اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 563: STATUS HADIS NABI MELARANG WANITA BERBICARA DENGAN LELAKI KERANA LELAKI BILA BERBICARA DENGAN WANITA SENTIASA KELUAR AIR MAZI

da.png

Ditulis oleh: Muhammad Shahrulnizam Muhadi

 

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya pernah dengar seorang ustazah sebut satu hadis. Ustazah tersebut menyebut Nabi SAW melarang para wanita berbicara dengan lelaki sebab kata Nabi lelaki ini bila berbicara dengan wanita sentiasa keluar air mazi. Adakah benar ada hadis tersebut? Mohon pencerahan ustaz.

Ringkasan jawapan :

Hadis ini diriwayatkan di dalam satu sumber sahaja iaitu Tafsir Ibn Abī Ḥātim. Ibn Kathīr (m. 774 H) turut menukilkan hadis melalui jalur sanad Ibn Abī Ḥātim (m. 327 H) di dalam karya tafsir beliau. Hadis ini terlalu lemah berpunca daripada Mubārak bin Fuḍalah. Beliau bukan sahaja perawi yang lemah namun sering melakukan tadlīs iaitu menggugurkan beberapa perawi yang meriwayatkan satu hadis tertentu dan menisbahkan hadis tersebut kepada riwayat beliau tanpa menyebut perawi yang menjadi perantara.

Dalam kes ini beliau menggugurkan perawi yang berada antara beliau dan al-Ḥāsan al-Baṣrī serta menggunakan lafaz ‘an’anah (lafaz عن) yang boleh mengelirukan seakan-akan beliau mendengar sendiri daripada al-Ḥasan al-Baṣrī sedangkan tidak sebegitu. Para ulama hadis telah menentukan bahawa jika beliau menggunakan lafaz sebegitu, maka riwayat beliau tertolak. Sementelahan, Hadis ini dihukumkan mursal kerana al-Haṣan al-Baṣrī tidak pernah bertemu Nabi SAW. Tambahan lagi, lafaz ‘orang lelaki itu sentiasa berbicara dengan wanita sehingga keluar air mazi dari celah pehanya’ ialah tambahan (ziyadah) yang tidak terdapat dalam mana-mana riwayat. Wallahu’alam.

Huraian jawapan:

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Abī Ḥātim  (m.327 H) di dalam Tafsīr al-Qurān al-‘Aẓīm.[1] Beliau menukilkan sanad dan matan (teks) seperti berikut :

حدثنا أبو زرعة حدثنا إبراهيم بن موسى الفراء أخبرنا ابن أبي زائدة حدثني مبارك عن الحسن قال: كان فيما أخذ النبي صلى الله عليه وسلم: ألا تحدثن الرجال إلا أن تكون ذات محرم، فإن الرجل لا يزال يحدث المرأة حتى ‌يمذي ‌بين ‌فخذيه

Maksudnya: “Abū Zur’ah menceritakan hadis ini kepada kami, beliau berkata: Ibrahim bin Mūsā al-Farrā menceritakan hadis ini kepada kami, beliau berkata: Ibn Abī Zāidah memberitahu kepada kami hadis ini, beliau berkata : Mubarak bin al-Hasan menceritakan hadis ini kepada saya. Beliau meriwayatkan daripada al-Ḥasan. Al-Ḥasan berkata : Antara perkara yang Nabi SAW wajibkan kepada para wanita ketika baiah adalah tidak berbicara dengan lelaki selain mahram. Orang lelaki itu sentiasa berbicara dengan wanita sehingga keluar air mazi dari celah pehanya.”

Ibn Kathīr (m. 774 H) turut menukilkan hadis melalui jalur sanad Ibn Abī Ḥātim di dalam karya tafsir beliau.[2] Pemerhatian dan penelitian mendapati lafaz seperti ini hanya terdapat di dalam satu sumber iaitu tafsīr Ibn Abī Ḥātim.

