اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-55: Hadith Gharib (الغريب)

 

Soalan :

Apakah yang dimaksudkan dengan Hadith Gharib?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan pertanyaan di atas, pertanyaan tersebut melibatkan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith Gharib adalah salah satu daripada jenis atau bahagian hadith yang melibatkan bilangan perawi sesebuah hadith di dalam peringkat sanad.

 

Definisi Hadith Gharib

Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya telah memberi definisi hadith Gharib seperti berikut:

وَقُلْ غَرِيْبٌ مَا رَوَى رَاوٍ فَقَطْ

Maksudnya: “Katakanlah bahawa [Hadis Gharib] apa (hadith) yang diriwayatkan oleh seorang perawi sahaja”.

 

Menurut definisi yang diberikan oleh Imam al-Baiquniy, hadith Gharib adalah hadith yang diriwayatkan oleh seorang perawi sahaja. Berdasarkan definisi ini, hadith yang diriwayatkan oleh seorang perawi sama ada pada setiap tabaqat sanad ataupun pada sebahagiannya dinamakan hadith Gharib. Untuk itu, definisi Gharib tidak terjejas dengan adanya lebih daripada seorang perawi pada thabaqat-thabaqat yang lain kerana yang diambil kira ialah pada bilangan yang paling minimum dalam peringkat atau thabaqat sanad.

 

Pembahagian hadith Gharib

Para ulama’ telah membahagikan hadith Gharib kepada dua bahagian yang utama:

 

  • Pertama: Gharib Mutlak (مطلق)

Hadith yang menyendiri pada asal sanadnya iaitu hanya seorang sahabat sahaja yang meriwayatkan hadith tersebut dan tidak ada lagi yang meriwayatkan melainkan sahabat tersebut.

 

Contohnya: pada hadith “إنَّما الأعمالُ بالنِّيَّاتِ”.

 

Ulasan: Hadith ini diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab RA secara bersendiri daripada Rasulullah SAW dan tidak ada sahabat lain yang meriwayatkan hadith ini melainkan daripada Umar RA sahaja.

 

  • Kedua: Gharib Nisbi (نسبي)

Hadith yang menyendiri pada sanad berikutnya iaitu selepas daripada peringkat sahabat, bermula daripada peringkat Tabi’in sehinggalah seterusnya. Di mana pada mulanya diriwayatakan oleh lebih daripada seorang perawi, namun di pertengahan sanad terdapat seorang sahaja yang meriwayatkannya.

 

Contohnya: pada hadith “أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللهُ علَيهِ وسلَّمَ دخل مكَّةَ عامَ الفتحِ ، وعلى رأسِه المِغفرُ”.

Ulasan: Hadith ini diriwayatkan oleh Malik bin Anas RA secara bersendiri daripada Imam al-Zuhri RA dan tidak ada perawi lain yang meriwayatkan hadith ini melainkan daripada Malik RA sahaja. Terdapat pembahagian yang lebih terperinci daripada para ulama’ di dalam kitab Mustolah atau Ulum al-Hadith berkaian Gharib Nisbi ini.

 

Hukum Hadith Gharib

Hadith Gharib boleh menjadi sahih, hasan dan juga dhaif berdgantung kepada perawi-perawi yang terdapat di dalam sanad tersebut. Jika yang meriwayatkan itu thiqah dan menepati syarat-syarat penerimaan sesuatu hadith maka ia diterima riwayat tersebut, namun jika sebaliknya maka riwayat tersebut ditolak.

 

Perbezaan antara hadith Gharib dan juga hadith Fard (الفرد)

Para ulama’ berbeza pendapat dalam membezakan antara dua istilah ini, antaranya:

  • Tiada beza antara hadith al-Gharib dan juga hadith al-Fard.

 

  • Al-Fard adalah Gharib Mutlak manakala al-Gharib adalah Gharib Nisbi.

 

  • Al-Fard lebih umum berbanding al-Gharib. Di mana al-Fard disebut secara mutlak kepada ahli sesuatu tempat apabila mereka ini bersendirian dalam meriwayatkan sesebuah hadith daripada sesorang perawi. Adapun al-Gharib hanya disebut secara mutlak pada riwayat iaitu seorang perawi yang bersendirian daripada perawi yang lain dan tidak termasuk sekumpulan atau ahli sesuatu tempat. Contohnya, riwayat ini diriwayatkan hanya oleh ahli Madinah secara bersendiri daripada perawi ini, maka ia dikira sebagai al-Fard.

 

  • Al-Fard hanya disebut pada riwayat yang lemah dan mungkar sahaja, manakala al-Gharib pula boleh menjadi Sahih, Dhaif dan sebagainya.

 

 Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan menambah kefahaman kita dalam ilmu Mustholah Hadith.