IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-194: MEMBESARKAN GURU UMPAMA MEMBESARKAN TUHAN

 

Soalan: Apakah status hadith siapa yang membesarkan guru seperti membesarkan Tuhannya?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Matan Hadith

Daripada Aisyah RA, bahawa dikatakan Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ وَقَّرَ عَالِمًا فَقَدْ وَقَّرَ رَبَّهُ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Barangsiapa yang memuliakan seorang alim maka dia telah memuliakan Tuhannya”.

 

Hukum Hadith

Antara ulama’ yang menilai hadith ini:

  • Imam al-Zahabi mengatakan di dalam sanad hadith terdapat al-Hakam bin Abdullah dan ramai ulama’ yang mengkritiknya (tajrih). Antaranya, Imam Ahmad mengatakan semua hadithnya palsu dan Imam al-Bukhari mengatakan tinggalkan riwayatnya. [Lihat: Mizan al-I’tidal, 572/1]

 

  • Imam Ibn ‘Arraq menilai hadith ini sebagai palsu di dalam kitabnya. [Lihat: Tanzih al-Syariah, 274/1]

 

Kami melihat dan berpandangan bahawa hadith di atas adalah palsu dan tidak boleh sesekali kita menyandarkannya kepada Nabi SAW. Walaupun begitu, makna hadith tersebut adalah benar kerana ia sama sekali tidak bercanggah dengan apa yang diajar di dalam agama ini. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

 

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّـهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

Maksudnya: “Sebenarnya yang bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu (ulama’)”. [Fathir:28]

 

Tambahan pula, di sini kami sertakan beberapa matan hadith masyhur yang disandarkan kepada Rasulullah SAW berkaitan memuliakan ulama’ atau orang alim:

 

Daripada Abu Hurairah RA, dikatakan Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ أَكْرَمَ عَالِمًا فَقَدْ أَكْرَمَ سَبْعِيْنَ نَبِيًّا

Maksudnya: “Barangsiapa yang memuliakan orang alim maka sesungguhnya dia telah memuliakan 70 orang nabi”.   

 

  • Imam Ibn al-Jauzi menghukum hadith ini tidak sahih daripada Nabi SAW kerana padanya terdapat perawi bernama Muhammad bin Amr. Telah berkata Yahya bin Ma’in manusia masih menapis hadithnya. [Lihat: al-‘Ilal al-Mutanahiyah, 100/1]

 

  • Imam Ibn ‘Arraq mengatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan Imam Ibn al-Jauzi yang mengatakan hadith ini didhaif disebabkan oleh Muhammad bin Amr. Ini kerana, Muhammad bin Amr merupakan salah seorang perawi bagi Sunan al-Arba’ah (Sunan Abi Daud, Jami’ al-Tirmizi, Sunan al-Nasa’ie dan Sunan Ibn Majah). Untuk itu, dhaifnya hadith ini disebabkan orang lain. Imam al-Zahabi mengatakan di dalam Talkhis al-‘Ilal al-Mutanahiyah bahawa hadith ini merupakan ciptaan atau rekaan daripada Abdulrahman bin Muhammad al-Balkhi. [Lihat: Tanzih al-Syariah, 290/1]

 

Daripada Jabir bin Abdillah RA, dikatakan Nabi SAW bersabda:

 

أَكْرِمُوا الْعُلَمَاءَ فَإِنَّهُمْ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ فَمَنْ أَكْرَمَهُمْ فَقَدْ أَكْرَمَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ

Maksudnya: “Muliakanlah para ulama’ kerana mereka merupakan pewaris nabi-nabi. Barangsiapa yang memuliakan mereka maka sesungguhnya mereka itu telah memuliakan Allah dan rasulnya”.   