Analisis sanad

Oleh sebab hadis ini diriwayatkan di dalam satu sumber sahaja iaitu Tafsir Ibn Abī Ḥātim, maka sanad hadis ini hanya tertumpu kepada satu jalur riwayat sahaja. Tambahan lagi, sanad hadis ini tidak mempunyai sokongan daripada jalur riwayat yang lain. Ibrahim bin Mūsā al-Farrā ialah seorang perawi yang thiqah bahkan beliau digelar al-Ḥāfiẓ. Imam al-Nasa’ī (m. 303 H) mengatakan bahawa beliau perawi thiqah.[3] Abu Zur’ah al-Rāzī (m. 264 H) menjelaskan bahawa beliau lebih teliti dalam periwayatan hadis berbanding Ibn Abī Syaibah dan hadis yang diriwayatkan oleh beliau lebih sahih berbanding riwayat hadis Ṣafwān bin Ṣāliḥ al-Muazzin.[4]

Ibn Abī Zāidah atau nama sebenar beliau Yahyā bin Zakariyā bin Abi Zāidah juga seorang perawi yang thiqah. Pakar penilai kecacatan hadis kurun ke 3 hijrah, Ali bin al-Madīnī (m. 234 H) menilai Ibn Abī Zāidah sebagai perawi yang thiqah (dipercayai kredibiliti dalam periwayatan hadis).[5] Imam Ahmad bin Hanbal (m. 241 H) turut memuji beliau.[6] Majoriti ulama hadis menilai beliau sebagai seorang perawi thiqah dan teliti dalam periwayatan hadis.

Mubarak yang disebutkan dalam sanad ini ialah Mubarak bin Fuḍalah. Beliau berasal daripada Basrah. Mubarak dikategorikan sebagai perawi yang dibenarkan untuk diriwayatkan hadis daripada beliau namun beliau bukan perawi yang kuat. Al-‘Ijlī (m. 261 H) menyebut :

‌مبارك ‌بن ‌فضَالة بصرى لَا بَأْس بِهِ

Maksudnya: “Mubārak bin Fudalah berasal daripada Basrah. Tidak mengapa meriwayatkan hadis daripada beliau.”[7]

Imam al-Nasaī’ secara jelas menilai beliau sebagai perawi yang lemah (ḍa’īf).[8] Tambahan lagi riwayat beliau ditinggalkan oleh pakar hadis semisal Yahyā bin Ma’īn (m.233 H) dan Abdurrahman bin Mahdī (m. 198 H)[9] Hal ini kerana beliau banyak melakukan irsal iaitu meriwayatkan hadis tanpa menyebut perawi yang berada di antara beliau dengan perawi yang lain. Perkara ini dinyatakan oleh Imam Ahmad bin Hanbal. Imam Ahmad pernah ditanya tentang al-Rabī’ bin Ṣubaiḥ dan Mubārak bin Fuḍalah, beliau menjawab :

مَا أَقْرَبَهُمَا كَانَ الْمُبَارَكُ يُرْسِلُ

Maksudnya: “Betapa dekat persamaan kedua-duanya (iaitu lemah dalam periwayatan). Mubarak banyak meriwayatkan hadis secara mursal.”[10]

Di samping itu, Imam Ahmad secara jelas menyebut bahawa Mubarak bin Fuḍalah melakukan tadlīs[11] iaitu menggugurkan beberapa perawi yang meriwayatkan satu hadis tertentu dan menisbahkan hadis tersebut kepada riwayat beliau tanpa menyebut perawi yang menjadi perantara. Abdurrahman bin Mahdi menyebut satu kaedah berinteraksi dengan riwayat Mubarak bin Fuḍalah, beliau menyebut :

لَمْ نَكْتُبْ لِلْمُبَارَكِ شَيْئًا ، إِلَّا شَيْئًا يَقُولُ فِيهِ: سَمِعْتُ الْحَسَنَ

Maksudnya: “Kami tidak meriwayatkan apa sahaja hadis daripada Mubarak melainkan beliau menyebut : “Saya mendengar al-Hasan berkata”[12]

Justeru, riwayat Mubārak hanya akan diterima jika beliau menyebut secara jelas bahawa beliau mendengar atau mengambil hadis tersebut daripada al-Hasan al-Baṣrī. Jika beliau hanya meriwayatkan secara ‘an’anah iaitu meriwayatkan hadis dengan hanya menyebut ‘an (daripada), maka riwayat beliau ditolak. Kaedah ini juga dinyatakan oleh Ibn Hajar al-Asqalānī (m. 852 H) di dalam Tahzīb al-Tahzīb.[13]  Dalam riwayat ini beliau hanya meriwayatkan hadis ini secara ‘an’anah daripada al-Hasan al-Baṣrī tanpa menyebut secara jelas bahawa beliau mendengar hadis ini daripada al-Hasan.

