اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-475: HUKUM MERINGKASKAN TEKS HADITH

 

ih475_15291523.png

 

Soalan: Bolehkah meringkaskan teks hadith tanpa membaca matannya yang penuh?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Hadith atau sunnah merupakan sumber kedua di dalam syariat Islam. Untuk itu, mempelajari ilmu-ilmu berkaitan hadith ini merupakan satu tuntutan kerana tanpanya kita tidak dapat memahami hadith Nabi SAW dengan baik. Selain itu juga, ilmu mustholah hadith termasuk di dalam salah cabang daripada ilmu hadith. Di dalam ilmu mustolah hadith, kebiasaannya akan dimuatkan satu bab iaitu ikhtisar al-Hadith atau Taqti’ al-Hadith yang bermaksud meriwayatkan atau melafazkan sebahagian sahaja daripada teks hadith yang asal.

Berbalik kepada persoalan di atas, jumhur ulama menyatakan keharusan (dibolehkan) untuk meringkaskan dalam periwayatan hadith dengan satu syarat iaitu dengan tidak mengubah makna asal hadith. Hal ini dipersetujui oleh Dr. Sharaf al-Qudhoh di dalam kitabnya al-Minhaj al-Hadith. [Lihat: al-Minhaj al-Hadith, 59]

Tambahan pula, antara contoh dalam meringkaskan teks hadith sehingga tidak difahami atau merubah makna hadith tersebut adalah apabila seseorang itu membaca hadith ini:

  • Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku (Rasulullah SAW) lebihlah kamu sayang daripada orang tuanya, anaknya dan manusia keseluruhannya.” [Riwayat al-Bukhari (15)]

 

Lalu dia berhenti pada perkataan “لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ” yang bermaksud “tidak sempurna iman seseorang kamu” dan dia tidak menyambungnya lagi, maka dia telah melanggar syarat yang ditetapkan oleh para ulama dalam meringkaskan periwayatan hadith kerana hadith yang diringkaskan olehnya itu tidak dapat difahami.

 

Antara ulama yang banyak menggunakan metod meringkaskan teks hadith adalah Imam al-Bukhari di dalam kitab sahihnya. Imam al-Bukhari akan meringkaskan teks hadith yang pada asalnya panjang kepada teks hadith yang diingininya sahaja. Metod ini berbeza dengan Imam Muslim di dalam kitabnya sahihnya kerana Imam Muslim akan meriwayatkan teks yang penuh tanpa meringkaskannya. Metod al-Bukhari ini dikhabarkan sendiri oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya ketika mensyarahkan hadith-hadith di dalam Sahih al-Bukhari:

 

أَنَّ الْبُخَارِيَّ يَذْهَبُ إِلَى جَوَازِ تَقْطِيعِ الْحَدِيثِ إِذَا كَانَ مَا يَفْصِلُهُ مِنْهُ لايتعلق بِمَا قَبْلَهُ وَلَا بِمَا بَعْدَهُ تَعَلُّقًا يُفْضِي إِلَى فَسَادِ الْمَعْنَى

Maksudnya: “Adapun Imam al-Bukhari cenderung kepada kebolehan meringkaskan hadith sekiranya apa yang dipisahkan itu tidak mempunyai kaitan dengan sebelumnya atau selepasnya yang mana kaitan itu boleh membawa kepada rosaknya makna.” [Lihat: Fath al-Bari, 1/84]

 

Penutup

Kesimpulannya, dibolehkan atau dibenarkan untuk meringkaskan dalam periwayatan hadith dengan syarat ia tidak mengubah makna asal hadith dan hadith tersebut boleh difahami. Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat serta menambah kefahaman kita di dalam ilmu hadith. Amin.

 

Wallahua’lam