اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-909: ADAKAH HUKUM SYARAK TERPAKAI TERHADAP ENTITI UNDANG-UNDANG?

PP_poster_10.jpg

SOALAN: Saya terbaca komen netizen yang mengatakan bahawa hukum-hakam dalam Islam hanya terpakai kepada manusia sahaja, tak terpakai kepada syarikat atau kumpulan. Mohon penjelasan daripada SS Tuan Mufti. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN:

Entiti undang-undang berbeza daripada manusia biasa, namun kewujudannya tetap berkait rapat dengan manusia sama ada sebagai pemilik atau individu yang diberi mandat terhadap sesebuah entiti tersebut. Justeru, hukum syarak juga terpakai terhadap individu-individu tersebut secara tidak langsung kerana hubungan mereka dengan sesebuah entiti.

HURAIAN JAWAPAN:

Pendahuluan

Islam bukan sekadar agama yang bersifat ritual semata-mata, bahkan Islam merupakan satu panduan hidup yang merangkumi setiap aspek kehidupan manusia. Islam menawarkan panduan yang jelas dalam hal-hal seperti akidah, ibadah, akhlak, muamalat, kekeluargaan, sosial, ekonomi, pemerintahan serta sistem politik. Bukan sekadar itu, panduan yang ditawarkan oleh Islam ini walaupun dibawa oleh Rasulullah SAW sejak lebih 1400 tahun dahulu, namun sistem ini kekal relevan sehingga hari ini, dan akan berterusan sehingga akhir kehidupan.

Perubahan masyarakat berlaku mengikut keperluan zaman, terutamanya dalam aspek sosial. Setiap zaman mempunyai cara yang tersendiri yang sentiasa berkembang dan berubah mengikut peredaran masa. Pada asalnya, sesuatu hak dan tanggungjawab biasanya dipikul oleh individu tertentu. Namun pada hari ini, manusia telah menerima satu perundangan yang menjadikan sesuatu entiti tertentu seolah-olah berfungsi sebagai satu individu yang hidup, dan dapat melakukan pelbagai tindakan dan juga turut boleh memiliki harta dan melakukan transaksi kewangan.

Konsep Entiti di sisi Undang-Undang

Dalam konteks sistem perundangan di Malaysia, terdapat pelbagai entiti yang boleh ditubuhkan melalui peruntukan undang-undang, antaranya seperti entiti syarikat yang boleh diwujudkan melalui Akta Syarikat 2016 (Akta 777), pertubuhan bukan kerajaan seperti NGO, kelab, dan persatuan melalui Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), penubuhan koperasi di bawah Akta Koperasi 1993 (Akta 502) dan pelbagai lagi entiti yang boleh diwujudkan.

Dengan wujudnya entiti-entiti tersebut seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang, maka setiap daripada entiti ini juga mempunyai hak perundangan yang tersendiri yang membolehkan entiti tersebut diiktiraf sebagai subjek undang-undang. Ini bermaksud entiti tersebut boleh memiliki hak dan tanggungjawab, memiliki harta, membuat kontrak, dan terlibat dalam prosiding mahkamah.

Dari sudut perundangan, setiap entiti mempunyai hak dan liabilitinya yang tersendiri berbeza tanpa dikaitkan dengan pemilik kepada entiti tersebut. Hal ini demikian berdasarkan kepada “doctrine of separated artificial legal person” di dalam common law seperti yang diputuskan oleh mahkamah House of Lords (England) dalam kes Salomon v A Salomon & Co Ltd [1897] AC 22 yang memutuskan bahawa hutang syarikat tidak boleh dituntut daripada harta peribadi pemilik syarikat tersebut, kerana syarikat tersebut dianggap sebagai memiliki entitinya yang tersendiri.[1]

Dari Perspektif Islam pula, kedudukan entiti undang-undang tidak terlepas daripada tertakluk kepada peruntukan hukum syarak yang berkuat kuasa, terutamanya apabila berkait dengan perkara-perkara yang melibatkan akidah dan penyebaran ajaran agama. Contohnya, Muzakarah Fatwa Kebangsaan dan Pejabat Mufti Wilayah persekutuan telah mewartakan bahawa fahaman Jabariyyah dan Mu’tazilah adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar, serta bertentangan dengan pegangan rasmi umat Islam di negara ini.[2]

