اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1814: HUKUM BERMAIN KAD DAUN TERUP

Screenshot 2021 08 05 at 4.45.43 PM

 

Soalan

Assalamualaikum Ustaz, saya nak tanya apa hukum main kad daun terup tapi kami tak berjudi pun. Ada orang kata masih haram juga walaupun tak main judi. Jadi macam mana ya ustaz kalau main saja-saja macam tu?

Ringkasan Jawapan

Waalaikumussalam. Hukum bermain kad daun terup adalah dibolehkan dengan syarat tidak mempunyai unsur perjudian, penipuan, pergaduhan dan menjaga batasan-batasan Islam seperti tidak meninggalkan ibadah solat dan sebagainya. Walaupun begitu, jika bermain kad daun terup dikhuatiri menimbulkan fitnah di mata masyarakat sekeliling disebabkan ia adalah alat yang biasa digunakan untuk permainan judi maka elok dielakkan.

Huraian

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah SWT tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari akhirat. 

Kad daun terup merupakan permainan ringan yang popular di kalangan kita. Ini juga disebabkan ianya menjadi alat-alat wajib dalam aktiviti judi di tempat perjudian seperti kasino, bar dan lain-lain. Terdapat juga golongan yang bermain kad daun terup ini tanpa melibatkan apa-apa taruhan seperti wang, kerana sekadar untuk meluangkan masa lapang. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”

Surah al-Maidah (90)

Prof Dr. Wahbah az-Zuhaili dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menegaskan berkenaan pengharaman arak dan judi sebagai amalan daripada syaitan. Pengharaman perkara-perkara demikian adalah untuk menjaga tubuh badan kita, minda kita serta memupukkan perasaan saling sayang menyayangi antara kita semua. Semua jenis taruhan termasuk sama ada permainan dadu atau catur yang melibatkan pertaruhan wang makai a termasuk dalam kategori judi. Jika tidak menggunakan wang pun, jumhur masih tetap melarang kerana ia berpotensi menimbulkan permusuhan dan dendam, serta menjadi penghalang daripada mengingati Allah SWT.

[Lihat Tafsir al-Munir: 4/34][1] 

 Perkara ini juga selari dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”

Surah al-Maidah (91)

Ayat di atas mengajar kepada kita berkenaan pentingya untuk sentiasa mengingati Allah SWT. Mana-mana perbuatan yang melibatkan judi dan taruhan wang, maka jelas akan pengharamannya. Menjadi kewajipan kita sebagai seorang Muslim untuk sentiasa mengisi waktu lapang kita dengan perkara-perkara yang bermanfaat seperti beribadah dan belajar. Nabi SAW bersabda: 

يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً وَلَوْ كَانَتْ تَكُونُ قُلُوبُكُمْ كَمَا تَكُونُ عِنْدَ الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُسَلِّمَ عَلَيْكُمْ فِي الطُّرُقِ ‏‏

MaksudnyaWahai Hanzalah! Ada masa untuk urusan keduniaan, ada masa untuk beribadah. Dan jika hati kamu sentiasa sama seperti kamu sedang mengingati Allah SWT, para malaikat akan bersalam denganmu dan memberi salam kepadamu di pertengahan jalan”

Riwayat Muslim (2750)[2]

Berdasarkan hadis di atas, maka lebih baik ke atas kita untuk mencari alternatif atau hiburan lain yang lebih berfaedah daripada permainan daun terup. Di samping itu, permainan sebegini menyebabkan jatuhnya tsiqah atau maruah kerana sifat permainan kad tersebut yang menjadi alat wajib kepada perjudian. Seharusnya seseorang yang baik akhlaknya dan tinggi pegangan agamanya meninggalkan permainan kad daun terup ini, dan mencari perkara yang lebih baik untuk diisi pada waktu lapang. Sabda Nabi SAW:

نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

Maksudnya“Dua nikmat yang sering diabaikan oleh manusia adalah kesihatan dan waktu lapang”

Riwayat Bukhari (5155)[3]

Dalam artikel siri yang lepas, kami ada menjawab isu mengenai hukum bermain mesin claw yang mana dilarang hukumnya, apabila ia dimasukkan dalam kategori perjudian dan sifatnya yang membantutkan akal kerana bergantung kepada nasib semata-mata. Berbeza dengan permainan lain seperti catur yang mana boleh menajamkan akal dan minda. Boleh rujuk artikel pada pautan berikut:

https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3294-al-kafi-1210-hukum-bermain-permainan-mesin-claw

Kesimpulan

Justeru, hukum bermain kad daun terup adalah dibolehkan dengan syarat tidak mempunyai unsur perjudian, penipuan, pergaduhan dan menjaga batasan-batasan Islam seperti tidak meninggalkan ibadah solat dan sebagainya. Walaupun begitu, jika bermain kad daun terup dikhuatiri menimbulkan fitnah di mata masyarakat sekeliling disebabkan ia adalah alat yang biasa digunakan untuk permainan judi maka elok dielakkan. Lebih elok jika kita mencari permainan yang lebih bermanfaat dan selamat kerana bermain permainan seperti ini akan menjatuhkan maruah, lebih-lebih jika seseorang itu memiliki reputasi yang tinggi dan dihormati disisi masyarakat.

 

[1] Wahbah az-Zuhaili. Tafsir al-Munir. 2003. Darul Fikr Damsyiq. Jilid 4 m/s 34-35

[2] Said Hawa. Kitab al-Asas fi as-Sunnah wa Fiqhiha – al-Aqaid al-Islamiyyah. 1992. Dar al-Salam. Jilid 2 m/s 57

[3] Abu Abdullah at-Tabrizi. Kitab Misykatul Masabih. 1985. Maktabah al-Islami Beirut. Jilid 3 m/s 427


طباعة   البريد الإلكتروني
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+