
PENDAHULUAN
Dalam era digital, perbezaan pandangan mudah menjadi medan emosi tidak terkawal. Baru-baru ini, sebuah video tular menunjukkan kemarahan terhadap pihak yang dituduh memutarbelit sejarah Melayu dan merendahkan maruah Islam. Walaupun keresahan itu lahir daripada rasa tanggungjawab, tetapi makian dan serangan peribadi jelas melanggar adab teguran dalam Islam. Sesetengah pihak beranggapan cara kasar dibenarkan selagi mesej sampai. Sebenarnya, pendekatan itu merosakkan maqasid tadayun iaitu menjaga kesucian agama dan mencacatkan maqasid umran iaitu keharmonian masyarakat. Apabila matlamat dicapai dengan cara salah, maka lahirlah ‘hero palsu’ yang kuat bersuara tetapi bertindak berdasarkan emosi, bukan berdasarkan fakta dan data.
BAHAYA MENCARUT
Seseorang tidak seharusnya menganggap dosa mencarut itu remeh. Ini adalah kesilapan besar, walaupun tujuannya untuk memastikan pihak lawan memahami maksud yang disampaikan. Pendekatan ini adalah salah menurut timbangan syarak. Mencarut adalah tindakan yang merosakkan matlamat perjuangan itu sendiri. Islam secara tegas melarang keras umatnya daripada menggunakan bahasa yang buruk, biarpun dalam situasi tegang. Pendekatan ini adalah salah menurut timbangan syarak, kerana ia bertentangan dengan prinsip Islam yang tegas melarang keras umatnya daripada mencarut sebagai menggunakan bahasa yang buruk. Firman Allah SWT:
وَلَا تَنَابَزُواْ بِٱلۡأَلۡقَٰبِۖ بِئۡسَ ٱلِٱسۡمُ ٱلۡفُسُوقُ بَعۡدَ ٱلۡإِيمَٰنِۚ وَمَن لَّمۡ يَتُبۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ
Maksudnya: Janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
Surah al-Hujurat (11)
Wahbah al-Zuhayli menegaskan bahawa larangan agama terhadap penggunaan gelaran buruk adalah mutlak termasuk ungkapan menyakitkan hati. Seorang Muslim dilarang mencela dengan panggilan seperti ‘Hai fasik’ atau menyamakan orang lain dengan binatang contohnya ‘Hai anjing’ atau ‘Hai babi.’ Penggunaan bahasa kesat sebegini adalah pelanggaran syarak yang serius. Pelakunya boleh dikenakan hukuman ta‘zir iaitu hukuman budi bicara pihak berkuasa. Ini membuktikan betapa beratnya dosa menggunakan lisan yang keji.[1]
Sesetengah individu beranggapan dosa mencarut boleh diabaikan supaya mesej sampai kepada pihak lawan. Pendapat ini salah kerana Islam melarang penggunaan bahasa buruk dan gelaran yang menyakitkan hati. Perbuatan sebegini menzahirkan ‘hero palsu’ yang lantang bersuara tetapi dipandu emosi, bukan ilmu. Ia juga merosakkan maqasid tadayun iaitu mengekalkan kesucian agama, memelihara adab beragama dan memastikan cara hidup beragama selaras prinsip syarak. Hal ini sekaligus mengurangkan keberkatan dalam perjuangan membela agama dan bangsa.
KEADILAN DALAM TEGURAN
Keadilan dalam teguran adalah asas disiplin lisan dan integriti sosial seorang muslim. Teguran yang benar lahir daripada kebenaran, bukan kemarahan atau hawa nafsu. Islam menuntut teguran disampaikan secara beradab, mempunyai asas pertimbangan dan kesaksamaan. Teguran bertujuan untuk membina, bukan menghancurkan. Justeru itu, keadilan harus dijadikan panduan utama apabila kita menegur mana-mana pihak, terutamanya mereka yang didakwah menyinggung agama, bangsa atau menimbulkan ketegangan. Firman Allah SWT:
وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنََٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ
Maksudnya: Jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa.
