AL-KAFI # 1826 : HUKUM HARTA PELABURAN BERSAMA, ADAKAH DIWAJIBKAN ZAKAT?

pelaburan.png

SOALAN

Assalamualaikum,

Saya telah melakukan pelaburan bersama kawan saya dimana jumlah pelaburan kami RM 30 000. Ratio perkongsian bagi setiap seorang adalah 50:50 d imana duit saya RM15 000 dan duit kawan saya RM 15 000. Adakah zakat dikira atas pegangan individu ataupun daripada jumlah pelaburan kesemuanya?

Terima kasih.

JAWAPAN RINGKAS

Jika jumlah pelaburan bersama itu mencukupi haul dan nisab maka zakat diwajibkan ke atas mereka tanpa perlu melihat kepada bahagian individu. Zakat itu dikira ke atas keseluruhan harta walaupun salah seorang daripada pelabur belum mencapai nisab.

HUJAH DAN ANALISIS

Pelaburan merupakan salah satu kaedah bagi menjana wang dengan menggunakan sejumlah modal. Pulangan pelaburan pula bergantung kepada prestasi pelaburan di mana boleh membawa keuntungan dan juga boleh membawa kerugian. Instrumen pelaburan merupakan salah satu kategori yang termasuk dalam harta yang diwajibkan zakat. Dalil dan hujah bagi zakat pelaburan adalah berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِآخِذِيهِ إِلَّا أَن تُغْمِضُوا فِيهِ ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

Surah al Baqarah 267

Imam Mujahid ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah merujuk kepada perniagaan. Perkara ini dinyatakan oleh Imam Ibnu Katsir di dalam kitab tafsir beliau:

قَالَ مُجَاهِدٌ: يَعْنِي التِّجَارَةَ

Maksudnya: “Mujahid berkata: Apa yang dimaksudkan di sini merujuk kepada perniagaan".

(Rujuk Tafsir Ibnu Kathir 1/697)

Dalam pada itu, Imam at-Tabari juga menyatakan bahawa lafaz {مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ} merujuk kepada perniagaan ataupun daripada emas dan perak. Perkara ini dinyatakan oleh beliau dalam kitab tafsirnya:

: زكوا من طيّب ما كسبتم بتصرُّفكم إما بتجارة، وإما بصناعة من الذهب والفضة.

Maksudnya: “Keluarkanlah zakat daripada hasil usaha kamu yang baik dengan penguasaan kamu samaada daripada perniagaan atau pun pembuatan daripada emas dan perak”.

(Rujuk Tafsir al-Tabari 5/555)

Berdasarkan ayat diatas dapat kita fahami bahawa setiap pendapatan yang diperoleh daripada hasil yang baik maka ia termasuk di dalam harta yang diwajibkan zakat.

Berbalik kepada persoalan utama, ulama di sisi mazhab al-Shafie berpendapat bahawa harta pelaburan bersama dikira harta zakat sebagai satu unit. Semua jumlah pelaburan dikira sebagai satu unit walaupun salah seorang pelabur belum mencukupi nisab. Perkara ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

وَلاَ يُجْمَعُ بَيْنَ مُتَفَرِّقٍ، وَلاَ يُفَرَّقُ بَيْنَ مُجْتَمِعٍ، خَشْيَةَ الصَّدَقَةِ

Maksudnya: “Jangan kamu satukan harta yang berbeza dan jangan kamu asingkan harta yang terkumpul bagi mengelakkan (bayar lebih/terima kurang) daripada zakat”. 

Hadis Riwayat al-Bukhari

Imam al-Nawawi menjelas maksud hadis di atas bahawa percampuran yang boleh dikenalpasti bahagian masing-masing maka dijadikan nilai percampuran itu sebagai satu nilai, kata beliau:

وَلِكُلِّ وَاحِدَةٍ مِنَ الْخُلْطَتَيْنِ أَثَرٌ فِي الزَّكَاةِ، فَيَجْعَلَانِ مَالَ الشَّخْصَيْنِ أَوِ الْأَشْخَاصِ بِمَنْزِلَةِ مَالِ الْوَاحِدِ.

Maksudnya: “Setiap seorang daripada dua harta yang bercampur itu akan memberi kesan kepada zakat, maka dijadikan dua harta yang bercampur itu atau harta yang ramai sebagai satu nilai harta.

(Rujuk Kitab Raudhah al-Tolibin 2/170)

Sebagai contoh, dua orang lelaki yang mencampurkan 20 ekor kambing dengan 20 ekor kambing yang mereka miliki maka diwajibkan bagi mereka untuk mengeluarkan zakat bagi seekor kambing. Jika mereka tidak mencampurkannya maka tidak perlu bagi mereka untuk mengeluarkan zakat. (Rujuk Kitab Raudhatul al-Tolibin 2/170)

Seterusnya, bagi mekanisma pengiraan harta zakat pelaburan, adalah dinasihatkan untuk merujuk Pusat Zakat negeri berkaitan. Disini kami sertakan pautan berkaitan yang dikeluarkan oleh Pusat Pungutan Zakat MAIWP:

 

  1. https://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-jenis-zakat/zakat-saham/
  2. https://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-jenis-zakat/zakat-perniagaan/

KESIMPULAN

Kesimpulannya, jika jumlah pelaburan bersama itu mencukupi haul dan nisab maka zakat diwajibkan ke atas mereka tanpa perlu melihat kepada bahagian individu. Zakat itu dikira ke atas keseluruhan harta walaupun salah seorang daripada pelabur belum mencapai nisab.

 


طباعة   البريد الإلكتروني