اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-492: PERNAHKAH RASULULLAH SAW MERIWAYATKAN BERITA DARIPADA SAHABAT

irsyad hadith 492

Soalan:

Benarkah Rasulullah SAW pernah meriwayatkan sebarang berita atau perkhabaran daripada sahabat Baginda?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Para ulama hadith telah meletakkan satu bab di dalam ilmu hadith, iaitu bab mengenali riwayah al-akabir ‘an al-asoghir (رواية الأكابر عن الأصاغر), iaitu riwayat seorang tokoh besar daripada tokoh yang lebih kecil. Menurut Syeikh Ahmad Syakir, salah satu jenis riwayat dalam kategori ini ialah riwayat Rasulullah SAW sendiri daripada sahabat Baginda. (Rujuk al-Ba’ith al-Hahith Syarh Ikhtisar ‘Ulum al-Hadith, hlm. 387)

Menurut Imam Ibn al-Mulaqqin al-Syafi’e, riwayah al-akabir ‘an al-asoghir ini turut dikenali dengan nama riwayah al-fadhil ‘an al-mafdhul (riwayat orang yang lebih utama daripada yang kurang utama) dan riwayah al-syeikh ‘an al-tilmiz (riwayat guru daripada murid). Antara contohnya ialah riwayat al-Zuhri, Yahya bin Sa’id dan Rabi’ah daripada Imam Malik.  (Rujuk al-Tazkirah fi ‘Ulum al-Hadith hlm. 23-24)

Menurut Imam Mulla ‘Ali al-Qari, antara hikmah di sebalik wujudnya kategori riwayat guru daripada murid atau tokoh besar daripada tokoh kecil ini ialah sebagai satu bentuk bantahan terhadap orang jahil yang sombong dan enggan mengambil ilmu daripada mereka yang lebih rendah martabatnya atau yang kurang dikenali. Allah SWT berfirman:

سَأَصْرِفُ عَنْ آيَاتِيَ الَّذِينَ يَتَكَبَّرُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ

Maksudnya: Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu);

Surah al-A’raf (146)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda:

الْكَلِمَةُ الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ فَحَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا

Maksudnya: Hikmah kebijaksanaan merupakan harta yang hilang milik orang mu’min; di mana saja dia dapatinya, maka dialah yang paling berhak ke atasnya.

Jami’ al-Tirmizi (2687)

Saidina Ali Karramallahu Wajhah juga pernah berkata: Lihatlah kepada apa yang diucapkan, bukannya kepada siapa yang mengucapkannya. (Rujuk Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih 8/3471)

 

Rasulullah SAW meriwayatkan daripada sahabat

Tsabit dalam hadith bahawa Rasulullah SAW telah menerima perkhabaran daripada salah seorang sahabat Baginda, iaitu Tamim al-Dari tentang pengalamannya bertemu Dajjal. Sabda Baginda SAW:

إِنِّي وَاللَّهِ مَا جَمَعْتُكُمْ لِرَغْبَةٍ وَلاَ لِرَهْبَةٍ ، وَلَكِنْ جَمَعْتُكُمْ ، لأَنَّ تَمِيمًا الدَّارِيَّ كَانَ رَجُلاً نَصْرَانِيًّا ، فَجَاءَ فَبَايَعَ وَأَسْلَمَ ، وَحَدَّثَنِي حَدِيثًا وَافَقَ الَّذِي كُنْتُ أُحَدِّثُكُمْ عَنْ مَسِيحِ الدَّجَّالِ ، حَدَّثَنِي أَنَّهُ رَكِبَ فِي سَفِينَةٍ بَحْرِيَّةٍ ، مَعَ ثَلاَثِينَ رَجُلاً مِنْ لَخْمٍ وَجُذَامَ ، فَلَعِبَ بِهِمِ الْمَوْجُ شَهْرًا فِي الْبَحْرِ، ثُمَّ أَرْفَؤُوا إِلَى جَزِيرَةٍ فِي الْبَحْرِ حَتَّى مَغْرِبِ الشَّمْسِ ، فَجَلَسُوا فِي أَقْرُبِ السَّفِينَةِ فَدَخَلُوا الْجَزِيرَةَ إلخ...

