اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 534 : STATUS HADIS BERKENAAN KELEBIHAN DAUN SANNA

POSTER_HADIS.PNG

 

Soalan

Sekarang terdapat ramai yang menjual teh sanna. Bolehkah terangkan status hadis tersebut mengenai sanna dan sannut serta syubrum?

Rinkasan Jawapan

Terdapat pelbagai jalur riwayat hadis berkenaan kelebihan daun Sanna dan sanut. Antara hadis tersebut ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn majah daripada Ibn Ummi Haram:

عَلَيْكُمْ بِالسَّنَى وَالسَّنُّوتِ فَإِنَّ فِيهِمَا شِفَاءً مِنْ كُلِّ دَاءٍ إِلاَّ السَّامَ. قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا السَّامُ قَالَ : الْمَوْتُ

Maksudnya: “Hendaklah kamu melazimi daun Sanna dan madu sesungguhnya pada keduanya itu kesembuhan dari segala jenis penyakit kecuali sam”, lalu Baginda ditanya: “Apakah makna sam”? Baginda S.A.W. bersabda: “Sam itu ialah kematian”. (Riwayat Ibn Majah: 3584)

Hadis ini dinilai sahih berdasarkan jalur riwayat Ibn Abi Asim seperti yang disebutkan oleh al-Mizzi dalam Tuhfah al-Asyraf di samping terdapat pelbagai riwayat yang menyokong berkenaan kelebihan daun Sanna. Al-Suyuti juga dalam al-Jami’ al-Saghir menilai hadis ini sebagai sahih.

Walau bagaimanapun orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa merujuk kepada pakar perubatan berkenaan penyakit yang dihadapi di samping beramal dengan anjuran-anjuran Nabi S.A.W. berkenaan ubatan serta meyakini kebenaran hadis-hadis dari baginda Nabi S.A.W.

 

Huraian Jawapan

Terdapat pelbagai jalur riwayat yang menceritakan berkenaan kelebihan daun Sanna.

  • Riwayat Ibn Majah, beliau meriwayatkan dalam sunannya sebuah hadis daripada Ibn Ummi Haram:

عَلَيْكُمْ بِالسَّنَى وَالسَّنُّوتِ فَإِنَّ فِيهِمَا شِفَاءً مِنْ كُلِّ دَاءٍ إِلاَّ السَّامَ. قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا السَّامُ قَالَ : الْمَوْتُ

Maksudnya: “Hendaklah kamu melazimi daun Sanna dan madu sesungguhnya pada keduanya itu kesembuhan dari segala jenis penyakit kecuali sam”, lalu Baginda ditanya: “Apakah makna sam”? Baginda S.A.W. bersabda: “Sam itu ialah kematian”. (Riwayat Ibn Majah: 3584)

Riwayat ini dinilai sahih oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak. Walau bagaimanapun al-Zahabi mengkritik penilaian ini kerana terdapat seorang perawi bernama ‘Amr bin Bakr al-Saksaki. Beliau dikritik oleh Ibn Hibban dalam kitabnya al-Majruhin dan menurut Ibn Adi beliau memiliki riwayat-riwayat mungkar. (Rujuk Talkhis Istidrak al-Zahabi Ala al-Mustadrak, 2/2750) berdasarkan kenyataan Imam al-zahabi riwayat Ibn Majah ini dianggap daif jiddan.

  • Riwayat al-Tirmizi, Imam al-Tirmizi meriwayatkan bahawa Asma’ binti Umais ditanya oleh Rasulullah S.A.W.: “Dengan apa kamu melegakan perutmu?” lalu Asma’ menjawab: “Dengan Syubrum”. Baginda bersabda: “Syubrum itu suatu yang bersifat sangat panas” kata Asma’: “kemudian aku menyucikan perutku dengan daun Sanna.” Nabi S.A.W. bersabda:

لَوْ أَنَّ شَيْئًا كَانَ فِيهِ شِفَاءٌ مِنْ الْمَوْتِ لَكَانَ فِي السَّنَا

Maksudnya: Jika ada suatu ubat yang boleh menyembuhkan dari kematian sudah tentu ia adalah daun Sanna. (Riwayat al-Tirmizi: 2007)