 

  • Imam Ibn al-Jauzi menghukum hadith ini tidak sahih. Telah berkata Imam Ibn ‘Adiy: al-Dahhak bin Hajwah seorang yang munkar hadith apbila diriwayatkan daripada orang-orang yang thiqah. Riwayatnya adalah munkar samada matan dan juga sanadnya. Telah berkata juga Imam Ibn Hibban tidak dibolehkan berhujah dengan hadithnya dan ulama’ telah meriwayatkan hadith ulama’ adalah pewaris nabi dengan sanad yang baik (salih). [Lihat: al-‘Ilal al-Mutanahiyah, 70/1]

 

  • Imam al-Zaila’i mengatakan pada sanadnya al-Dahhak bin Hajwah dan telah berkata Imam Ibn Hibban tidak dibolehkan berhujah dengan hadithnya. Imam Ibn ‘Adiy mengatatakn dia seorang munkar hadith dan Imam al-Daraquthni mengatakan beliau seorang pemalsu hadith. [Lihat: Takhrij Ahadith al-Kasyaf, 10/3]

 

  • Imam Ibn ‘Arraq mengatakan bahawa hadith Jabir ini padanya terdapat al-Dahhak bin Hajwah. Di dalam al-Mizan mengatakan hadith daripada musibahnya (al-Dahhak bin Hajwah). [Lihat: Tanzih al-Syariah, 275/1]

 

Daripada Abi Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ

Maksudnya: “Dan ulama’ itu adalah pewaris para nabi”. [Riwayat Abu Daud (3641)]

 

  • Imam Ibn Hibban meriwayatkan hadith ini di dalam sahihnya. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, 289/1]

 

  • Imam al-Sakhawi mengatakan hadith ini mempunyai syawahid yang mana setiap syawahid itu saling menguatkan antara satu sama lain. [Lihat: al-Maqasid al-Hasanah, 459]

 

  • Imam Ibn al-Mulaqqin menyatakan bahawa hadith ini sahih. Ia diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam musnadnya, Abu Daud di dalam sunannya, al-Tirmizi di dalam Jami’nya dan Abu Hatim bin Hibban di dalam sahihnya daripada hadith Abi Darda’ RA secara marfu’. [Lihat: al-Badr al-Munir, 587/7]

 

  • Syeikh Syuaib al-Arna’outh ketika mengtakhrijkan hadith ini mengatakan hadith ini hasan dengan syawahid-syawahidnya (sokongan daripada riwayat lain) sebagaimana dijelaskan di dalam Musnad Imam Ahmad. Manakala, sanad hadith ini adalah dhaif disebabkan dhaifnya Kathir bin Qais. [Lihat: Sunan Abi Daud, 485/5]

 

Berikut adalah beberapa hadith yang masyhur dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Di sini, kami menyatakan bahawa kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith yang pertama dan kedua adalah teramat dhaif dari sudut sanadnya kerana mempunyai perawi yang bermasalah dan dikritik hebat oleh para ulama’. Untuk itu, kita tidak boleh menyandarkan hadith yang pertama dan kedua itu kepada Nabi SAW. Adapun, hadith yang ketiga atau yang terakhir, kami memilih untuk mengatakan bahawa hadith tersebut hasan dengan syawahid-syawahid yang ada padanya kerana ia saling kuat-menguatkan antara satu sama lain.

 

Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak lagi ayat al-Qur’an dan Sunnah yang menceritakan tentang kelebihan orang yang berilmu dan juga kelebihan orang yang mengajarkan ilmu yang dipelajarinya sebagaimana di dalam artikel kami sebelum ini berkaitan kelebihan menuntut ilmu. Sebelum kami akhiri artikel ini, suka bagi kami untuk kongsikan kata-kata daripada salah seorang tokoh dan imam besar di dalam mazhab Islam:

 

  • Telah berkata Imam al-Syafi’e RA: “Menuntut ilmu itu lebih baik daripada melakukan ibadah sunat”.

 

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama ini serta memelihara lidah-lidah kita daripada pendustaan ke atas nama junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Amin.

 

Wallahua’lam

 


طباعة   البريد الإلكتروني