اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 518: STATUS HADITH "BERBUAT BAIKLAH KEPADA AHLI KELUARGA"

1.PNG

Soalan

“Daripada ‘Aisyah R.A beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku, apabila sahabat kalian meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia dan jangan berbicara tentang keburukannya).”

Salam, benarkah hadis di atas?

Ringkasan Jawapan

Setelah dilakukan penelitian, status hadith tersebut adalah sahih. Maka, Islam menyeru umatnya untuk sentiasa berbuat baik kepada ahli keluarga serta selainnya. Kebaikan tersebut akan lebih indah jika dilakukan sesuai kemampuan dan tidak memudaratkan diri sendiri.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Merujuk kepada soalan di atas, hadith tersebut merupakan riwayat al-Tirmidhi dalam sunannya. Diriwayatkan daripada Saidatina ‘Aisyah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda,

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي، وَإِذَا مَاتَ صَاحِبُكُمْ فَدَعُوهُ

Maksudnya: Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Dan apabila salah seorang daripada ahli keluarga kalian meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia dan jangan berbicara tentang keburukannya). [1]

Riwayat al-Tirmidhi (3895)

Hadith ini turut diriwayatkan oleh Abu Daud dalam sunannya, bab Fi al-Nahy ‘an Sabb al-Mauta, hadith no. 4899 dengan matan sedikit berbeza {إِذَا مَاتَ صَاحِبُكُمْ فَدَعُوهُ، وَلَا تَقَعُوا فِيهِ}. [2] al-Darimi dalam sunannya, bab Fi Husn Ma’asyirah al-Nisa’, hadith no. 2306 dengan perbezaan matan tanpa lafaz {وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي}. [3] Ibn Hibban turut meriwayatkan dalam sahihnya, bab Zikr Istihbab al-Iqtida’ bi al-Mustafa SAW, hadith no. 4177. [4] Bahkan hadith ini diriwayatkan oleh ramai lagi daripada kalangan muhaddithin.

Menurut al-Tirmidhi, hadith ini adalah Hasan Sahih. [5] Maka, ia amat wajar diamalkan dan disebarkan. Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh al-Tirmidhi dalam al-‘Ilal al-Saghir bahawa,

جَمِيع مَا فِي هَذَا الْكتاب من الحَدِيث فَهُوَ مَعْمُول بِهِ وَقد أخد بِهِ بعض أهل الْعلم مَا خلا حديثين حَدِيث بن عَبَّاس أَن النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم جمع بَين الظّهْر وَالْعصر بِالْمَدِينَةِ وَالْمغْرب وَالْعشَاء من غير خوف وَلَا سفر وَلَا مطر وَحَدِيث النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم أَنه قَالَ إِذا شرب الْخمر فاجلدوه فَإِن عَاد فِي الرَّابِعَة فَاقْتُلُوهُ وَقد بَينا عِلّة الْحَدِيثين جَمِيعًا فِي الْكتاب قَالَ وَمَا ذكرنَا فِي هَذَا الْكتاب من اخْتِيَار الْفُقَهَاء

Maksudnya: Setiap Hadith di dalam kitab ini kesemuanya diamalkan, sebahagian ulama telah menjadikan hadith-hadith tersebut sebagai sandaran, melainkan dua hadith iaitu hadith Ibn ‘Abbas bahawa Nabi SAW menjamakkan di antara solat zohor dan asar di Madinah, dan juga (menjama’kan) maghrib dan isyak tanpa suasana ketakutan, musafir dan hujan dan hadith “Bahawa Nabi SAW sesungguhnya baginda bersabda: Apabila seseorang meminum arak maka sebatlah ia, sekiranya dia mengulanginya buat kali keempat maka bunuhlah ia. Kami telah menjelaskan ‘illah (kecacatan) bagi kedua-dua hadith tersebut di dalam kitab ini. Dan kami menyebutkan dalam kitab ini pandangan para fuqaha’. [6]

Kesimpulan

Hadith tersebut adalah sahih. Tidak dinafikan kandungan hadith tersebut menyeru kita untuk sentiasa melakukan kebaikan kepada ahli keluarga. Wallahua’lam.

Rujukan

[1] Muhammad bin ‘Isa bin Saurah al-Tirmidhi, Sunan al-Tirmidhi, ed. Ibrahim ‘Athauwah (Mesir: Matba’ah Mustafa al-Babi al-Halabi, 1975), 5/709.

[2] Abu Daud Sulaiman bin al-Asy’at, Sunan Abi Daud, ed. Muhammad Muhy al-Din ‘Abd al-Hamid (Beirut: al-Maktabah al-‘Asriyyah, t.t), 4/275.

[3] ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Rahman al-Darimi, Musnad al-Darimi, ed. Husain Salim Asad al-Darani (al-Mamlakah al-‘Arabiyyah al-Sa’udiyyah: Dar al-Mughni, 2000), 3/1451.

[4] Muhammad bin Hibban, Sahih Ibn Hibban bi Tartib Ibn Bilban, ed. Syu’aib al-Arna’ut (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 1993), 9/484.

[5] Muhammad bin ‘Isa bin Saurah al-Tirmidhi, Sunan al-Tirmidhi, ed. Ibrahim ‘Athauwah, 5/709.

[6] Muhammad bin ‘Isa bin Saurah al-Tirmidhi, al-‘Ilal al-Saghir, ed. Ahmad Muhammad Syakir (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, t.t), 1/736.