اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 559: PENJELASAN BERKENAAN LARANGAN MENJUAL TANAH DALAM HADITH SAHIH MUSLIM

tanah.png

 

Soalan

Adakah orang yang menjual tanah campuran termasuk dalam larangan hadith ini?

نَهَى رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ عن بَيْعِ ضِرَابِ الجَمَلِ، وَعَنْ بَيْعِ المَاءِ وَالأرْضِ لِتُحْرَثَ، فَعَنْ ذلكَ نَهَى النبيُّ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ

Mohon penjelasan SS Datuk.

Ringkasan Jawapan

Setiap individu yang melakukan perniagaan menjual tanah campuran, tanah organik dan seumpama dengannya tidak termasuk dalam larangan hadis tersebut. Hal ini kerana, umumnya hadis tersebut menceritakan berkenaan larangan Rasulullah SAW terhadap jual beli sperma unta, air dan tanah untuk pertanian. Manakala, larangan menjual tanah yang dimaksudkan dalam hadis ialah merujuk kepada pemilik tanah yang mencagarkan kepada orang lain atau disebut sebagai pengusaha lalu ditetapkan syarat sebahagian hasil tanah tersebut mesti diberikan kepada tuan pemilik tanah.

Huraian Jawapan

Hadis ini merupakan riwayat Imam Muslim dalam Sahih Muslim, lafaznya seperti berikut:

Abu al-Zubair mendengar bahawa Jabir bin Abdullah berkata:

نَهَى رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ عن بَيْعِ ضِرَابِ الجَمَلِ، وَعَنْ بَيْعِ المَاءِ وَالأرْضِ لِتُحْرَثَ، فَعَنْ ذلكَ نَهَى النبيُّ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ

Maksudnya: Rasulullah SAW melarang menjual sperma unta, air dan tanah yang digunakan untuk diusahakan. Maka Nabi SAW melarang perkara tersebut.[1]

(Riwayat Muslim)

Umumnya, hadis ini menyebutkan tentang larangan Rasulullah SAW terhadap jual beli sperma unta, air dan tanah untuk pertanian. Terkait larangan menjual tanah dalam hadis merujuk kepada pemilik tanah yang mencagarkan kepada orang lain atau disebut sebagai pengusaha lalu ditetapkan syarat sebahagian hasil tanah tersebut mesti diberikan kepada tuan pemilik tanah.

Perkara ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa larangan menjual tanah untuk diusahakan dalam hadis tersebut merujuk kepada larangan tuan pemilik tanah untuk menyewakan tanahnya bagi tujuan bercucuk tanam serta dia mendapat sebahagian daripada hasil tanah yang disewakannya. Hal ini kerana jumhur ulama mengharuskan mencagarkan tanah dengan dirham, pakaian dan seumpamanya.[2]

Larangan tersebut berlaku kerana ia termasuk dalam salah satu bentuk gharar(penipuan). Hujahnya ialah boleh jadi hasil yang diberikan kepada pemilik tanah adalah elok dan bakinya adalah rosak.[3] Syeikh Nuh bin Salman telah menjelaskan hukum keharusan sewa tanah untuk tujuan yang baik asalkan bebas dari unsur gharar, kata beliau:

يجوز استئجار الأرض للزراعة والبناء وغيرهما من المنافع المشروعة، إذا كانت مدة الإجارة معروفة، ومقدار الأجر معروفاً

Maksudnya: Harus menyewakan tanah untuk pertanian, binaan dan perkara-perkara bermanfaat lain yang dibenarkan oleh syarak, dengan syarat tempoh sewaan dan kadarnya diketahui dengan jelas.[4]

Berbalik kepada persoalan, maka individu yang melakukan perniagaan menjual tanah campuran, tanah organik dan seumpama dengannya tidak termasuk dalam larangan hadis di atas. Hal ini kerana, larangan tersebut hanya ditujukan kepada pemilik tanah yang mencagarkan tanahnya kepada orang lain atau disebut sebagai pengusaha lalu ditetapkan syarat sebahagian hasil tanah tersebut mesti diberikan kepada tuan pemilik tanah. Hujahnya ialah boleh jadi hasil yang diberikan kepada pemilik tanah adalah elok dan bakinya adalah rosak, maka ia termasuk dalam perkara-perkara yang mengandungi gharar(penipuan). Wallahua’lam.

[1] Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim, ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, t.t), 3: 1197.

[2] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, 1392), 10: 229.

[3] Ibid., 10: 198.

[4]  Nuh Salman, “Hukum menyewa tanah, adakah boleh seorang muslim menyewa dari bukan Islam”, laman sesawang Dar Ifta’ al-Urduniyyah, diakses pada 27 Januari 2022, https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=2390#.YGmscugzY2w.


طباعة   البريد الإلكتروني
  • A A
    Reset | PT Sans
  • A- A A+