Oleh itu, apabila sesuatu entiti undang-undang seperti penubuhan, syarikat atau institusi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penyebaran fahaman yang telah difatwakan sesat, maka entiti tersebut boleh dikenakan tindakan berdasarkan kerangka perundangan yang sedia ada. Hal ini kerana, kedudukan sebagai entiti sah di sisi undang-undang juga membawa tanggungjawab terhadap kepentingan awam, keselamatan akidah, dan ketenteraman masyarakat Islam. Maka, kesinambungan antara prinsip entiti dalam undang-undang dan pematuhan kepada fatwa menjadi satu bentuk kawal selia yang sah dan seimbang antara hak perundangan dan tanggungjawab syarak.

Keterikatan Entiti Undang-Undang Dengan Hukum Fiqah

Para ulama kontemporari mengistilahkan entiti undang-undang ini sebagai “al-Shakhṣiyah al-I’tibāriyyah”, sebagai padanan terjemahan kepada terma “legal entity”. Terma ini secara umumnya tidak pernah dibincangkan oleh para fuqaha silam. Namun penelitian kepada nas-nas para fuqaha silam mendapati bahawa terdapat idea-idea yang dibincangkan oleh mereka yang boleh dikaitkan dengan entiti undang-undang, terutamanya dalam perbincangan berkaitan baitulmal, yang merupakan institusi yang berdiri dengan sendirinya.[3] Di samping itu, konsep Syakhsiah Iktibariah juga mempunyai sandaran tradisional seperti masjid dan badan wakaf yang mempunyai kepertanggungjawaban (zimmah) perlu ditonjolkan agar tiada pihak yang berlindung di sebalik entiti pertubuhan untuk mengelak daripada dipertanggungjawaban atau apa-apa berkenaan.

Hal ini dapat dilihat dalam perbahasan para ulama berkaitan kewajipan zakat terhadap harta yang bercampur, walaupun sekiranya harta tersebut dipulangkan semula kepada setiap pemiliknya tidak mencapai nisab yang mewajibkan zakat, namun disebabkan percampuran harta tersebut, maka ia dianggap sebagai harta yang telah mencapai nisab dan diwajibkan untuk dikeluarkan zakat padanya dengan syarat-syarat tertentu yang dibincangkan oleh fuqaha. Kata Imam al-Shīrāzī:[4]

‌للخلطة تأثير في إيجاب الزكاة وهو أن يجعل مال الرجلين والجماعة كمال الرجل الواحد فيجب فيه ما يجب في مال الرجل الواحد فإذا كان بين نفسين وهما من أهل الزكاة نصاب مشاع من الماشية في حول كامل وجب عليهما زكاة الرجل الواحد

Maksudnya:Perkongsian harta memberi kesan dalam mewajibkan zakat, iaitu apabila harta dua orang atau sekumpulan individu dianggap seperti harta seorang individu, maka zakat diwajibkan ke atasnya sebagaimana zakat ke atas harta seorang individu. Jika terdapat antara dua orang yang kedua-duanya memenuhi syarat wajib zakat, iaitu dengan mencukupi nisab daripada binatang ternakan yang dimiliki secara bersama dalam tempoh haul yang sempurna, maka wajib ke atas mereka berdua zakat seperti zakat seorang individu”.

Secara asasnya, hukum taklīfiī[5] adalah terpakai kepada individu yang memenuhi syara.t-syarat taklīf seperti Islam, baligh, berakal, sampai dakwah, dan berkemampuan. Walaupun entiti undang-undang ini tidak mempunyai ciri-ciri seperti manusia yang boleh disifatkan sebagai orang Islam, baligh dan berakal, namun hakikatnya kewujudan entiti undang-undang tersebut adalah berkait rapat dengan manusia juga, iaitu sama ada pemilik entiti tersebut, atau individu yang mempunyai mandat di dalam entiti tersebut.