Riwayat ini dinilai hasan gharib oleh Imam al-Tirmizi namun menurut Ibn Hajar al-Asqalani riwayat ini memiliki sanad yang terputus (Munqoti’) kerana Utbah bin Abdullah atau nama lainya Zura’h bin Abd al-Rahman dalam riwayat ini tidak meriwayatkan dari maula Ma’mar sebagaimana dalam riwayat Ibn Majah. Imam Ibn Hajar berkata dalam Tahzib al-Tahzib:

فرواية الترمذي منقطعة لسقوط المولى منها

Maksudnya: Riwayat Tirmizi dianggap terputus kerana gugurnya seorang perawi bernama Maula Ma’mar. (Rujuk Tahzib al-Tahzib: 7/98)

Walau bagaimanapun Imam al-Hakim turut meriwayatkan daripada jalur Abu Ja’far bin Muhammad al-Baghdadi sebagaimana lafaz riwayat al-Tirmizi dan riwayat ini dinilai sahih oleh al-Hakim serta dipersetujui oleh al-Zahabi berdasarkan syawahid (sokongan) dari riwayat-riwayat yang lain. (Rujuk al-Mustadrak Ala al-Sohihain: 4/223)

  • Mu’jam al-Kabir, Imam al-Tabrani meriwayatkan bahawa Ummu Salamah ditanya oleh baginda Nabi S.A.W.: “Mengapa aku melihat kamu dalam keadaan keletihan tidak bermaya?” lalu jawab Asma’: “Aku minum ubat untuk melegakan perut” baginda bertanya: “Apakah ubat itu?” Asma’ menjawab: “Syubrum” lalu Baginda S.A.W. bersabda:

فَإِنَّهُ حَارٌّ يَارٌّ عَلَيْكَ بِالسَنَا وَالسَنُوْتِ فَإِنَّ فِيهِمَا دَوَاءً مِنْ كُلِّ شَيْءٍ إِلَّا السَامَ

Maksudnya: Sesungguhnya Syubrum itu suatu ubat yang bersangatan panas. Hendaklah kamu menggunakan daun Sanna dan madu sesungguhnya keduanya itu merupakan ubat bagi segala penyakit kecuali mati.  (Riwayat Tabrani: 952)

Al-Haithami dalam komentarnya terhadap riwayat ini menyebutkan:

رواه الطبراني من طريق ركيح بن أبي عبيدة عن أبيه عن أمه ولم أعرفهم

Maksudnya: Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tabrani daripada jalur Ruqaih bin Ubaidah dari bapanya dari ibunya dan aku tidak mengenali mereka. (Rujuk Majma’ al-Zawaid: 5/148)

  • Al-Jami’ al-Soghir, Imam al-Suyuthi menyebutkan bahawa Anas bin Malik meriwayatkan:

ثَلَاثٌ فِيْهِنَّ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ إِلَا السَامَ : السِنَا وَالسَنُوْتُ

Maksudnya: Tiga perkara yang boleh menyembuhkan segala penyakit kecuali mati iaitu daun Sanna, madu (dan perawi terlupa perkara yang ketiga). (Rujuk al-Jami’ al-Saghir: 1/311, hadis no 3464)

Al-Suyuti menilai hadis ini sebagai sahih.

Kesimpulan Status Hadis:

Antara riwayat-riwayat yang telah disebutkan Riwayat Ibn Majah adalah yang memiliki kekuatan dari sudut sanad. Ini kerana sekalipun terdapat perawi yang lemah bernama ‘Amr bin Bakr al-Saksaki namun ia dikuatkan dengan jalur yang lain seperti yang terdapat dalam Tuhfah al-Asyraf iaitu Ibn Abi al-Asim meriwayatkan dari Ibrahim bin Muhammad al-Faryabi daripada Abd al-Rahman al-Ansori daripada Ibrahim bin Abi Ablah. Ibn Hibban menyebutkan Abd al-Rahman al-Ansori dalam al-Thiqat dan beliau menilai Abd al-Rahman sebagai: “baik dalam meriwayatkan hadis”. Oleh itu riwayat Ibn Majah dianggap sebagai sahih berdasarkan riwayat-riwayat penyokong yang banyak. Al-Suyuti sendiri dalam al-Jami al-Saghir turut menilai hadis ini sebagai sahih.

