اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-261: GANJARAN BULAN REJAB

 

Soalan: Apakah status hadith ini?

 

  • Daripada Salman al-Farisi RA, bahawa dikatakan Nabi SAW pernah bersabda:

 

فِي رَجَبٍ يَوْمٌ وَلَيْلَةٌ مَنْ صَامَ ذَلِكَ الْيَوْمَ ، وَقَامَ تِلْكَ اللَّيْلَةَ كَانَ كَمَنْ صَامَ مِنَ الدَّهْرِ مِائَةَ سَنَةٍ ، وَقَامَ مِائَةَ سَنَةٍ ، وَهُوَ لِثَلاثٍ بَقِينَ مِنْ رَجَبٍ ، وَفِيهِ بُعِثَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Dalam bulan Rejab terdapat hari dan malam yang mana berpuasa pada hari tersebut dan mendirikan malamnya (Qiyamullail) adalah seperti seseorang yang berpuasa setahun selama 100 tahun dan berqiyamullail selama 100 tahun. Hari tersebut adalah 3 hari terakhir daripada bulan Rejab dan padanya juga dibangkitkan Muhammad SAW.”

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Bulan Rejab merupakan salah satu daripada bulan yang istimewa buat umat Islam. Ini kerana, ia termasuk di dalam bulan-bulan Haram sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

  • Daripada Abi Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab Mudhor terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban.” [al-Bukhari (4054)]

 

Syeikh Mustafa al-Bugho mengatakan perkataan Mudhor ini dinisbahkan kepada satu kabilah yang dinamakan Bani Mudhor kerana kabilah ini amat menjaga akan pengharaman bulan tersebut berbanding bulan-bulan lain ketika menta’liqkan hadith ini di dalam Sahih al-Bukhari.

 

Selain itu, Imam al-Hafiz Ibn Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas RA yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan juga adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 130/4]

 

Berdasarkan soalan di atas, riwayat Salman al-Farisi RA tersebut ada diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman dan Fadhail al-Awqat. Akan tetapi, Imam al-Baihaqi menyatakan bahawa sanad hadith tersebut adalah dhaif.

 

Adapun berkaitan status hadith ini adalah munkar sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalni bahawa hadith ini teramat munkar. [Lihat: Tabyin al-‘Ajab, 31] Tambahanpula, Syeikh Ibn Arraq al-Kinani menyatakan di dalam sanad terdapat perawi yang didhaifkan oleh Ibn Ma’in dan . [Lihat: Tanzih al-Syariah, 161/2]

 

Untuk itu, kami katakan bahawa riwayat atau hadith ini adalah tidak sahih dan kita tidak boleh sama sekali untuk menyandarkannya kepada Nabi SAW. Di sini kami nyatakan beberapa pendapat para ulama’ berkaitan kelebihan bulan Rejab, Antaranya ialah:

 

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Tidak ada disebut di dalam hadith yang sahih (yang boleh dibuat hujjah) akan kelebihan bulan Rejab, berpuasa padanya, berpuasa daripadanya disebabkan sesuatu perkara yang tertentu dan solat yang khusus”. [Tabyin al-‘Ajab, 9]

 

Imam al-Syaukani pula berkata: “Tidak ada disebut berkaitan amalan pada bulan Rejab secara khusus di dalam sunnah yang sahih, juga yang hasan dan juga yang dhaif (dhaif ringan). Bahkan, kesemua yang diriwayatkan berkaitannya secara khusus adalah palsu lagi dusta dan teramat dhaif”. [al-Sail al-Jarrar, 297]

 

Imam Ibn Rejab berkata: “Tidak ada yang sahih pada kelebihan berpuasa di bulan Rejab yang khusus daripada Nabi SAW dan juga tidak ada yang khusus daripada sahabat Baginda SAW”. [Faidh al-Qadhir, 210/4]

 

Untuk itu, bulan Rejab tidak mempunyai apa-apa kelebihan yang khusus daripada hadith-hadith yang sahih seperti amal ibadat tertentu. Walaupun begitu, ini tidak menghalang seseorang itu untuk melaksanakan amalan seperti berpuasa, solat sunat, bersedeqah dan lain-lain lagi dengan syarat tidak beri’tiqad (mempercayai) bahawa amalan ini mempunyai kelebihan-kelebihan yang khusus atau tertentu. Ini kerana, ia termasuk atau bulan Rejab termasuk di dalam bulan-bulan haram yang mana diketahui akan kelebihan bulan-bulan haram berbanding bulan-bulan yang lain.

 

  • Kata Abu Bakar al-Warraq:

 

“Bulan Rejab adalah bulan untuk bercucuk tanam, bulan Sya’ban pula adalah bulan untuk menyiram tanaman dan bulan Ramadhan pula adalah bulan untuk memungut hasil.” [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 121/1]

 

Penutup

Sempena kemasukan bulan Rejab ini, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan baik kita dan semoga Allah SWT sentiasa memberi kita taufiq dan hidayah-Nya dalam setiap amalan yang kita lakukan agar ia tidak bercanggah dengan al-Quran dan juga sunnah Rasulullah SAW. Amin.

 

Wallahua’lam