Oleh itu, para ulama silam juga turut memutuskan bahawa hukuman qisas boleh dikenakan terhadap setiap daripada individu yang melakukan jenayah secara berkumpulan. Walaupun tidak semua melakukan kesalahan secara langsung, namun oleh kerana mereka semua bersekongkol dalam melakukan sesuatu kesalahan, maka kesemua individu di dalam kumpulan tersebut juga dikenakan hukuman. Kata Imam al-Ramlī:[6]. 

(ويقتل الجمع بواحد) وإن تفاضلت الجراحات في العدد والفحش والأرش حيث كان لها دخل في الزهوق سواء أقتلوه بمحدد أم بمثقل كأن ألقوه من شاهق أو في بحر; لأن القصاص عقوبة يجب للواحد على الواحد فيجب له على الجماعة كحد القذف ولأنه شرع لحقن الدماء، فلو لم يجب عند الاشتراك لاتخذ ذريعة إلى سفكها

Maksudnya:[Dibunuh (hukuman qisas) sekumpulan orang kerana membunuh seorang], walaupun terdapat perbezaan pada bilangan luka, tahap parah atau kadar diyatnya, selama mana ia mempunyai pengaruh dalam menyebabkan kematian, sama ada mereka membunuh dengan senjata tajam atau benda tumpul, seperti menjatuhkannya dari tempat tinggi atau ke dalam laut; kerana qisas adalah hukuman yang dikenakan oleh seorang ke atas seorang (yang lain), maka hukuman itu juga dikenakan oleh seorang ke atas sekumpulan orang, seperti hukuman hudud bagi qazaf (tuduhan zina tanpa bukti). Ia juga disyariatkan untuk menjaga nyawa, maka sekiranya tidak dikenakan hukuman apabila berlaku pembunuhan secara berkumpulan, ia boleh dijadikan alasan untuk menumpahkan darah secara sewenang-wenangnya.”.

Justeru walaupun entiti undang-undang dari sudut perundangannya memiliki identiti yang tersendiri, namun daripada perspektif hukum Islam, setiap mukalaf yang terkait dengan sesuatu entiti undang-undang tersebut adalah bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan melalui entiti tersebut.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada penjelasan dan perincian di dalam artikel ini, maka perkara-perkara berikut boleh dirumuskan sebagai kesimpulan:

  1. Terdapat perbezaan antara entiti undang-undang dan manusia sebenar, namun hukum syarak juga turut terpakai kepada individu yang menjadi pemilik atau memiliki mandat terhadap sesebuah entiti.
  1. Setiap mukalaf yang memiliki atau mempunyai mandat terhadap sesebuah entiti bertanggungjawab dari sudut hukum untuk memastikan bahawa entiti yang di bawah kuasanya itu tidak melakukan sesuatu yang bercanggahan dengan hukum syarak.

WaLlāhu A’lam

 

Rujukan:

[1] Rujuk alasan penghakiman bagi kes Salomon v A Salomon & Co Ltd [1897] AC 22 di laman sesawang: https://www.bailii.org/uk/cases/UKHL/1896/1.html

[2] Rujuk di laman sesawang : https://efatwa.muftiwp.gov.my/

[3] Luqman Abdullah, Muhammad Ikhlas Rosele, dan Wan Marhaini Wan Ahmad. "The Concept of Legal Entity from the Islamic Law Perspectives." Pertanika Journal of Social Sciences & Humanities 28, no. 4 (2020): 3212. https://doi.org/10.47836/pjssh.28.4.39.

[4] Abū Isḥāq Ibrāhīm bin ʿAlī bin Yūsuf al-Shīrāzī (t.t.) Al-Muhadhdhab fī Fiqh al-Imām al-Shāfiʻiy, Beirut: Dār al-Kutub al-ʻIlmiyyah, 1:278.

[5] Seperti hukum wajib, sunat, harus, makruh dan haram.

[6] Shams al-Dīn al-Ramli (1984), Nihāyah al-Muḥtāj ilā Sharḥ al-Minhāj. Beirut: Dar al-Fikr, 7:275.