اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-9 : APAKAH YANG DIMAKSUD DENGAN PERKATAAN LUKA’ IBN LUKA’ DI DALAM HADITH?

SOALAN:

Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan Luka' Ibn Luka' di dalam hadith?

 

JAWAPAN:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, kami datangkan riwayat hadith daripada Huzaifah bin al-Yaman RA, bahawa Nabi SAW bersabda :

لا تقومُ الساعةُ حتى يكونَ أسْعَدَ الناسِ بالدُنيا ، لُكَعُ ابْنُ لُكَعَ  

Maksudnya : “Tidak akan berlaku Kiamat sehingga orang yang paling bahagia di dunia ini adalah luka’ ibn luka’”.

                                                             

Takhrij al-Hadith :

Riwayat Imam al-Tirmizi di dalam kitab al-Fitan, bab berkaitan tanda-tanda kiamat. No. Hadith : 2130 dan Imam Ahmad di dalam musnad al-Ansar, musnad Huzaifah bin al-Yaman. No. Hadith : 22214. [Hadith ini dinilai hasan oleh Imam al-Tirmizi di dalam jami’nya dan sahih oleh al-Albani di dalam Silsilahnya].

 

Fiqh al-Hadith :

  • Dari sudut bahasa, al-Luka’ membawa dua maksud, yang pertama ialah hina dan yang kedua adalah budak kecil.[ Al-Mu’jam al-Wasith, 889]
  • Luka’ menurut bangsa Arab ialah budak atau hamba, kemudian perkataan ini digunakan untuk menunjukkan kebodohan dan kehinaan, iaitu orang yang hina dan tercela. Kadang-kadang perkataan Luka’ ini juga digunakan untuk anak kecil. Jika perkataan Luka’ ini digunakan untuk orang dewasa maka yang dimaksud adalah orang yang sedikit ilmunya dan kecil akalnya.[ Al-Nihayah Fi Gharib al-Hadith, 4 : 268]
  • Berdasarkan hadith ini, Nabi SAW menceritakan kepada kita akan perihal keadaan dunia di akhir zaman yang akan diperintah oleh orang-orang yang keji dan segala urusan dunia akan diserahkan kepada orang-orang yang bodoh. Mereka ini Allah SWT kurniakan kemewahan, kehidupan yang baik dan kuasa sehingga mereka merasakan bahawa mereka adalah orang paling gembira di dunia ini.[Tuhfah al-Ahwazi, 6 : 375]

Akhirnya, semoga Allah SWT jadikan kita golongan yang berilmu, beramal dengan ilmunya dan juga beriman. Dengan itu, kita sentiasa dipayungi dengan taufiq dan hidayah daripada-Nya.

Wallahua`lam.