اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1867: PUSAKA ORANG MURTAD

alkafi 1867

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan soalan, adakah orang murtad boleh mewarisi harta pusaka? Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Orang murtad tidak boleh mewarisi harta orang Islam, begitu juga harta mereka tidak akan diwarisi oleh orang Islam, malah ia dianggap sebagai harta fai’ lalu diserahkan ke Baitulmal untuk kepentingan umat Islam.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Saban hari, kita mendengar banyak kes permohonan untuk menukar status atau keluar daripada agama Islam yang dikemukakan ke Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Oleh yang demikian, timbul persoalan dalam kalangan masyarakat akan harta mereka yang murtad ini, adakah ia boleh diwarisi atau juga adakah mereka (yakni si murtad) boleh mewarisi harta kaum kerabatnya yang muslim?

Menjawab kepada persoalan ini, perlu diketahui bahawa antara sebab-sebab yang menghalang daripada berlakunya perwarisan harta peninggalan ialah perbezaan agama. Perkara ini jelas melalui hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid R.Anhuma, Baginda bersabda:

لاَ يَرِثُ الْمُسْلِمُ الكَافِرَ وَلاَ الكَافِرُ الْمُسْلِمَ

Maksudnya:Orang Islam tidak boleh mewarisi harta seorang kafir begitu juga orang kafir tidak boleh mewarisi harta seorang Muslim.”

Riwayat Bukhari (6764)

Penegasan ini juga adalah bersandarkan kepada ijma‘ ulama’ yang menyatakan ketiadaan perwarisan antara orang Islam dan orang kafir.[1] Berhubung dengan isu mewarisi harta orang bukan Islam atau sebaliknya, telah kami jawab melalui artikel kami yang bertajuk Al-KAFI LIL FATAWI #1731: MEWARISI HARTA BUKAN MUSLIM.[2]

Seterusnya, berbalik kepada persoalan yang diajukan berkenaan harta pusaka bagi orang murtad atau mereka yang keluar daripada agama Islam, Imam al-Nawawi menyebut di dalam kitab beliau, Minhaj al-Tolibin, beliau menukilkan[3]:

وَلَا يَرِثُ مُرْتَدٌّ وَلَا يُورَثُ

Maksudnya:  Dan orang murtad tidak boleh mewarisi (harta orang Islam) begitu juga (mereka yakni orang murtad) tidak boleh diwarisi.

Perkara ini ada disebut jua oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami, beliau turut menyebut hal yang sama yakni orang murtad tidak boleh mewarisi harta orang Islam sekalipun dia kembali kepada Islam selepas perginya si mati. Hal ini kerana, tiada pertolongan antaranya dengan orang lain atas sebab dirinya yang meninggalkan agama. Imam al-Subki ada menyebut bahawa pandangan Ibn al-Rif‘ah berkenaan berlakunya perwarisan orang murtad terhadap harta orang Islam sekiranya dia (orang yang murtad itu) kembali kepada Islam adalah sesuatu yang mencarik keputusan ijma‘ ulama[4].

Syeikh Muhammad al-Zuhaili pula menyatakan bahawa tiada perwarisan harta antara orang murtad dan orang Islam atas sebab kedua-duanya berlainan agama, dan ini menjadi halangan kepada berlakunya perwarisan sesama mereka[5].

Oleh yang demikian, harta orang murtad tidak akan diwarisi bahkan harta mereka dianggap sebagai harta fai’[6] dan diserahkan ke Baitulmal sama ada harta tersebut diperolehi ketika masih Islam atau setelah murtad, sewaktu dia sihat ataupun sakit[7]. Namun sekiranya individu tersebut kembali ke agama Islam sebelum kewafatannya, maka hartanya itu dikembalikan semula kepadanya[8].

Kesimpulannya, orang murtad tidak boleh mewarisi harta orang Islam, begitu juga harta mereka tidak akan diwarisi oleh orang Islam, malah ia dianggap sebagai harta fai’ lalu diserahkan ke Baitulmal untuk kepentingan umat Islam. Akhir kalam, semoga Allah SWT mengurniakan kita kefahaman dan keikhlasan dalam menuntut ilmu. Wallahu A‘lam.

[1] Ahmad bin Muhammad bin ‘Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, (Mesir: Al-Maktabah al-Tijariyah al-Kubra, t.c, 1357H), 6/415.

[2] Lihat: https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1731-mewarisi-harta-bukan-muslim, laman web diakses pada 28 Feb 2022.

[3] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Minhaj al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftiin fi al-Fiqh, Tahkik: ‘Iwadh Qasim Ahmad ‘Iwadh, (T.tp: Dar al-Fikr, cetakan pertama, 1425H), 1/185.

[4] Al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, 6/416.

(وَلَا يَرِثُ) زِنْدِيقٌ وَهُوَ مَنْ لَا يَتَدَيَّنُ بِدِينٍ وَلَا (مُرْتَدٌّ) حَالَ الْمَوْتِ بِحَالٍ وَإِنْ أَسْلَمَ؛ لِأَنَّهُ لَا مُنَاصَرَةَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَحَدٍ لِإِهْدَارِهِ وَبَحْثُ ابْنِ الرِّفْعَةِ إرْثَهُ إذَا أَسْلَمَ خَارِقٌ لِلْإِجْمَاعِ قَالَهُ السُّبْكِيُّ (وَلَا يُورَثُ) بِحَالٍ بَلْ مَالُهُ فَيْءٌ لِبَيْتِ الْمَالِ سَوَاءٌ مَا اكْتَسَبَهُ فِي الْإِسْلَامِ وَالرِّدَّةِ ارْتَدَّ فِي صِحَّتِهِ أَوْ مَرَضِهِ.

[5] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafie, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1434H), 4/356.

ميراث المرتد:

والمرتد عن الإسلام كافر، ولا دين له، فلا يرث من أحد، لاختلاف الدّين، ولا يرث من مرتد مثله، لأنّ ما خلفه المرتد فيء لبيت مال المسلمين، ولا يرث من كافر أصلي (ولو اتحدا بالدّين) للمنافاة بينهما، فإن المرتد لا دين له، ولا يقرّ علي الدين الذي انتقل إليه، وذاك يقر، ولا يرث المرتد من مسلم لاختلاف الدين للحديث السابق وإن عاد إلى الإسلام بعد موت مورثه.

[6] Harta fai’ merupakan harta rampasan daripada orang kafir.

[7] Al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj, 6/416. Lihat juga: Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1413H), 5/78-79.

هذا، والمرتد عن الإسلام كافر، لا يرث من أحد شيئاً، ولا يرثه أحد، بال ماله يكون فيئاً لبيت مال المسلمين، سواء اكتسب ذلك المال في الإسلام، أم في الردّة.

Lihat juga: Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, (T.tp: Dar al-Fikr, t.c, t.t), 16/59.

قال الشافعي: وميراث المرتد لبيت المال.

قال العمراني: وجملة ذلك أن العلماء اختلفوا في الارث بعد موته على أربعة مذاهب، فذهب الشافعي رحمه الله إلى أن ماله لا يورث بل يكون فيئا لبيت المال.

سواء في ذلك ما اكتسبه في حال إسلامه أو في حال ردته، وسواء قلنا إن ملكه يزول أو لا يزول أو موقوف.

[8] Al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/356.

ولا يرث أحد المرتد، لأن ماله بعد موته فيء لبيت مال المسلمين، سواء اكتسبه في الإسلام، أو في الرّدة، فإذا عاد إلى الإسلام قبل وفاته فترد إليه أمواله.