اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-266 : MUSAHAQAH (LESBIAN) DAN HUKUM BERKAITAN

IF 266 compressed

Soalan:

Adakah dikira sebagai musahaqah sekiranya wanita itu menggosokkan jari, mencium dan menghisap kemaluan wanita lain sehingga klimaks? Sedangkan wanita itu tidak pernah memasukkan jari ke dalam kemaluan wanita tersebut. Kerana saya terbaca perbuatan musahaqah adalah menggeselkan kemaluan mereka bersama. Jadi adakah perbuatan tersebut termasuk musahaqah atau pun zina atau onani?

Jawapan:

Musahaqah atau lesbian bermaksud perlakuan seks seorang wanita terhadap wanita yang lain sama seperti yang dilakukan oleh lelaki ketika bersetubuh dengan wanita. (Lihat Lisan al-Arab dan Qamus al-Muhit pada perkataan ‘سحق’. Lihat juga al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (24/251) Apa yang membezakan antara musahaqah dan zina adalah dalam musahaqah tidak berlaku ilaj iaitu kemasukan zakar ke dalam faraj wanita. Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (24/19).

Manakala perkataan lesbian dalam Kamus Dewan Edisi Keempat pula bermaksud perempuan yang mempunyai tarikan seksual terhadap kaum sejenisnya, perempuan homoseksual. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)

Merujuk kepada persoalan di atas, adakah musahaqah itu hanya merujuk kepada perbuatan menggeselkan kemaluan sesama wanita sahaja? Pada asasnya, musahaqah dari sudut bahasa bererti menggosok atau menggesel (al-sahaq wa al-tadaluk). Namun dari segi istilahnya ia bererti wanita yang menyetubuhi wanita lain. (Rujuk Al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islami, 2: 368)

Perbuatan ini jelas haram berdasarkan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (5) إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (6) فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ 

Maksudnya: “Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap istri-istri mereka atau budak yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Barang siapa mencari yang di balik itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah Al Mu’minun: 5-7)

Menerusi ayat ini, mana-mana wanita yang menghalalkan kemaluannya kepada selain suaminya sama ada lelaki mahupun wanita, maka dia termasuk dalam golongan yang melampaui batas. (Al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islami, 2: 368)

 

Para ulama mengatakan perbuatan musahaqah adalah sama dengan perbuatan mubasyarah (hubungan badan) antara lelaki dan perempuan yang tidak melibatkan kemasukan zakar ke dalam faraj. Oleh yang demikian ia dikenakan hukuman takzir bukan hudud. (Al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafie, 12/369)

Sebab pengharamannya adalah kerana ia merupakan perbuatan bersedap-sedapan (istimta’) dengan cara yang diharamkan. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW, daripada Anas bin Malik R.A yang menyebut:

السِّحَاقُ زِنَى النِّسَاءِ بَيْنَهُنَّ

Maksudnya“Sihaq merupakan zina perempuan antara mereka."

Riwayat Ibn Hibban (2/182), al-Aajurri dalam Dzamm al-Liwath (23) dan Ibn ‘Adi dalam al-Kamil (6/269)

Daripada Abi Musa al-Asy’ari R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَتَتِ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ فَهُمَا زَانِيَتَانِ

Maksudnya“Apabila perempuan mendatangi perempuan (sihaq), maka keduanya dianggap sebagai penzina.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (17490)

Al-Qadhi Abu Tayyib mengatakan, menerusi hadith di atas, ia menunjukkan dosa sihaq atau lesbian adalah sama dengan dosa berzina. (Kifayah al-Akhyar, hlm. 478)

Di samping itu, Rasulullah SAW turut melarang perbuatan melihat kepada aurat orang lain walaupun sesama jantina, begitu juga larangan tidur dalam selimut yang sama tanpa sebarang lapik. Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لاَ يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلاَ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ وَلاَ يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ وَلاَ تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ

Maksudnya: Tidak boleh untuk seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki yang lain, dan tidak boleh bagi seorang perempuan untuk melihat aurat perempuan yang lain. Serta tidak boleh untuk seorang lelaki berbaring dengan lelaki yang lain di dalam selimut yang sama demikian juga tidak boleh untuk seorang perempuan berbaring dengan perempuan yang lain di bawah selimut yang sama.

Riwayat Muslim (338)

Kesimpulannya, perbuatan menggosok jari, mencium dan menghisap kemaluan wanita sama ada sehingga klimaks atau pun tidak adalah termasuk dalam sejumlah perbuatan yang membawa pengertian musahaqah yang diharamkan oleh syarak. Bahkan dosanya adalah bersamaan dengan dosa zina di sisi Allah SWT. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita hidayah-Nya dan kekuatan untuk meninggalkan segala larangannya. Amin.