Tambahan pula, hadis ini diriwayatkan secara mursal kerana al-Ḥasan al-Baṣrī tidak pernah bertemu Nabi SAW. Hal ini juga disebutkan sebahagian pengkaji hadis kontemporari seperti Syeikh Syu’aib al-Arnauṭ (m. 2015 M)[14]

Dengan itu, hadis tersebut ialah hadis yang terlalu lemah berpunca daripada Mubārak bin Fuḍalah. Beliau bukan sahaja perawi yang lemah namun sering melakukan tadlīs iaitu menggugurkan beberapa perawi yang meriwayatkan satu hadis tertentu dan menisbahkan hadis tersebut kepada riwayat beliau tanpa menyebut perawi yang menjadi perantara. Dalam kes ini beliau menggugurkan perawi yang berada antara beliau dan al-Ḥāsan al-Baṣrī serta menggunakan lafaz ‘an’anah (lafaz عن) yang boleh mengelirukan seakan-akan beliau mendengar sendiri daripada al-Ḥasan al-Baṣrī sedangkan tidak sebegitu. Para ulama hadis telah menentukan bahawa jika beliau menggunakan lafaz sebegitu, maka riwayat beliau tertolak. Sementelahan, Hadis ini dihukumkan mursal kerana al-Haṣan al-Baṣrī tidak pernah bertemu Nabi SAW.

Namun begitu, sebahagian lafaz hadis tersebut iaitu ‘antara perkara yang Nabi SAW wajibkan kepada para wanita ketika baiah adalah tidak berbicara dengan lelaki selain mahram’ mempunyai sokongan melalui jalur periwayatan Ummu ‘Afīf. Abū al-Qāsim al-Ṭabarānī (m. 360 H) menukilkan sanad dan matan seperti berikut di dalam al-Mu’jam al-Kabīr[15]:

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللهِ بْنُ أَحْمَدَ بْنِ حَنْبَلٍ حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ أَبِي بَكْرٍ الْمُقَدَّمِيُّ ح وَحَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ ثنا عَاصِمُ بْنُ عَلِيٍّ قَالَا: ثنا عَبْدُ الْمُنْعِمِ أَبُو سَعِيدٍ الْحَرَّانِيُّ الَإِسْوَارِيُّ عَنِ الصَّلْتِ بْنِ دِينَارٍ عَنْ أَبِي عُثْمَانَ النَّهْدِيِّ عَنِ امْرَأَةٍ مِنْهُمْ يُقَالُ لَهَا أُمُّ عَفِيفٍ قَالَتْ: بَايَعْنَا رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ بَايَعَ النِّسَاءَ فَأَخَذَ عَلَيْهِنَّ أَنْ ‌لَا ‌تُحَدِّثْنَ ‌الرَّجُلَ إِلَّا مُحْرِمًا، وَأَمَرَنَا أَنْ نَقْرَأَ عَلَى مَيِّتِنَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Abdullah bin Ahmad bin Ahmad menceritakan hadis ini kepada kami, beliau berkata : Muhammad bin Abu Bakr al-Muqaddimī menceritakan hadis ini kepada saya (ح) ‘Ali bin Abdul ‘Azīz turut menceritakan hadis ini kepada kami, beliau berkata : ‘Āṣim bin ‘Ali menceritakan hadis ini kepada kami. ‘Āṣim dan Muhammad bin Abū Bakr berkata : ‘Abdul Mun’im Abu Sa’īd al-Harrānī al-Iswārī menceritakan hadis ini kepada kami. Beliau meriwayatkan hadis ini daripada al-Ṣalt bin Dīnār. Al-Ṣalt pula meriwayatkan daripada Abū ‘Uthmān al-Nahdī. Abū ‘Uthman pula meriwayatkan daripada salah seorang isteri para Sahabat yang diberi nama Ummu ‘Afīf. Ummu ‘Afīf berkata : Rasulullah meneriman sumpah janji kami ketika baginda melakukan sumpah setia dengan para wanita. Baginda mewajibkan kepada mereka agar tidak berbicara dengan lelaki melainkan lekaki itu ialah mahram bagi wanita itu. Baginda juga turut memerintahkan kami akan membaca surah Al-Fatihah untuk orang yang sudah meninggal dunia.”

Jalur yang sama turut diriwayatkan oleh Abu Nu’aim al-Aṣbahānī (m. 430 H) di dalam Ma’rifat al-Ṣahabat.[16] Akan tetapi, jalur ini juga bermasalah disebabkan Abdul Mun’im bin Nu’aim al-Iswarī dan al-Ṣalt bin Dīnār.

