اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE-122: PUASA & KESIHATAN

Gambar Puasa Ramadhan

 

SOALAN

Adakah ibadah puasa memberi kesan yang baik kepada kesihatan?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Ibadah puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu kewajipan kepada umat Islam yang cukup syarat-syarat wajib untuk berpuasa. Ia merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun Islam. Firman Allah SWT:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”

Surah al-Baqarah: 183

Nabi SAW telah bersabda:

بُنِيَ الإسْلَامُ علَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أنْ لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وأنَّ مُحَمَّدًا رَسولُ اللَّهِ، وإقَامِ الصَّلَاةِ، وإيتَاءِ الزَّكَاةِ، والحَجِّ، وصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam dibina di atas lima perkara: “Mengucap bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan haji di Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadhan”

Riwayat al-Bukhari (87) dan Muslim (17)

 

Puasa dan Kesihatan

Ibadah puasa sering dikaitkan dengan aspek kesihatan. Ini kerana amalan berpuasa melibatkan perbuatan menahan makan dan minum bermula daripada fajar terbit sehingga matahari terbenam yang merupakan satu rutin yang berbeza bagi kebanyakan umat Islam di bulan-bulan lain selain bulan Ramadhan.

Ada sebahagian daripada kita yang berhujah bahawa ibadah puasa memberi kesan yang baik kepada kesihatan bersandarkan kepada hadith ini:

وَصُومُوا تَصِحُّوا

Maksudnya: “Dan berpuasalah, maka kamu akan sihat”. 

Riwayat al-Thabarani (8312)

 

Kami telah menjelaskan status hadith ini dalam artikel kami terdahulu yang bertajuk: IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-272: STATUS HADITH PUASALAH MAKA KAMU AKAN SIHAT[1]. Kesimpulannya, hadith ini diriwayatkan oleh sekumpulan para sahabat Nabi SAW dan kesemua riwayat tersebut adalah tidak sahih untuk disandarkan kepada Nabi SAW.

Walaubagaimanapun, ini tidak menunjukkan bahawa makna (matan atau teks) hadith itu juga tidak sahih. Ini kerana, ilmu perubatan dan sains telah membuktikan bahawa amalan berpuasa mempunyai banyak faedah kepada kesihatan.

Pada tahun 1994, kongres antarabangsa pertama bertemakan 'Kesihatan dan Ramadhan' diadakan di Casablanca (First International Congress on Health and Ramadhan, January 19-22, 1994, Casablanca, Morocco). Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kertas kajian ketika itu. Kesemua kajian yang telah dibentangkan mengesahkan bahawa puasa pada bulan Ramadhan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan, malah sebaliknya ia mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia.

Di sini kami nyatakan beberapa faedah kesihatan yang boleh diperolehi melalui amalan berpuasa yang telah dibuktikan dengan penemuan dan kajian sains:

  1. Membantu mengawal kadar gula di dalam darah[2]. Banyak kajian telah menunjukkan bahawa amalan berpuasa mampu untuk membantu pengawalan gula di dalam darah terutamanya bagi mereka yang mempunyai risiko untuk menghidap penyakit kencing manis. Amalan berpuasa mampu mengurangkan halangan insulin (insulin resistance) yang mana boleh meningkatkan sensitiviti badan terhadap insulin, seterusnya membenarkannya mengangkut glukosa daripada salur darah kepada sel badan dengan lebih efisien. Kesannya, gula di dalam darah akan menjadi stabil dan risiko penyakit kencing manis dapat dikurangkan. Rujuk kajian yang bertajuk: “Effects of intermittent fasting on health markers in those with type 2 diabetes: A pilot study”[3] dan “Intermittent fasting vs daily calorie restriction for type 2 diabetes prevention: a review of human findings”[4].

Amalan berpuasa juga boleh mengurangkan risiko buat perempuan yang sedang mengandung daripada menghidap penyakit kencing manis ketika mengandung (gestational diabetes). Kajian telah menunjukkan bahawa amalan berpuasa bagi ibu yang mengandung pada peringkat trimester kedua mampu mengurangkan risiko untuk ibu tersebut menghidap penyakit kecing manis ketika mengandung. Rujuk kajian: “Perspectives and pregnancy outcomes of maternal Ramadan fasting in the second trimester of pregnancy”[5].

  1. Meningkatkan tahap kesihatan jantung dengan mengawal tahap tekanan darah, triasilgliserol dan kolesterol[6]. Banyak kajian menunjukkan bahawa berpuasa dapat memberi kesan yang baik kepada jantung. Satu kajian telah dibuat ke atas orang dewasa yang mempunyai berat badan yang berlebihan (obes) yang telah berpuasa selama tiga minggu di bawah pengawasan pakar perubatan dan hasilnya telah menunjukkan bahawa tahap tekanan darah, triasilgliserol dan kolesterol mereka menurun secara mendadak. Rujuk kajian yang bertajuk: “The effects of three-week fasting diet on blood pressure, lipid profile and glucoregulation in extremely obese patients”[7],Usefulness of Routine Periodic Fasting to Lower Risk of Coronary Artery Disease among Patients Undergoing Coronary Angiography”[8] dan “Regular Fasting May Improve CVD Risk”[9].
  1. Mengurangkan tahap keradangan. Kajian telah menunjukkan keradangan boleh membawa kepada pembentukan penyakit kronik seperti kanser dan penyakit jantung. Rujuk kajian yang bertajuk: The inflammation theory of disease”[10].

