اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-239 : TEMPOH BERMULA SAPU KHUF

Soalan

Bilakah bermula tempoh menyapu khuf? Dan sekiranya seseorang itu ragu-ragu sama ada dia mula menyapu sewaktu musafir atau bermukim, apa perlu dilakukan?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan pengertian khuf dan juga hukum menyapu khuf.

Pengertian Khuf

Khuf ialah kasut kulit yang menutupi kaki hingga buku lali. Buku lali ialah tulang sendi yang timbul di antara kaki dengan betis.

Hukum Menyapu Khuf

Menyapu khuf dengan air adalah satu keringanan (رُخصَةٌ) yang harus bagi lelaki dan perempuan dalam semua keadaan, sama ada ketika musim panas atau sejuk, musafir atau mukim, dan ketika sihat atau sakit. Perbuatan ini adalah ganti membasuh kaki ketika berwudhu’. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/241)

Mengikut pendapat jumhur, tempoh yang ditetapkan bagi menyapu khuf ini bermula dari berlaku hadas selepas memakai khuf itu sehinggalah ke waktu yang sama pada hari kedua bagi yang bermukim dan pada hari keempat bagi mereka yang bermusafir kerana waktu harus untuk menyapu adalah bermula dengan berlaku hadas itu. Dengan itu, maka tempohnya dikira dari ketika itu.

Ini diqiyaskan dengan sembahyang yang mana waktunya adalah dikira bermula dari sejak ia harus dikerjakan. Selain itu, hadis Safwan bin Assal menyebut:

أَمَرَنَا أَنْ نَمْسَحَ عَلَى الْخُفَّيْنِ إِذَا نَحْنُ أَدْخَلْنَاهُمَا عَلَى طُهْرٍ ثَلاَثًا إِذَا سَافَرْنَا ، وَيَوْمًا وَلَيْلَةً إِذَا أَقَمْنَا ، وَلاَ نَخْلَعَهُمَا مِنْ غَائِطٍ وَلاَ بَوْلٍ وَلاَ نَوْمٍ ، وَلاَ نَخْلَعَهُمَا إِلاَّ مِنْ جَنَابَةٍ.

Maksudnya: (Nabi SAW) telah memerintahkan kami supaya menyapu di atas kedua khuf kami apabila kami memakainya dalam keadaan bersih atau suci, selama tiga hari apabila kami dalam musafir dan sehari semalam jika kami dalam bermukim. Kami tidak perlu mencabutnya dengan sebab berak atau kencing atau tidur. Kami hanya perlu mencabutnya apabila berjunub.

Riwayat Ahmad (18093). Kata al-Khattabi,
hadis ini sahih isnadnya (Nail al-Autar, 1/191-183)

Ini memberi pengertian bahawa khuf berkenaan perlu dicabut selepas tiga hari yang dilalui selepas membuang air besar. Khuf adalah menghalang daripada hadas itu sampai ke bahagian kaki. Oleh itu, ia perlulah  dikira mulai dari waktu ia terhalang atau waktu hadas itu tidak sampai ke bahagian kaki.

Berdasarkan ini, maka sesiapa yang berwuduk sewaktu mula terbit fajar, kemudian dia memakai khufnya dan setelah terbit matahari baru dia berhadas, kemudian setelah gelincir matahari barulah dia berwuduk dan menyapu khufnya, maka:

  • Jika dia seorang yang bermukim, dia harus menyapu sehingga waktu yang sama dengan waktu dia mengangkat hadas itu pada hari berikutnya, iaitu setelah gelincir matahari hari kedua.
  • Jika dia musafir, maka dia boleh menyapu sehingga gelincir matahari pada hari keempat.

Apabila seorang itu menyapu khufnya sewaktu bermukim, kemudian dia musafir ataupun sebaliknya iaitu menyapu khuf dalam musafir kemudian dia bermukim, maka:

  • Mengikut pendapat ulama Syafie dan Hanbali, tempohnya dikira tamat seperti seorang yang bermukim, kerana diberikan keutamaan bagi keadaan tersebut yang merupakan asal. Dalam dua keadaan yang telah disebut tadi, dia hanya boleh menyapu selama sehari semalam sahaja.
  • Mengikut pendapat ulama’ Hanafi pula sekiranya seorang itu menyapu khuf sewaktu bermukim, tetapi sebelum sampai sehari semalam, dia telah mula musafir, maka dia berhak menyapu sebagai seorang musafir, iaitu tiga hari tiga malam, kerana dia telah menjadi seorang yang merantau. Orang merantau (musafir) adalah berhak menyapu untuk tempoh tiga hari tiga malam. Jika seorang yang seorang yang bermusafir berhenti dan bermukim di suatu tempat, maka sekiranya dia melengkapkan tempoh bermukim, dia wajiblah mencabut khufnya, kerana kelonggaran untuk orang musafir telah tidak diberikan lagi tanpanya. Jika dia tidak menghabiskan tempoh, maka dia bolehlah meneruskan dengan keadaan orang musafir.

Sekiranya dia ragu-ragu adakah dia mula menyapu sewaktu dalam musafir atau dalam waktu bermukim, maka:

  • Mengikut pendapat ulama’ Hanbali, hendaklah dia merujukkan kepada yang pasti, iaitu menyapu sebagai seorang yang bermukim, kerana tidak harus seseorang itu menyapu dalam keadaan ragu tentang keharusannya.
  • Ulama’ Syafie pula berpendapat, seorang yang ragu tentang sama ada tempohnya masih ada atau sebaliknya, tidak harus menyapu, sama ada tempohnya telah berakhir ataupun belum. Begitu juga orang musafir yang syak sama ada dia menyapu semasa musafir atau bermukim, kerana menyapu khuf ini adalah suatu kelonggaran rukhsah yang diberikan dengan beberapa syarat, termasuk masa. Oleh itu, apabila dia syak, maka hendaklah kembali semula kepada hukum asal, iaitu wajib basuh.[1]

Semoga Allah memberi kepada kita kefahaman berkenaan agama-Nya yang bersifat mudah dan meraikan maslahat manusia.

 

Nota Hujung

[1] Rujuk al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh, 1/312-313.