Abdul Mu’im bin Nu’aim al-Iswarī bukan perawi thiqah. Hal ini dinyatakan oleh Imam al-Nasa’ī bahkan Imam al-Bukhari dan Abū Ḥātim al-Razī mengatakan bahawa beliau antara perawi yang banyak melakukan kesalahan (munkar al-ḥadīth).[17]

Al-Ṣalt bin Dīnār pula ialah perawi yang sering dikritik. Periwayatan beliau sering ditolak dan ditinggalkan oleh ulama hadis kerana tidak mempunyai kredibiliti dalam periwayatan hadis. Antara yang mengkritik beliau ialah Imam Ahmad. Abdullah bin Ahmad pernah bertanya kepada ayah beliau, Imam Ahmad tentang al-Ṣalt bin Dīnār. Abdullah berkata :

وَسَأَلْتُ أَبِي عَنْهُ فَقَالَ: مَتْرُوكُ الْحَدِيثِ، وَسَأَلْتُ أَبِي مَرَّةً أُخْرَى عَنِ ‌الصَّلْتِ ‌بْنِ ‌دِينَارٍ، فَقَالَ: تَرَكَ النَّاسُ حَدِيثَهُ، مَتْرُوكٌ، وَنَهَانِي أَنْ أَكْتُبَ مِنْ حَدِيثِ ‌الصَّلْتِ ‌بْنِ ‌دِينَارٍ شَيْئًا

Maksudnya: “Saya pernah bertanya ayah saya tentang al-Ṣalt bin Dīnār, ayah berkata : Hadis yang beliau riwayatkan ditinggalkan (matrūk). Saya pernah bertanya sekali lagi tentang beliau, ayah berkata : Ulama hadis meninggalkan hadis yang beliau riwayatkan. Beliau matrūk. Ayah juga melarang saya daripada meriwayatkan apa-apa hadis daripada al-Ṣalt bin Dīnār.”[18]

Pakar hadis seperti Yahyā bin Sa’īd al-Qaṭṭān dan Abdurrahman bin Mahdī tidak pernah meriwayatkan apa-apa hadis daripada al-Ṣalt.[19] Perbuatan pakar seperti mereka memberi isyarat bahawa hadis yang diriwayatkan oleh al-Ṣalt tidak boleh diterima sama sekali. Oleh itu, jalur ini ialah jalur sanad yang terlalu lemah berpunca daripada dua perawi tersebut.

Kesimpulannya, hadis yang menyebut Nabi SAW melarang para wanita berbicara dengan lelaki sebab kata Nabi lelaki ini bila berbicara dengan wanita sentiasa keluar air mazi  ialah hadis yang terlalu lemah berpunca daripada Mubārak bin Fuḍalah. Beliau bukan sahaja perawi yang lemah namun sering melakukan tadlīs iaitu menggugurkan beberapa perawi yang meriwayatkan satu hadis tertentu dan menisbahkan hadis tersebut kepada riwayat beliau tanpa menyebut perawi yang menjadi perantara.

Dalam kes ini beliau menggugurkan perawi yang berada antara beliau dan al-Ḥāsan al-Baṣrī serta menggunakan lafaz ‘an’anah (lafaz عن) yang boleh mengelirukan seakan-akan beliau mendengar sendiri daripada al-Ḥasan al-Baṣrī sedangkan tidak sebegitu. Para ulama hadis telah menentukan bahawa jika beliau menggunakan lafaz sebegitu, maka riwayat beliau tertolak. Sementelahan, hadis ini dihukumkan mursal kerana al-Haṣan al-Baṣrī tidak pernah bertemu Nabi SAW. Tambahan lagi, lafaz ‘orang lelaki itu sentiasa berbicara dengan wanita sehingga keluar air mazi dari celah pehanya’ ialah tambahan (ziyadah) yang tidak terdapat dalam mana-mana riwayat.

[1] Abu Muhammad, Abdurrahman bin Muhammad (1998), Tafsīr al-Qūran al-Aẓīm, ed. As’ad Muhammad al-Ṭayyīb, Arab Saudi: Maktabah Nazār Muṣṭafā al-Bāz, j.10 h.3352.

