اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-339: ABU AL-SYA’THA’ JABIR BIN ZAID

jabir bin zaid.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Boleh terangkan kepada kami, siapakah Abu al-Sya’tha’ Jabir bin Zaid?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Beliau ialah Abu al-Sya’tha’ (أَبُو الشَّعْثَاء) Jabir bin Zaid al-Azdiy al-Yahmadiy (Lihat Siyar A’lam al-Nubala, 8/39) Beliau lahir di Oman pada tahun 21 Hijrah bersamaan 642 Masihi.

Para penulis riwayat hidupnya mengakui bahawa beliau seorang yang sangat alim, wara’, dan zuhud. Abu Nu’aim Al-Asfahani menyebut: Beliau adalah seorang yang sangat mencintai dan memperhatikan keilmuan, tekun dalam beribadah, dekat kepada Allah SWT, dan menjauhkan diri dari manusia. Beliau termasuk dalam golongan Tabi’in yang pertama. Beliau tinggal di Basrah, Iraq dan termasuk daripada ahli feqah dan ahli hadith di sana. (Lihat Hilyah al-Auliya’, 3/86)

Ibnu Abbas sendiri mengenalinya serta mengakui kedudukannya. Suatu ketika penduduk Basrah bertanya suatu soalan, lantas beliau berkata: “Kenapa kamu semua bertanya kepadaku? Bukankah ada Jabir bin Zaid di tengah-tengah kamu?" (Lihat Hilyah al-Auliya’, 3/86)

Imam al-Zahabi menyebut: Beliau adalah ulama Ahli Basrah pada zamannya. Setanding dengan al-Hasan al-Basri, dan Ibn Sirin. Beliau termasuk di kalangan murid kanan Ibn Abbas RA. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 8/39) Beliau adalah imam, faqih, muhaddith. (Lihat Tazkirah al-Huffaz, 1/72 dan Tahzib al-Kamal, 4/434)

Imam al-Bukhari Rahimahullah menyebut dalam kitabnya, al-Tarikh al-Kabir: Jabir bin Zaid berkata: Aku telah bertemu dengan Ibn Umar lantas beliau berkata: Hai Jabir, sesungguhnya kamu termasuk di kalangan fuqaha’ ahli Basrah dan kamu akan diminta fatwa. Maka jangan kamu berfatwa kecuali dengan Kitab atau Sunnah. (Lihat al-Tarikh al-Kabir, 2/204)

Ibn Abbas R.A berkata: Sekiranya penduduk Basrah berpegang kepada pendapat Jabir bin Zaid, nescaya memadai mereka dengan ilmu apa yang terdapat dalam Kitab Allah. (Lihat al-Tarikh al-Kabir, 2/204; Hilyah al-Auliya’, 2/58; Tazkirah al-Huffaz, 1/72; Tahzib al-Kamal, 4/436; al-Tabaqat al-Kubra, 7/179)

Ibn Sa’d menyebut dalam al-Tabaqat al-Kubra (7/179): “Daripada Iyas ibn Mu’awiyah, beliau berkata: Aku sampai di Basrah dan mendapati Mufti mereka ialah seorang lelaki daripada penduduk Oman[1] iaitu Jabir bin Zaid.”

Imam al-Nawawi pula berkata: Jabir bin Zaid al-Tabi’iy telah mengambil ilmu daripada Ibn Abbas dan Ibn Umar. Para ulama sepakat tentang thiqah dan mulianya dia. Jabir bin Zaid termasuk dalam kalangan ulama’ tabi’in dan fuqaha’. Beliau mempunyai mazhab yang tersendiri daripada yang lain. (Lihat Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 1/141-142)

Ibn Kathir menyebut dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah: Abu al-Sya’tha’ adalah daripada mereka yang diberi ilmu. Beliau memberi fatwa di Basrah. Sahabat seperti Jabir bin Abdillah apabila ditanya tentang sesuatu masalah oleh penduduk Basrah, beliau menjawab: “Bagaimana kamu bertanya pada kami sedangkan kamu mempunyai Abu al-Sya’tha’?”

Amr bin Dinar berkata: “Aku tidak pernah melihat seorang yang lebih alim berfatwa daripada Jabir bin Zaid.”

Ketika pengebumian Jabir bin Zaid, Qatadah memujinya: “Pada hari ini dikebumikan orang yang paling alim dari kalangan penduduk bumi.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/94)

Terdapat beberapa perbezaan pendapat berkenaan tahun wafatnya. Namun menurut riwayat yang lebih kuat, beliau wafat pada tahun 96 Hijrah bersamaan 715 Masihi.

Nota Hujung:

[1] Oman ialah sebuah negara yang terletak di Semenanjung Arab atau Jazirah Arab di bahagian tenggara, Asia bahagian barat daya. Oman bersempadan dengan Emiriah Arab Bersatu yang terletak di sebelah barat laut, Arab Saudi di barat, dan Yaman di barat daya. Ibu negaranya pada masa sekarang adalah Muscat, Oman.