Beberapa kajian terkini telah membuktikan bahawa puasa dapat membantu mengurangkan tahap keradangan, seterusnya membantu meningkatkan tahap kesihatan. Rujuk kajian yang bertajuk: “Intermittent fasting during Ramadan attenuates proinflammatory cytokines and immune cells in healthy subjects”[11] dan “Interleukin-6, C-reactive protein and biochemical parameters during prolonged intermittent fasting”[12].

  1. Membantu mengurangkan berat badan dengan mengurangkan pengambilan kalori dan meningkatkan metabolisme badan[13]. Secara teorinya, menahan diri dari makan dan minum ketika berpuasa akan mengurangkan jumlah pengambilan kalori makanan dengan syarat tidak mengambil makanan secara berlebihan ketika bersahur dan berbuka, serta tidak mengambil makanan yang mempunyai nilai kalori yang tinggi secara berlebihan. Pengurangan jumlah kalori yang diambil pada kebiasaanya akan membawa kepada pengurangan berat badan.

Ada kajian menunjukkan bahawa berpuasa dalam tempoh seharian boleh mengurangkan berat badan sehingga 9% dan mengurangkan lemak badan dalam tempoh 12 hingga 24 minggu. Kajian lain pula menunjukkan berpuasa dalam tempoh 3 hingga 12 minggu adalah tempoh yang efektif untuk mengurangkan berat badan dan jisim lemak (fat mass) sehingga 8% dan 16%. Rujuk kajian yang bertajuk: “Effects of intermittent fasting on body composition and clinical health markers in humans”[14] dan “Intermittent versus daily calorie restriction: which diet regimen is more effective for weight loss?”[15]

  1. Mempercepatkan tempoh pemulihan. Puasa juga mampu menpengaruhi proses pemulihan di dalam badan. Ketika mana makanan tiada di dalam perut, anggota badan akan menfokuskan aktivitinya untuk fungsi-fungsi yang lain seperti aktiviti metabolik dan sistem ketahanan badan, berbanding dengan kerja-kerja penghadaman yang mana tidak diperlukan ketika seseorang itu sedang berpuasa.

Kajian telah menunjukkan bahawa sistem ketahanan badan di dalam usus pesakit yang berpuasa bertambah baik berbanding pesakit yang tidak berpuasa. Rujuk kajian yang bertajuk: “Progression of intestinal secretory immunoglobulin A and the condition of the patients during naturopathic therapy and fasting therapy”[16]

  1. Menambah baik fungsi dan kesihatan otak. Autofagi di dalam otak ialah proses sel menghancurkan protein dan organel yang rosak di dalam neuron tertentu di dalam otak. Jika protein yang rosak atau tidak berfungsi berkumpul di dalam neuron tertentu, fungsi neuron akan terjejas seperti mana yang dapat dilihat di dalam penyakit neurodegenerative seperti penyakit Alzheimer's, Parkinson's, Huntington's dan amyotrophic lateral sclerosis (ALS). Puasa adalah salah satu faktor utama dalam memulakan proses autofagi di dalam otak kemudian secara langsung menambah baik fungsi dan kesihatannya. Rujuk kajian yang bertajuk: “Short-term fasting induces profound neuronal autophagy”[17]
  1. Penghasilan hormon anti penuaan. Ketika berpuasa, hormon pertumbuhan (growth hormone) akan dihasilkan lebih banyak berbanding dalam keadaan tidak berpuasa. Ini akan menyebabkan hormon anti penuaan dan hormon pertumbuhan yang lebih baik dihasilkan di dalam badan. Rujuk kajian yang bertajuk: “Fasting enhances growth hormone secretion and amplifies the complex rhythms of growth hormone secretion in man”[18]

 

Kesimpulan

Walaupun status hadith yang mengatakan berpuasa itu menyihatkan adalah lemah dan dikritik oleh para ulama’, namun maknanya sahih berdasarkan penemuan-penemuan sains yang membuktikannya.

Kami ingin menegaskan bahawa tujuan utama seseorang itu berpuasa adalah sebagai tanda pengabdian seorang hamba itu kepada Allah dan juga untuk meraih taqwa. Adapun manfaat kesihatan dalam ibadah puasa, ia merupakan satu bonus dan hikmah yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang taat melaksanakannya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita kekuatan agar kita dapat melaksanakan serta menyempurnakan ibadah puasa dengan sebaik-baiknya.

 

[1] http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/2450-irsyad-al-hadith-siri-ke-271-status-hadith-puasalah-maka-kamu-akan-sihat?highlight=WyJwdWFzYSIsInNpaGF0Il0=

[2] http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/365

[3] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5394735/

[4] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/24993615

[5] https://bmcpregnancychildbirth.biomedcentral.com/articles/10.1186/s12884-019-2275-x

[6] http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/365

[7] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/17929537

[8] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2572991/

[9] https://www.medscape.org/viewarticle/565877

[10] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3492709/

[11] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/23244540

[12] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/17374948

[13] http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/365

[14] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/26374764

[15] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/21410865

[16] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/11799302

[17] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/20534972

[18] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC329619/