[2] Abu al-Fidā, Isma’īl bin Umar (1999), Tafsīr al-Qurān al-Aẓīm, ed. Sāmī bin Muhammad al-Salāmah, Riyadh : Dar al-Ṭayyībah, j.8 h.101. Beliau berkata : وقال ابن أبي حاتم: حدثنا أبو زرعة، حدثنا إبراهيم بن موسى الفراء، أخبرنا ابن أبي زائدة، حدثني مبارك، عن الحسن قال: كان فيما أخذ النبي صلى الله عليه وسلم: "ألا تحدثن الرجال إلا أن تكون ذات محرم فإن الرجل لا يزال يحدث المرأة حتى ‌يمذي ‌بين ‌فخذيه"

[3] Syamsuddin al-Zahabī, Muhammad bin Ahmad (2006), Siyar ‘Alām al-Nubalā, Kaherah: Dar al-Hadith, j.9 h.167. Imam al-Zahabi menukilkan : وَقَالَ النَّسَائِيُّ: ثِقَةٌ

[4] Ibid.

[5] Ibn Abī Ḥātim, Abdurrahman bin Muhammad (1952), al-Jarh wa al-Ta’dīl, Beirut: Dar Ihyā al-Turāth al-‘Arabī, Hyderabad: Dairah al-Ma’ārif al-‘Uthmaniyah, j.9 h.144. Ibn Abī Ḥātim menukilkan : نا عبد الرحمن حدثني أبي قال قال على ابن المدينى: يحيى بن ابى زائدة من الثقات

[6] Ibid., j.9 h.145. Ibn Abī Ḥātim menukilkan : نا عبد الرحمن أنا عبد الله بن أحمد بن حنبل فيما كتب إلي قال قال ابى: يجيى بن ابى زائدة ثقة

[7] Abū al-Ḥasan, Ahmad bin Abdullah (1985), Ma’rifat al-Thiqāt min Rijāl Ahl al-Ilm wa al-Ḥadīth wa min al-Ḍu’afā wa Zikr Mazāhibihim wa Akhbārihim, ed. Abdul ‘Alim al-Bustawī, Madinah Munawwarah : Maktabah al-Dār, j.2 h.263.

[8] Abū Abdurrahman, Ahmad bin Syu’aib (1976), al-Ḍu’afā wa al-Matrūkūn, ed. Mahmud Ibrahim Zayed, Aleppo: Dar al-Wa’ī, h.98. Beliau berkata : ‌مبارك ‌بن ‌فضَالة ضَعِيف

[9] Abū Ja’far, Muhammad bin ‘Amr (1984), al-Ḍu’afā al-Kabīr, ed. Abdul Mu’ṭī Amīn Qal’ajī, Beirut : Dar al-Maktabah al-‘Ilmiyah, j.4 h.224. ‘Amr bin ‘Ali al-Fallās menyebut : كَانَ يَحْيَى وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ لَا يُحَدِّثَانِ عَنْ مُبَارَكٍ

[10] Ibid.

[11] Ibid. Abdullah bin Ahmad menyebut : وَسُئِلَ أَبِي عَنْ مُبَارَكٍ، وَأَشْعَثَ، فَقَالَ: مَا أَقْرَبَهُمَا كَانَ الْمُبَارَكُ يُدَلِّسُ

[12] Ibid.

[13] Abu al-Faḍl, Ahmad bin ‘Ali (1995). Tahzīb al-Tahzīb, ed. ‘Ādil Mursyid, Ibrahim al-Zabīq, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.4 h.18-19 no 50.

[14] Beliau menyebut perkara ini di dalam kitab Musnad Ahmad yang disunting oleh beliau. (2001, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.34 h.396)

[15] Abu al-Qāsim, Sulaimān bin Ahmad (t.t), al-Mu’jam al-Kabīr, ed. Hamdi bin Abdul Majid al-Silafī, Kaherah: Maktabah Ibn Taimiyah, j.25 h.168 no 410.

[16] Abū Nu’aim, Ahmad bin Abdullah (1998), Ma’rifat al-Ṣahabat, ed. ‘Adil bin Yusuf al-‘Azāzī, Riyadh: Dar al-Waṭan, j.6 h.3541 no 8004.

[17] Al-Mizzī, Yusuf bin Abdurrahman (1980), Tahzīb al-Kamāl fī Asmā al-Rijāl, ed. Dr. Basyar ‘Awwad Ma’rūf, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.18 h.439 no. 3579.

[18] Al-Ḍu’afā al-Kabīr, j.2 h.209 no.743.

[19] Al-Jarh wa al-Ta’dīl, j.4 h.438