Maksudnya: “Sesungguhnya demi Allah, aku tidak menghimpunkan kalian untuk memberitahu berita tergempar atau mengkhabarkan khabar gembira; aku menghimpunkan kalian kerana Tamim al-Dari, seorang lelaki Nasrani telah datang kepadaku, berbai’ah dan memeluk Islam, dan dia menceritakan kepadaku suatu kisah yang menepati apa yang telah aku sampaikan kepada kamu berkenaan Masih al-Dajjal. Dia menceritakan bahawa dia belayar bersama 30 orang dari Kabilah Lakham dan Juzam dengan sebuah kapal laut. Kemudian mereka terumbang-ambing oleh ombak selama satu bulan. Hingga mereka terdampar di sebuah pulau di tengah laut di kawasan tempat terbenamnya matahari. Lalu mereka berehat di suatu tempat yang dekat dengan kapal. Kemudian, mereka masuk ke pulau tersebut...” (hingga ke akhir hadith)

Sahih Muslim (7496)

Menurut Imam al-Nawawi, hadith ini dinamakan sebagai hadith al-jassasah, dan riwayat ini merupakan satu kelebihan dan kemuliaan kepada Tamim, dan ia termasuk di bawah kategori riwayah al-akabir ‘an al-asoghir. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim 1/142)[1]

Selain itu, terdapat juga sebahagian ulama yang menambah riwayat Rasulullah SAW daripada sahabat Baginda selain daripada kisah Tamim al-Dari. Imam Ibn Hajar al-Asqalani dan Imam Jalaluddin al-Suyuti menyebut bahawa dalam riwayat oleh Abu ‘Abdillah Ibn Mandah, Rasulullah SAW ada mengutus surat kepada Zur’ah bin Saif bin Dzi Yazan, antara lain kandungannya menyebut:

وَأَنَّ مَالِكَ بْنَ مُزَرِّدٍ الرُّهَاوِيَّ قَدْ حَدَّثَنِي أَنَّكَ أَسْلَمْتَ وَقَاتَلْتَ الْمُشْرِكِينَ فَأَبْشِرْ

Maksudnya: Sesungguhnya Malik bin Muzarrid al-Ruhawi telah menyampaikan kepadaku berita bahawa engkau (Zur'ah) telah memeluk Islam dan berperang memerangi golongan Musyrikin, maka bergembiralah!

Isi kandungan surat ini turut diriwayatkan oleh Imam Abu Nu’aim al-Asbahani dan Ibn Hisyam dalam sirahnya. Melalui surat ini, difahami bahawa Rasulullah SAW menerima perkhabaran daripada sahabat Baginda iaitu Malik bin Muzarrid berkenaan pengislaman Zur’ah bin Saif yang tinggal di Himyar, Yaman. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari 12/46, Tadrib al-Rawi fi Syarh Taqrib al-Nawawi 2/712, Ma’rifah al-Sohabah oleh Imam Abu Nu’aim al-Asbahani 3/1233 dan Sirah Ibn Hisyam 2/590)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa sememangnya Rasulullah SAW pernah menerima dan menyampaikan riwayat serta perkhabaran daripada sahabat Baginda, iaitu perkhabaran daripada Tamim al-Dari yang bertemu dengan Dajjal sewaktu sedang berkelana, serta perkhabaran yang diterima daripada Malik bin Muzarrid tentang pemelukan Islam salah seorang sahabat Baginda iaitu Zur’ah bin Saif.

Wallahu a’lam.

 

Nota kaki:

[1] Untuk perbahasan lanjut berkenaan Dajjal, rujuk artikel kami bertajuk BAYAN LINNAS SIRI KE-161: DAJJAL: HAKIKAT DAN TANDA AKHIR ZAMAN pada pautan https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/2989-bayan-linnas-siri-ke-161-dajjal-hakikat-dan-tanda-akhir-zaman