Surah al-Maidah (8)
Al-Razi menjelaskan bahawa ayat ini adalah perintah universal yang mengikat semua manusia. Ia bermaksud kebencian terhadap mana-mana pihak tidak boleh mendorong kita untuk berlaku zalim. Sebaliknya, seorang muslim wajib menegakkan keadilan dan insaf, bahkan berbuat baik sekalipun disakiti. Hal yang demikian ini adalah larangan mutlak terhadap sebarang kezaliman dan tindakan sewenang-wenangnya.[2]
Prinsip ini secara mutlak menolak budaya mencarut atas nama membela agama atau bangsa. Hal ini kerana membalas kebencian dengan kata-kata keji adalah bersalahan dengan syariat dan secara langsung menurunkan martabat dakwah. Oleh itu, individu yang digelar ‘Hero Palsu’ kerana menggunakan bahasa kasar sebenarnya menunjukkan kelemahan emosi, bukanlah kekuatan iman. Keberanian sebenar terletak pada kemampuan mengekang lidah, memilih adab, menegakkan kebenaran dan menjaga kehormatan orang lain. Pendekatan beretika ini sekaligus memelihara keharmonian dan kesejahteraan masyarakat sepertimana ditekankan dalam maqasid umran
PENUTUP
Perasaan cemburu dan marah terhadap isu agama dan bangsa adalah tanda keimanan, tetapi penyampaiannya mesti selaras dengan adab syarak. Adalah suatu kekeliruan besar jika seseorang menganggap dosa mencarut itu ringan demi mencapai matlamat komunikasi yang lebih besar. Tindakan sebegini menjadikan individu tersebut sebagai ‘hero palsu’ yang lantang bersuara tetapi dipandu emosi, bukannya ilmu serta merosakkan maqasid tadayun dan umran.
Sebagai umat Islam, kita harus mencontohi Nabi Muhammad SAW yang tegas dalam menegakkan kebenaran tetapi tutur kata dan akhlaknya sentiasa mulia, bahkan terhadap pihak yang menentang. Setiap tindakan membela agama dan bangsa perlu berlandaskan fakta dan data menerusi perkataan yang beradab. Gelaran buruk atau kata kasar tidak pernah dibenarkan kerana matlamat dakwah tidak menghalalkan cara yang salah.
Sehubungan itu, semua muslim harus melatih diri menggunakan kalimah tayyibah iaitu perkataan yang baik. Perkataan yang baik membantu menyampaikan mesej dengan hikmah. Ia juga membuka hati lawan dan menjadikan komunikasi lebih berkesan. Sikap ikhlas dan hati bersih memastikan perkataan disampaikan dengan tepat. Dengan cara ini, perjuangan membela agama dan bangsa akan diberkati dan diterima sebagai usaha yang benar.
[1] Wahbah al-Zuhaili, Al-Tafsir al-Munir fi al-'Aqidah wa al-Shari'ah wa al-Manhaj (Damsyik: Dar al-Fikr; Beirut, Lebanon: Dar al-Fikr al-Mu'asir, 1991), 26:253. Teks asal:
{وَلا تَنابَزُوا بِالْأَلْقابِ} أي لا يلقّب بعضكم بعضا لقب سوء يغيظه، كأن يقول المسلم لأخيه المسلم: يا فاسق، يا منافق، أو يقول لمن أسلم: يا يهودي أو يا نصراني، أو يقول لأي إنسان: يا كلب، يا حمار، يا خنزير، ويعزر المرء القائل ذلك بعقوبة تعزيرية
[2] Fakhr al-Dīn al-Rāzī, Mafātīḥ al-Ghayb (al-Tafsīr al-Kabīr) (Beirut: Dār Iḥyāʼ al-Turāth al-ʿArabī, 1420 H), 11: 320. Teks asal:
أَنَّهَا عَامَّةٌ وَالْمَعْنَى لَا يَحْمِلَنَّكُمْ بُغْضُ قَوْمٍ عَلَى أَنْ تَجُورُوا عَلَيْهِمْ وَتُجَاوِزُوا الحد فيهم، بل اعدلوا فيهم وإن أساؤوا عليكم، وَأَحْسِنُوا إِلَيْهِمْ وَإِنْ بَالَغُوا فِي إِيحَاشِكُمْ، فَهَذَا خِطَابٌ عَامٌّ، وَمَعْنَاهُ أَمَرَ اللَّه تَعَالَى جَمِيعَ الْخَلْقِ بِأَنْ لَا يُعَامِلُوا أَحَدًا إِلَّا عَلَى سَبِيلِ الْعَدْلِ وَالْإِنْصَافِ، وَتَرْكِ الْمَيْلِ وَالظُّلْمِ وَالِاعْتِسَافِ،