اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI # 1899 : SIAPAKAH YANG LAYAK MEMANDIKAN JENAZAH KHUNSA MUSYKIL?

MUSYKIL min

 

 

Soalan:

Assalamualaikum.  Saya ada persoalan berkaitan individu yang mempunyai dua alat  kelamin, Jantina mana yang harus memandikan jenazah tersebut? Mohon pencerahan SS Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Jenazah khunsa musykil boleh dimandikan oleh ahli keluarganya sama ada terdiri daripada lelaki mahupun wanita. Namun sekiranya tiada mahram di sisi jenazah, maka lelaki dan wanita ajnabi layak memandikan jenazah tersebut tidak kira jenazah kanak-kanak mahupun dewasa disebabkan keperluan dan darurat menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi’i.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Khunsa musykil ialah individu yang tidak jelas kecenderungan tanda-tanda jantina lelaki mahupun wanita dan tidak diketahui lelaki ataupun wanita.

Khunsa musykil mempunyai dua jenis:

  1. Individu yang mempunyai dua alat kelamin dan sama tanda-tanda alat kelamin jantina lelaki dan wanita.
  2. Individu yang tidak mempunyai alat kelamin lelaki mahupun wanita tapi mempunyai lubang untuk kencing. [1]

Pengurusan memandikan jenazah khunsa musykil boleh dilaksanakan oleh kaum kerabat mahramnya sama ada lelaki mahupun wanita menurut kesepakatan fuqaha mazhab Syafi’iyyah. [2]

Sekiranya tiada ahli kerabat mahramnya, fuqaha Syafi’i membahaskan pihak yang boleh memandikan jenazah khunsa musykil  seperti  yang disebut dalam kitab al-Raudhah :

أَصَحُّهَا وَبِهِ قَالَ أَبُو زَيْدٍ: يَجُوزُ لِلرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ جَمِيعًا غَسْلُهُ لِلضَّرُورَةِ، وَاسْتِصْحَابًا لِحُكْمِ الصِّغَرِ

“Pandangan yang paling muktamad (asah), Abu Zaid mengatakan: “Harus bagi lelaki dan wanita memandikan jenazah khunsa musykil disebabkan darurat, dan kekal hukum bagi hukum kanak-kanak. “[3]

Pandangan yang sama dinyatakan oleh al-Khatib al-Syarbini di dalam kitab Mughni al-Muhtaj yang mana beliau menyatakan ia adalah sama dengan hukum jenazah kanak-kanak dan beliau menegaskan ini merupakan pandangan muktamad dan kesepakatan ashab mazhab Syafi’i“ [4].

 

 RUJUKAN

[1] Al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah (20/ 22)

الْخُنْثَى الْمُشْكِل: هُوَ مَنْ لاَ يَتَبَيَّنُ فِيهِ عَلاَمَاتُ الذُّكُورَةِ أَوِ الأُْنُوثَةِ، وَلاَ يُعْلَمُ أَنَّهُ رَجُلٌ أَوِ امْرَأَةٌ، أَوْ تَعَارَضَتْ فِيهِ الْعَلاَمَاتُ

، فَتَحَصَّل مِنْ هَذَا أَنَّ الْمُشْكِل نَوْعَانِ:

نَوْعٌ لَهُ آلَتَانِ، وَاسْتَوَتْ فِيهِ الْعَلاَمَاتُ، وَنَوْعٌ لَيْسَ لَهُ وَاحِدَةٌ مِنَ الآْلَتَيْنِ وَإِنَّمَا لَهُ ثُقْبٌ. (2)

[2]  Al-Nawawi, Abu Zakariya Mahya al-Din, al-Majmuk Syarh al-Muhadzzab , Dar al-Fikr, J : 5 P: 147

إذَا مَاتَ الْخُنْثَى الْمُشْكِلُ فَإِنْ كَانَ هُنَاكَ مَحْرَمٌ لَهُ مِنْ الرِّجَالِ أَوْ النِّسَاءِ غَسَّلَهُ بِالِاتِّفَاقِ

[3] Al-Nawawi, Abu Zakariya Mahya al-Din, 1991. Raudhah al-Talibin wa ‘Umdatun al-Muftin. Bayrut : al-Maktabah al-Islami, cet : 3. J:2 P: 105

[4] Al-Khatib al-Syirbini, Syamsuddin. 1994. Mugni al-Muhtaj Ila Ma’rifah  Ma’ani al-Fazd al-Minhaj.  Dar al-Kitab Ilmiah. J:2  P: 12

وَالْخُنْثَى الْكَبِيرُ الْمُشْكِلُ يُغَسِّلُهُ الْمَحَارِمُ مِنْهُمَا، فَإِنْ فُقِدُوا غَسَّلَهُ الرِّجَالُ وَالنِّسَاءُ لِلْحَاجَةِ وَاسْتِصْحَابًا لِحُكْمِ الصِّغَرِ كَمَا صَحَّحَهُ فِي

 الْمَجْمُوعِ وَنَقَلَهُ عَنْ اتِّفَاقِ الْأَصْحَابِ