اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-63: al-Hadith al-Nazil (النازل)

 

Soalan :

Apakah yang dimaksudkan dengan al-Hadith al-Nazil?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan pertanyaan di atas, pertanyaan tersebut melibatkan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. al-Hadith al-Nazil adalah salah satu daripada jenis atau bahagian hadith yang melibatkan bilangan perawi dalam sanad sesebuah hadith.

 

Definisi dan huraian berkaitan al-Hadith al-Nazil

Al-Nazil dari sudut bahasa bermaksud rendah. Selain itu, ia juga dinamakan sebagai al-Isnad al-Nazil dan lawan bagi al-hadith al-Nazil atau al-Isnad al-Nazil adalah al-hadith al-‘Aliy (العالي) atau al-Isnad al-‘Aliy yang telah kami jelaskan sebelum daripada ini. Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya telah memberi definisi al-hadith al-Nazil seperti berikut:

 

وَضِدُّهُ ذَاكَ الَّذِي قَدْ نَزَلاَ

Maksudnya: “Dan lawan (yang banyak perawinya) baginya (al-Hadith al-‘Aliy) dinamakan [Hadith Nazil]”.

 

Berdasarkan definisi yang diberikan oleh Imam al-Baiquniy, yang dimaksudkan dengan al-Hadith al-Nazil ialah setiap hadith yang mempunyai bilangan perawi banyak. Ini kerana, apabila banyaknya bilangan perawi di dalam sesebuah sanad hadith maka hadith tersebut atau sanad tersebut lebih jauh dengan Nabi SAW. Disebabkan itu, ia dinamakan al-Hadith al-Nazil atau al-Isnad al-Nazil kerana ia jauh daripada Rasulullah SAW. Apabila semakin jauh perawi yang meriwayatkan hadith daripada Rasulullah SAW, maka semakin rendah status hadith tersebut kerana menyebabkan bertambahnya bilangan perawi di dalam sanad dan berkemungkinan besar berlakunya kesilapan dalam periwayatan antara perawi.

 

Bagi mengetahui samada hadith tersebut ia al-Nazil atau tidak, ia juga perlulah dibandingkan dengan hadith yang lain sama seperti kita untuk mengenali al-Hadith al-‘Aliy. Kita tidak boleh hanya melihat pada satu hadith sahaja untuk mengetahui bahawa hadith tersebut adalah al-hadith al-Nazil atau sebaliknya.

 

Oleh sebab itu, kita dapat simpulkan bahawa perbahasan berkaitan al-Hadith al-Nazil dan al-Hadith al-‘Aliy ini tidak melibatkan status sesebuah hadith samada ia sahih atau dhaif. Ini kerana, kadang-kadang hadith yang sanadnya rendah (sanad yang perawinya ramai) boleh menjadi sahih manakala hadith yang sanadnya tinggi (sanad yang perawinya tidak ramai) boleh menjadi dhaif ataupun sebaliknya.

 

Pembahagian al-Hadith al-Nazil atau al-Isnad al-Nazil

Para ulama’ juga berbeza dalam membuat pembahagian terhadap al-hadith al-Nazil ini sebagaimana yang berlaku pada pembahagian al-Hadith al-‘Aliy. Untuk itu, kami memilih pendapat yang mengatakan bahawa Al-Hadith al-Nazil atau al-Isnad al-Nazil terbahagi kepada lima bahagian sama seperti yang kami nyatakan pada pembahagian al-Hadith al-‘Aliy sebelum ini:

 

  • Pertama: al-Hadith al-Nazil atau al-Isnad al-Nazil dengan iktibar bahawa ia jauh dengan Nabi SAW. Bahagian ini dinamakan juga sebagai al-Isnad al-Nazil al-Mutlak.

 

  • Kedua: al-Hadith al-Nazil atau al-Isnad al-Nazil dengan iktibar jauhnya dengan para imam yang mempunyai sifat yang tinggi seperti imam Malik, imam al-Syafie, imam Ahmad dan yang seumpama dengan mereka.

 

  • Ketiga: al-Hadith al-Nazil atau al-Isnad al-Nazil diiktibar jauhnya dengan riwayat al-Syaikhan (al-Bukhari dan Muslim) dan riwayat ashab al-Sunan (al-Tirmizi, Abu Daud, al-Nasaie dan Ibn Majah).

 

  • Keempat: al-Hadith al-Nazil atau al-Isnad al-Nazil disebabkan lewatnya kematian perawi yang meriwayatkan hadith berbanding perawi yang lain di dalam sanad yang lain, walaupun bilangan perawi di dalam sanad hadith tersebut sama.

 

  • Kelima: al-Hadith al-Nazil atau al-Isnad al-Nazil disebabkan perawi tersebut lewat mendengar hadith daripada gurunya berbanding perawi yang lain yang mendengar lebih dulu sebelum daripadanya walaupun ia daripada guru yang sama.

 

Hukum al-Hadith al-Nazil

Hukum al-Hadith al-Nazil boleh menjadi sahih dan boleh juga menjadi dhaif bergantung kepada perawi-perawi yang berada di dalam sanad.

 

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan menambah kefahaman kita dalam ilmu Mustholah Hadith. Amin.