Ringkasan Jawapan:
Hukum menggali semula jenazah yang telah dikebumikan untuk tujuan pengesahan oleh pihak berkuasa melalui post-mortem mayat adalah diharuskan. Ini kerana keadaan tersebut merupakan suatu keadaan yang darurat yang tidak dapat dilakukan kecuali dengan cara tersebut. Oleh yang demikian, keadaan yang darurat seperti ini mengharuskan perbuatan menggali semula jenazah yang telah dikebumikan yang pada asalnya adalah haram dengan syarat setelah mendapat keizinan daripada pihak berautoriti.
WaAllahu a’lam.
Huraian Jawapan:
Pada asasnya, hukum asal menggali semula kubur untuk mengeluarkan jenazah daripadanya adalah haram. Hal ini kerana perbuatan tersebut dianggap sebagai mencemarkan kehormatan si mati. Larangan ini berasaskan hadis Nabi SAW:
كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرِهِ حَيًّا
Maksudnya: Mematahkan tulang orang yang telah mati adalah seperti mematahkan tulangnya ketika masih hidup.
(Riwayat Abu Daud)
Larangan ini juga ditunjukkan dalam sebuah hadis Nabi SAW melaknat lelaki dan perempuan yang membongkar kubur:
لَعَنَ رَسُوْلُ اللهِ المُخْتَفِي وَالمُخْتَفِيَةَ
Maksudnya: Rasulullah melaknat lelaki dan perempuan yang membongkar kubur.
Namun menurut Ibn Abd al-Bar larangan keras ini adalah bagi mereka yang membongkar kubur untuk mencuri kain kafan. Adapun jika dilakukan kerana keperluan syarie atau darurat, ia diharuskan. Jabir RA, Muawiyah RA dan para sahabat pernah melakukannya dalam keadaan tertentu tanpa ada yang mengingkarinya. (Rujuk al-Tamhid, 13:138)
Di samping itu, Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu‘ menukilkan kisah sahabat Jabir bin Abdillah RA yang mengeluarkan jenazah ayahnya selepas enam bulan dikebumikan, lalu mendapati jasadnya masih seperti hari pertama dikebumikan, kecuali telinga yang sedikit berubah. Baginda memindahkannya ke kubur berasingan. Begitu juga diriwayatkan bahawa Talhah bin Ubaidillah RA salah seorang sahabat yang dijamin syurga telah dikeluarkan jenazahnya selepas 30 tahun dikebumikan kerana kuburnya ditakungi air, dan jasadnya masih baik sebelum dipindahkan ke Basrah. (Rujuk al-Majmu’, 5:273)
Justeru itu walaupun pada hukum asalnya adalah haram, namun mazhab al-Syafi'i mengharuskan pembongkaran kubur sekiranya terdapat keperluan mendesak (darurah). Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj:
(وَنَبْشُهُ بَعْدَ دَفْنِهِ) وَقَبْلَ بِلَاهُ عِنْدَ أَهْلِ الْخِبْرَةِ بِتِلْكَ الْأَرْضِ (لِلنَّقْلِ) وَلَوْ لِنَحْوِ مَكَّةَ (وَغَيْرِهِ) وَلَوْ لِصَلَاةٍ عَلَيْهِ أَوْ تَكْفِينِهِ كَمَا سَيَأْتِي (حَرَامٌ) لِمَا فِيهِ مِنْ هَتْكِ حُرْمَتِهِ (إلَّا لِضَرُورَةٍ)
Maksudnya: Membongkar mayat selepas dikebumikan dan sebelum ia reput berdasarkan pandangan pakar sama ada untuk memindahkannya ke Makkah atau tempat lain, sekalipun untuk disolatkan atau dikafankan, hukumnya adalah haram kerana mengandungi unsur mencemar kehormatan si mati. Namun, ia dikecualikan jika terdapat keperluan mendesak. (Rujuk Nihayat al-Muhtaj, 3:39)
Hukum pengecualian ini berdasarkan kaedah fiqh yang masyhur yang menyebutkan bahawa keadaan darurat mengharuskan perkara yang haram iaitu:
الضَّرُوْرَاتُ تُبِيْحُ المَحْظُوْرَاتِ
Maksudnya: Keadaan darurat membolehkan perkara yang diharamkan.
Oleh yang demikian, antara situasi keperluan yang dikategorikan sebagai darurat atau keperluan yang mendesak sehingga diharuskan untuk menggali kubur adalah:
- Memandikan mayat yang belum dimandikan.
- Menghadapkan mayat ke arah kiblat.
- Mengambil harta yang terjatuh ke dalam liang lahad.
- Menyelamatkan bayi dalam kandungan yang masih hidup.
- Apabila dikebumikan di tanah curi.
- Dikhuatiri kuburnya akan dibongkar pihak lain. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah: 390)
Bahkan dalam konteks fatwa di negara Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004 telah membincangkan isu ini dan memutuskan bahawa:
- Harus menggali semula tanah perkuburan sekiranya terdapat keperluan yang mendesak atau darurat dengan sebab-sebab tertentu yang diharuskan oleh syarak.
- Harus menggali semula tanah perkuburan untuk digunakan bagi mengebumikan mayat yang baru setelah dikenal pasti oleh pihak berkuasa bahawa mayat tersebut telah pun reput.
Kesimpulan
Kesimpulannya, hukum menggali semula jenazah yang ditanam atas keperluan yang mendesak seperti situasi keperluan post-mortem yang dilakukan bagi mengesahkan sesuatu yang penting yang hanya didapati dengan cara tersebut adalah diharuskan jika mendapat keizinan daripada pihak berautoriti. Hal ini kerana kaedah fiqh menyebutkan bahawa keadaan yang darurat mengharuskan perkara yang pada asalnya adalah haram.
WaAllahu a’lam.