Kefahaman Hadis:

Syubrum menurut al-Jazari dalam al-Nihayah ialah sejenis tumbuhan yang bebentuk bijian seperti kacang kuda. Ia dimasak dan kemudian airnya diminum untuk tujuan perubatan. (Rujuk al-Nihayah Fi Gharib al-Hadis: 2/395). Ubatan ini tidak digalakkan oleh pakar perubatan kerana kesan-kesan sampingannya. (Rujuk Tuhfah al-Ahwazi: 6/212)

Manakala daun Sanna menurut Ibn Qayim ialah suatu tumbuhan di tanah hijaz dan memiliki kurang kesan sampingan. Kawasan yang terbaik untuk tumbuhan ini ialah Mekah. Tumbuhan ini memiliki pelbagai kelebihan antaranya:

  • Menghilangkan penyakit kuning
  • Menguatkan jantung
  • Melegakan sakit kepala
  • Menghilangkan gatal-gatal.

Menurut beliau lagi meminum air daun Sanna dengan di rebus lebih baik berbanding minum dengan dihancurkan daun tersebut. (Rujuk Zad al-Maad: 4/6970)

Berkenaan sanut terdapat perbezaan pandangan dikalangan para ulama berkenaan dengan maksudnya. Ibn al-Qayyim dalam Zad al-Maad menyebutkan 8 pengertian bagi sanut yang antaranya ialah:

  • Madu
  • Kurma
  • Jintan Putih
  • Pokok Adas

(Rujuk juga Faid al-Qadir: 3/401)

Hadis-hadis yang disebutkan di atas termasuk dalam perbincangan al-Tibb al-Nabawi. Allah S.W.T. tidak hanya menjadikan penyakit bahkan Allah S.W.T. juga mencipta penawarnya. Dalam sebuah hadis Nabi S.A.W. bersabda:

لِكُلِّ داءٍ دواءٌ، فإذا أُصيبَ دواءُ الدَّاءِ برأَ، بإذنِ اللَّهِ

Maksudnya: Bagi tiap-tiap penyakit itu ada ubatnya. Jika berbetulan antara ubat dan penyakitnya nescaya penyakit tersebut akan sembuh dengan izin Allah S.W.T.

Perlu dingatkan supaya orang ramai sentiasa merujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang perubatan berkenaan ubatan yang sesuai. Kerana setiap penyakit terdapat ubat yang berbeza-beza mengikut kesesuaian. Disamping itu umat Islam juga dituntut untuk beramal dengan ubatan yang dianjurkan oleh baginda Nabi S.A.W. sebagai ikhtiar untuk kesembuhan serta meyakini akan kebenaran hadis-hadis Nabi S.A.W. 

Rujukan

Al-Hakim.  Mustadrak Ala Sohihain. Dar al-Kitab al-Ilmiah.

Al-Haithami. 2015. Majma’ al-Zawaid. Dar al-Minhaj.

Al-Mizzi. 1999. Tuhfah al-Asyraf Fi Ma’rifah al-Atraf. Dar al-Gharb al-Islami.

Al-Mubarakfuri. Tuhfah al-Ahwazi. Dar al-Fikr.

Al-Munawi. 1971. Faid al-Qadir Syarh al-jami’ al-Soghir. Dar al-Makrifah.

Al-Suyuthi. al-Jami’ al-Soghir. Dar al-Fikr.

Al-Zahabi. 2021. Talkhis Istidrak al-Zahabi Ala al-Mustadrak. Dar al-Asimah.

Ibn al-Athir. 1963. al-Nihayah Fi Gharib al-Hadis. Al-Halabi.

Ibn al-Jauzi. 2009. Zad al-Maad Fi Hady Khair al-Ibad. Muasasah al-Risalah.

Ibn Hajar al-Asqalani. 1993. Tahzib al-Tahzib. Dar al-Kitab al-Islami.

Ibn Hibban. 1973. al-Thiqat. Majlis Dairah al-Maarif al-Usmaniyyah.