lam.

Semoga penjelasan ini memberikan manfaat kepada pihak yang bertanya. Kita doa agar Allah ﷻ memberikan kita rezeki daripada sumber yang halal dan baik. Amin

Disediakan oleh,

Unit Buhuth,
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.